Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Robot bantu Home Team kendali operasi risiko tinggi jelang 2027

May 26, 2025 | 6:31 PM
humanoid, robot, manusia, agensi sains dan teknologi, home team
Robot ‘humanoid’, atau robot berbentuk manusia, yang sedang dibangunkan oleh Agensi Sains dan Teknologi Home Team (HTX) telah dipamerkan pada acara pembukaan AI TechXplore 2025, di Fusionopolis One, one-north, pada 26 Mei. - Foto ST

Pegawai Pasukan Home Team akan bekerjasama dengan ‘rakan’ robot mereka, robot ‘humanoid, atau robot berbentuk manusia seawal pertengahan 2027.

Robot tersebut akan ditugaskan menjalankan operasi berisiko tinggi seperti memadam kebakaran, menangani bahan berbahaya, serta mengambil bahagian dalam misi mencari dan menyelamat.

Pada peringkat awal, robot ini akan dikawal dari jauh oleh pengendali manusia, namun dijangka beroperasi secara sendiri dengan bantuan kecerdasan buatan (AI) mulai 2029.

Apabila dikerahkan tanpa kawalan manusia, AI akan membolehkan robot ini bertindak balas terhadap pelbagai situasi, manakala pegawai manusia hanya akan memantau dan campur tangan jika perlu.

Pada 26 Mei, empat robot yang sedang dibangunkan oleh Agensi Sains dan Teknologi Home Team (HTX) telah dipamerkan pada acara pembukaan AI TechXplore 2025.

Pameran sains dan teknologi selama dua hari yang berlangsung di Fusionopolis, one-north, itu menampilkan usaha HTX dalam memanfaatkan AI bagi meningkatkan kecekapan operasi Home Team, lapor The Straits Times (ST).

Pameran itu diadakan serentak dengan pameran kerjaya HTX, Careers@HTX.

Tiga daripada robot yang dipamerkan mempunyai ketinggian sekitar 1.7 meter, manakala satu lagi setinggi kira-kira 1.2 meter.

Jurutera HTX turut membina sut ekso (rangka luar) khas untuk dipakai oleh pengendali bagi mengawal robot yang lebih rendah itu.

Sut ini menyediakan sokongan dan bantuan bagi tubuh si pemakai dalam tugasan fizikal atau pemulihan.  

Maklumat daripada sut tersebut akan dihantar kepada robot berkenaan, membolehkannya meniru pergerakan pengendali pada masa nyata.

Pengendali juga perlu memakai set kepala realiti maya (VR headset) untuk membolehkan mereka ‘melihat’ melalui kamera yang dipasang pada robot itu untuk melaksanakan pelbagai tugasan.

Acara tersebut turut menyaksikan pelancaran Phoenix, model bahasa besar (LLM) yang dibangunkan HTX dengan pemahaman mendalam mengenai konteks tempatan dan Home Team, serta fasih dalam keempat-empat bahasa rasmi Singapura.

Phoenix akan menjadi ‘otak’ di sebalik keupayaan AI Home Team.

Ketika menghadiri acara tersebut, Menteri Penerangan dan Pembangunan Digital, Cik Josephine Teo, berkata sebanyak $100 juta akan dilaburkan dalam Pusat Robotik ‘Humanoid’ Home Team (H2RC) baru, yang akan memberi tumpuan kepada pembangunan robot berbentuk manusia untuk keselamatan awam.

Pusat ini adalah yang pertama seumpamanya di dunia dan dijangka akan mula beroperasi menjelang pertengahan 2026.

Ia akan mempunyai zon untuk pengumpulan data, latihan model AI dan pembangunan robotik, serta dilengkapi dengan sumber pengkomputeran berprestasi tinggi.

“Penjenayah mengeksploitasi teknologi dengan cara yang tidak pernah dibayangkan sebelum ini. 

“Oleh itu, agensi penguatkuasaan undang-undang juga perlu memahami bagaimana teknologi ini disalahgunakan.

“Tetapi itu sahaja tidak mencukupi. Kita juga mesti memiliki keupayaan untuk menggunakan teknologi bagi memerangi jenayah dan memberikan perkhidmatan yang lebih baik kepada rakyat,” kata Cik Teo.

Beliau juga menambah bahawa H2RC akan memajukan lagi had keupayaan AI.

Pasukan Home Team telah menggunakan pelbagai jenis robot sejak beberapa tahun lalu, termasuk salah satu versi awal robot rondaan yang digunakan pada acara berskala besar pada 2018.

Kadar pembangunan dan penggunaan robot menjadi lebih pantas selepas penubuhan HTX pada akhir 2019.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg