Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Home Team pergiat guna AI tangani jenayah siber

Dapat mudahkan siasatan sedang landskap ancaman kian kompleks, ditambah kekangan tenaga kerja
Mar 4, 2025 | 3:31 PM
AlchemiX, algoritma yang dijana kecerdasan buatan (AI) generatif, boleh mengenal pasti sama ada rakaman audio atau video adalah palsu atau tulen, sekali gus memudahkan pasukan Home Team menjalankan siasatan.
AlchemiX, algoritma yang dijana kecerdasan buatan (AI) generatif, boleh mengenal pasti sama ada rakaman audio atau video adalah palsu atau tulen, sekali gus memudahkan pasukan Home Team menjalankan siasatan. - Foto fail

Pasukan Home Team giat memanfaatkan kecerdasan buatan (AI) dan teknologi untuk, antara lain, memudahkan kerja siasatan dan menangani jenayah siber yang kian berkembang pesat.

Ini lebih-lebih lagi sedang landskap ancaman kian kompleks, ditambah pula dengan kekangan tenaga kerja, kata Menteri Kedua Ehwal Dalam Negeri, Cik Josephine Teo.

Beliau, yang juga Menteri Pembangunan Digital dan Penerangan, berkata demikian dalam perbahasan Jawatankuasa Perbekalan (COS) bagi Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) pada 4 Mac di Parlimen.

“Penjenayah kini menyalahgunakan teknologi, khususnya AI, untuk melaksanakan jenayah lebih rumit dan menjangkau lebih ramai mangsa.

“Kekangan tenaga kerja juga kini lebih saling mengikat. Kadar kelahiran sedang merudum dan persaingan bagi bakat semakin mencabar,” ujarnya.

Atas faktor sedemikian, pasukan Home Team sudah melaksanakan beberapa penyelesaian berteraskan AI, kata Cik Teo sebagai menjawab pertanyaan Encik Zhulkarnain Abdul Rahim (GRC Chua Chu Kang).

Encik Zhulkarnain bertanya mengenai langkah yang diambil Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) untuk menangani jenayah yang dipacu teknologi.

Beliau menambah, Agensi Sains dan Teknologi Home Team (HTX) telah melancarkan Gerakan AI Home Team pada 2024 bagi memacu dan menggabungkan keupayaan AI merentasi seluruh pasukan Home Team.

Beberapa penyelesaian dan keupayaan berteraskan AI ini, jelas beliau, telah dilaksanakan dalam pasukan Home Team, antaranya Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF).

Cik Teo berkata SCDF sudah mula menggunakan sejenis alat pemeriksaan yang dijana model AI untuk menilai kebarangkalian adanya pelanggaran keselamatan kebakaran di premis komersial dan perindustrian.

Dipanggil Alat Pemeriksaan Di Lapangan, ia membolehkan SCDF mengoptimumkan sumbernya dengan melaksanakan pemeriksaan pada skala lebih tersasar dan akan dilancarkan secara berperingkat kepada unit pemeriksaan dalam beberapa bulan mendatang, tambahnya.

Di samping penggunaan AI, pasukan Home Team memanfaatkan penyelesaian bijak dan berautonomi “bagi mengesan ancaman lebih awal dan memberi respon lebih pantas”, katanya.

Beliau menukil contoh uji cuba yang menggunakan deria bijak dalam wad perubatan dan sel di Perkhidmatan Penjara Singapura (SPS) untuk mengawasi tanda-tanda penting banduan dari jauh, yang menurut beliau kian penting tatkala usia banduan yang semakin menua.

Berkenaan penyalahgunaan AI generatif (GenAI) bagi tujuan jenayah, Cik Teo berkata MHA telah mula melaksanakan beberapa penyelesaian berteraskan GenAI untuk memudahkan siasatan.

“Sedang pasukan Home Team berusaha menggunakan GenAI bagi meningkatkan usaha kami, penjenayah juga menyalahgunakan teknologi sama bagi mencari mangsa yang tidak bersalah.

“Contohnya, penipu dapat mengeksploitasi GenAI untuk menghasilkan kandungan palsu… menyasar si mangsa.

“Mereka juga boleh menggunakannya bagi menghasilkan bukti untuk mengelirukan penyiasat,” kata beliau.

Oleh itu, MHA sedang membangunkan algoritma yang dijana GenAI, AlchemiX, yang boleh mengenal pasti sama ada rakaman audio atau video adalah palsu atau tulen, sekali gus memudahkan pasukan Home Team dalam siasatan mereka.

Sedang AI dan teknologi memudahkan pelaksanaan kerja, Cik Teo menyentuh tentang risiko bersangkutan GenAI – khususnya dari aspek pemerolehan data dan sebarang berat sebelah daripada hasil yang dijana GenAI.

Beliau berkata MHA memandang serius risiko itu dan ia “tidaklah unik kepada MHA”.

“(Kami) telah menyediakan rangka kerja tadbir urus AI untuk membimbing pelaksanaan projek AI dan memastikan pematuhan terhadap undang-undang kami, seperti memastikan penggunaan data secara adil, terwakil dan bertanggungjawab.

“Kami juga akan meletakkan langkah perlindungan, termasuk memastikan adanya tahap campur tangan manusia yang sesuai untuk bertindak sebagai pemeriksa,” tambah Cik Teo.

Home Team merangkumi Ibu Pejabat MHA, Pasukan Polis Singapura, SCDF, Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA), Biro Narkotik Pusat (CNB), Akademi Home Team, Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (ISD) dan SPS.

Ini di samping HTX, Penguasa Pengawalan Perjudian (GRA) dan Reben Kuning Singapura (YRSG).

“(Kami) telah menyediakan rangka kerja tadbir urus AI untuk membimbing pelaksanaan projek AI dan memastikan pematuhan terhadap undang-undang kami, seperti memastikan penggunaan data secara adil, terwakil dan bertanggungjawab. Kami juga akan meletakkan langkah perlindungan, termasuk memastikan adanya tahap campur tangan manusia yang sesuai untuk bertindak sebagai pemeriksa.”
Menteri Kedua Ehwal Dalam Negeri, Cik Josephine Teo.
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg