Rombongan ILM Tours sihat, selamat di Doha selepas pesawat terpaksa patah balik
Rombongan ILM Tours sihat, selamat di Doha selepas pesawat terpaksa patah balik
Keadaan anggota jemaah terjaga susulan ruang udara ditutup akibat krisis di Timur Tengah
Kesemua jemaah yang mengikuti rombongan kembara sulung syarikat ILM Tours Pte Ltd disahkan berada dalam keadaan selamat di Doha, Qatar, selepas penerbangan mereka ke Amman, Jordan terpaksa berpatah balik semasa berada di ruang udara pada 28 Februari.
Meskipun berdepan dengan situasi luar jangkaan yang menyaksikan semua jadual penerbangan di kawasan Timur Tengah dibatalkan, rombongan seramai 32 orang itu kini berada dalam keadaan selamat, sihat dan tenang, kata Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) ILM Tours Pte Ltd, Ustazah Shameem Sultanah.
“Ketika pesawat sudah berada di udara, kami diarahkan berpatah balik dan perlu berlegar sebelum mendarat atas faktor keselamatan ruang udara.
“Sebahagian jemaah turut mendengar bunyi peluru berpandu ketika dalam penerbangan – Sudah tentu perasaan kami bercampur baur terkejut dan risau,” tambahnya.
Ketika dihubungi Berita Harian (BH) pada 3 Mac, Ustazah Shameem berkata kesemua jemaah kini sedang berehat di hotel yang disediakan oleh pihak penerbangan, Qatar Airways.
Sebelum ini, rombongan tersebut sedang dalam perjalanan mengikuti pakej Ramadan Al-Aqsa yang dijadualkan berlangsung dari 28 Februari hingga 10 Mac.
Ia juga merupakan pakej kembara pertama ILM Tours Pte Ltd setelah lesen syarikat itu diluluskan pada awal 2026.
Pakej bernilai sekitar $4,890 seorang itu sepatutnya merangkumi lawatan dua hari di Jordan dan lapan malam di Masjidil Aqsa.
Walau bagaimanapun, penutupan ruang udara telah memaksa pesawat Qatar Airways yang mereka naiki itu berpatah balik ketika dalam perjalanan menuju ke Amman.
“Setibanya di Lapangan Terbang Antarabangsa Hamad di Doha, kami pastikan semua 32 anggota jemaah kekal bersama sebagai satu kumpulan.
“Walaupun proses tempahan hotel dan pengambilan bagasi mengambil masa yang agak lama, Allah permudahkan urusan kami dan suasana kekal tenang,” tambahnya.
Dalam satu video di media sosial Instagramnya pada 1 Mac, Ustazah Shameem berkata rombongan itu terpaksa menunggu lama dan beratur panjang sehingga tengah malam di lapangan terbang itu untuk mendapatkan penginapan hotel.
Meskipun menghadapi cabaran, termasuk belajar hidup tanpa bagasi selama tiga hari, beliau memuji respons pihak Qatar Airways yang membantu menyediakan hotel serta baucar makanan untuk kesemua jemaah yang terjejas.
“Alhamdulillah, kami kini ditempatkan di hotel lima bintang dan penginapan serta makanan ditanggung sepenuhnya oleh Qatar Airways.
“Semua jemaah berada dalam keadaan selamat dan sihat, malah dalam keadaan yang sangat positif dan bersyukur,” kata Ustazah Shameem kepada BH.
Dalam video itu juga, beliau menjelaskan bahawa beliau tidak memberikan sebarang perkembangan di media sosial pada 28 Februari apabila kejadian itu berlaku bagi mengelakkan timbulnya perasaan panik atau kebimbangan dalam kalangan ahli keluarga jemaah di Singapura.
Beliau turut menegaskan sebagai pengarah syarikat itu, tanggungjawab utama beliau dan kakitangannya adalah untuk memastikan kebajikan dan keselamatan jemaah sentiasa terjaga.
“Kami sentiasa berhubung dengan Kementerian Ehwal Luar (MFA) Singapura dan bersama pasukan di Singapura, kami sedang berusaha sepenuhnya demi memastikan segala urusan logistik serta kebajikan jemaah sentiasa dalam keadaan terkawal dan terurus,” tambahnya.
Walaupun impian untuk beribadah di Masjidil Aqsa buat masa ini tidak dapat diteruskan, Ustazah Shameem menyifatkan kejadian itu sebagai satu pengajaran bermakna tentang nilai ketabahan, tawakal, dan redha.
Beliau menambah syarikatnya itu sedang memantau keadaan dengan teliti dan bekerjasama dengan MFA untuk menilai segala pilihan untuk pulang ke Singapura.
Ustazah Shameem turut menegaskan segala keputusan seterusnya akan dibuat berdasarkan faktor keselamatan sebagai keutamaan.
Seorang anggota jemaah, Cik Siti Meriam Rais, 64 tahun, berkata walaupun mereka berada dalam keadaan cemas dan penuh ketidaktentuan, beliau amat menghargai segala perancangan yang telah diatur untuk rombongan itu.
“Pemantauan serta penjagaan kebajikan kami, sama ada dari aspek fizikal, mental mahupun kerohanian, telah dilaksanakan dengan begitu baik dan teratur oleh pihak ILM Tours.
“Setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih saya atas keprihatinan serta komitmen yang telah diberikan,” kata Cik Siti Meriam.
Seorang lagi anggota jemaah, Cik Hasnah Abdullah, 64 tahun, berkata beliau berasa tenang dan bersyukur walaupun dalam keadaan sedemikian.
Beliau turut meluahkan penghargaan kepada Ustazah Shameem , suaminya, Pengarah Urusan ILM Tours, Encik Mohammed Hadi Abdul Rasheed, serta dua pegawai syarikat itu yang sering berada bersama rombongan itu semasa waktu yang amat mencabar.
“Mereka telah sediakan yang terbaik dalam kemampuan mereka. Jemaah semua dapat tempat tinggal yang sangat selesa, luas dan ada privasi. Kami dapat solat fardhu dan tarawih berjemaah.
“Sahur dan buka puasa kami juga terjaga. Mereka sentiasa mengingatkan kami untuk tidak keluar dari tempat tinggal dengan sesuka hati demi keselamatan kami,” kata Cik Hasnah lagi.

