Seorang ‘pempengaruh agama’ dikenakan hukuman penjara 27 tahun dan 10 bulan di samping 24 sebatan pada 17 Ogos kerana melakukan kesalahan seksual terhadap dua beradik lelaki muda antara 2023 dengan 2024.

Pesalah, seorang lelaki berusia 37 tahun, berulang kali merogol adik daripada dua beradik tersebut, yang ketika itu berusia antara enam dengan lapan tahun, di beberapa lokasi termasuk tandas sebuah masjid yang sering mereka kunjungi untuk menunaikan solat bersama.

Kemudian, dia mengalihkan perhatiannya kepada abang mangsa yang ketika itu berusia antara 11 dengan 12 tahun, dan mencabulnya beberapa kali.

Pesalah mengaku bersalah atas tiga tuduhan merogol dan dua tuduhan mencabul kehormatan, manakala 12 lagi tuduhan berkaitan pelbagai kesalahan seksual diambil kira semasa menjatuhkan hukuman.

Menurut dokumen mahkamah, dia dianggap ibarat bapa kepada dua beradik itu ketika ibu bapa mereka tidak hadir dalam kehidupan mereka.

Nama, gambar, dan akaun media sosial pesalah, serta nama masjid tempat kejadian rogol berlaku tidak boleh didedahkan disebabkan perintah larangan mahkamah bagi melindungi identiti mangsa.

Pada April 2024 ketika mengunjungi saudara-mara semasa Hari Raya, perbuatan pesalah terbongkar apabila si adik bertanya kepada ibunya, yang dibebaskan daripada Pusat Pemulihan Dadah (DRC), sama ada perbuatan seksual yang dilakukan terhadapnya adalah salah, sebelum mendedahkan bahawa pesalah merupakan pelakunya.

Abangnya kemudian turut memberitahu ibu mereka bahawa dia juga pernah dicabul pesalah.

Apabila berdepan dengan keluarga mangsa, pesalah pada mulanya menafikan perbuatannya dan mendakwa dia mengalami disfungsi ereksi.

Namun, dia akhirnya mengaku melakukan serangan seksual terhadap dua beradik itu tetapi mendakwa dirinya berada di bawah pengaruh “jin” ketika melakukannya.

Seorang saudara kemudian menghubungi polis pada malam tersebut dan pesalah ditangkap serta direman sejak itu.

Menurut dokumen mahkamah, satu laporan psikiatri daripada Institut Kesihatan Mental (IMH) menyatakan bahawa meskipun lelaki itu mengalami gangguan pedofilia, keadaan tersebut tidak mempunyai kaitan yang menyumbang kepada kesalahan yang dilakukannya.

Pedofilia merupakan gangguan mental atau tarikan seksual dialami oleh seorang dewasa terhadap kanak-kanak.

Dokumen mahkamah turut menyatakan bahawa adik daripada dua beradik itu mula membenci dirinya sendiri dan mempunyai pemikiran untuk membunuh diri, selain mencederakan diri dengan menumbuk kepalanya serta menghantukkan kepalanya ke dinding.

Di samping itu, mangsa turut mengalami mimpi buruk mengenai kejadian tersebut, takut mengunjungi tempat yang boleh mengingatkannya kepada pesalah, dan adakalanya tidak dapat pergi ke sekolah apabila dibelenggu ingatan tentang perbuatan pesalah terhadapnya.

Menurut dokumen mahkamah lagi, mangsa mula mengalami kesukaran untuk mempercayai orang lain dan adakalanya merasakan bahawa tiada sesiapa yang mengambil berat tentang dirinya.

Ia juga menyatakan bahawa mangsa menyalahkan dan mula membenci abangnya kerana abangnya yang terlebih dahulu berkenalan dengan pesalah, sehingga adakalanya timbul keinginan untuk mencederakan abangnya.

Abang daripada dua beradik itu turut mempunyai pemikiran untuk membunuh diri dan mengalami kesukaran mempercayai orang di masjid kerana ada antara mereka yang bertanya kepadanya mengenai kejadian tersebut.

Selain itu, dokumen mahkamah menyatakan si abang menyalahkan dirinya atas apa yang berlaku terhadap adiknya kerana dia membawa pesalah masuk ke dalam kehidupan keluarga mereka, lantas merenggangkan hubungan dua beradik yang sebelum ini rapat.

Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) berkata ia akan memperkukuh langkah keselamatan sedia ada, termasuk rondaan dan pemantauan kamera litar tertutup (CCTV), susulan kes tersebut.

Dalam kenyataannya kepada Berita Harian (BH) pada 17 Ogos, MUIS mengecam keras kesalahan seksual serius yang melibatkan mangsa belia di kawasan masjid dan menegaskan bahawa keselamatan pengunjung masjid merupakan keutamaannya.

“Masjid kita mesti sentiasa menjadi ruang yang selamat dan dipercayai, khususnya bagi kanak-kanak dan golongan muda,” kata MUIS dalam kenyataan itu.

MUIS juga menjelaskan bahawa pesalah bukan kakitangan atau sukarelawan masjid dan juga bukan asatizah yang diiktiraf di bawah Skim Pengiktirafan Asatizah (ARS).

Ia turut mengingatkan orang ramai bahawa individu yang menampilkan atau memperkenalkan diri sebagai seseorang yang berunsur keagamaan tidak seharusnya secara automatik dianggap sebagai guru agama yang berkelayakan.

Di samping itu, MUIS menggalakkan umat Islam, sama ada dalam talian mahupun secara bersemuka, supaya mendapatkan bimbingan daripada asatizah yang diiktiraf di bawah ARS kerana mereka memenuhi piawaian latihan dan etika profesional yang ditetapkan.

Orang ramai boleh menyemak sama ada seseorang asatizah diiktiraf di bawah ARS dengan merujuk direktori ARS dalam talian di laman web MUIS.

Pada masa sama, MUIS berkata usaha memastikan keselamatan tidak terhad kepada kawasan masjid sahaja, lebih-lebih lagi apabila semakin banyak interaksi keagamaan berlangsung dalam talian.

Menurutnya, ibu bapa, pemimpin masjid, asatizah, dan masyarakat secara keseluruhannya memainkan peranan penting dalam membantu golongan muda mengenal pasti sumber yang dipercayai, berinteraksi dengan selamat dalam talian dan bersuara apabila merasakan sesuatu yang tidak kena.

“MUIS akan terus memperkukuh langkah perlindungan, baik di masjid mahupun dalam ruang dalam talian, serta bekerjasama dengan masyarakat bagi memastikan golongan muda kita selamat dan mendapat sokongan.

“Kami kekal komited untuk memastikan masjid kita terus menjadi ruang yang selamat, dipercayai dan mesra untuk semua,” tambahnya.