Topik diikuti
Pergi ke BHkuRobot AI ubah pandangan ibu tentang penggunaan teknologi bagi pembelajaran anak
Robot AI ubah pandangan ibu tentang penggunaan teknologi bagi pembelajaran anak
Robot AI ubah pandangan ibu tentang penggunaan teknologi bagi pembelajaran anak
Teruja melihat anaknya berinteraksi dengan sebuah robot kecerdasan buatan (AI), Cik Nur Elyna Arjuna tidak menyangka pengalaman itu akan mengubah sedikit pandangannya terhadap penggunaan teknologi dalam pembelajaran kanak-kanak.
Cik Nur Elyna, 30 tahun, sebelum ini memilih untuk tidak mendedahkan keempat-empat anak beliau, berusia antara tiga tahun dengan tiga bulan, kepada skrin atau peranti digital di rumah.
“Suami saya dan saya memang tidak benarkan anak-anak guna telefon pintar atau tablet. Kami mahu mereka membesar dengan cara lebih semula jadi,” ujar suri rumah itu.
Namun, kunjungan Cik Nur Elyna ke reruai EDN Learning Discoveries sempena sidang media Raikan Ilmu 2026 pada 30 Mei membuka perspektif baharu, khususnya apabila melihat reaksi anaknya berinteraksi dengan teknologi.
Anak sulungnya, Muhd Qazril Irham Muhd Irzaq, tiga tahun, dan anak keduanya, Muhd Qarizh Irzan Muhd Irzaq, dua tahun, berpeluang berinteraksi dengan sebuah robot AI di reruai tersebut yang nyata menarik perhatian mereka.
Digelar Robot EMYS, ia merupakan sebuah robot pendidikan yang direka untuk membantu kanak-kanak kecil mempelajari bahasa Inggeris melalui pendekatan interaktif.
“Anak-anak saya kelihatan sangat teruja ketika bermain dengan robot itu. Dari situ saya sedar, mungkin ada cara memanfaatkan teknologi untuk tujuan yang lebih bermanfaat, khususnya dalam pembelajaran.
“Sekurang-kurangnya, pendekatan ini sesuatu yang berbeza dan lebih menyeronokkan berbanding sekadar membaca buku sahaja,” akui Cik Nur Elyna.
Menurut beliau, Muhd Qazril kini berada di peringkat tadika, manakala Muhd Qarizh pula berada di peringkat prataska dan bakal melangkah ke tadika tahun depan.
Cik Nur Elyna percaya penggunaan alat teknologi seperti Robot EMYS dapat membantu mempersiapkan anak-anaknya untuk ke peringkat pendidikan seterusnya.
Pengalaman tersebut juga membuatkannya lebih terbuka untuk membenarkan anak-anaknya menggunakan peranti teknologi, selagi ia bersifat bermakna dan berunsur pendidikan.
Menurut pengarah urusan EDN Learning Discoveries, Encik Izzat Mohamed Ismail, Robot EMYS menggunakan lagu, cerita, dan perbualan untuk membantu kanak-kanak membina kefasihan serta memperbaiki sebutan bahasa.
Tambahnya, ia turut memanfaatkan penggunaan AI untuk menyesuaikan pelajaran dan kuiz berdasarkan tahap perkembangan serta emosi pengguna.
EDN Learning Discoveries, yang merupakan antara rakan kongsi Raikan Ilmu 2026, ialah penyedia teknologi pendidikan yang mengkhusus dalam program pembelajaran berasaskan pengalaman, serta lawatan pendidikan untuk sekolah.
