Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Rombongan pertama haji S’pura bertolak ke Tanah Suci

Maliki, yang juga Ketua Rombongan Haji 2024, gesa jemaah berjaga-jaga dek cuaca terik, jangkitan penyakit
Jun 3, 2024 | 6:59 PM
Menteri di Pejabat Perdana Menteri, Dr Mohamad Maliki Osman (baju hitam), beramah mesra dengan para jemaah haji dan keluarga mereka di Lapangan Terbang Changi pada 3 Jun.
Menteri di Pejabat Perdana Menteri, Dr Mohamad Maliki Osman (baju hitam), beramah mesra dengan para jemaah haji dan keluarga mereka di Lapangan Terbang Changi pada 3 Jun. - Foto BH oleh SHAFIQ APANDI

Jemaah haji harus mempersiap diri dari segi rohani dan jasmani untuk mengharungi cuaca panas terik yang dianggar naik kepada hampir 50 darjah Celsius di Tanah Suci semasa musim haji, kata Menteri di Pejabat Perdana Menteri, Dr Mohamad Maliki Osman.

Bercakap kepada media pada 3 Jun di Lapangan Terbang Changi semasa menghantar rombongan pertama Singapura untuk menunaikan ibadah haji, Dr Maliki, yang juga Ketua Rombongan Haji bagi 2024, menggesa jemaah agar menjaga diri dan memantau kesihatan mereka.

“Kita diberitahu oleh agensi cuaca di Arab Saudi, cuaca mungkin meningkat hampir 50 darjah Celsius. Ini merupakan suhu paling tinggi dalam jangka masa 10 tahun lalu.

“Saya harap mereka akan terus bersedia dari segi rohani dan jasmani. Pastikan mereka banyak minum air, memantau keadaan dan menjaga pemakanan dan kesihatan mereka,” kata Dr Maliki, yang juga Menteri Kedua (Ehwal Luar merangkap Pendidikan).

Seramai 109 jemaah bertolak untuk menunaikan ibadah haji pada 3 Jun, yang merangkumi 31 jemaah daripada Noor Mohamad Services & Travel dan 78 jemaah daripada Halijah Travels.

Semasa di Lapangan Terbang Changi, Dr Maliki juga meluangkan masa beramah mesra dengan jemaah dan keluarga mereka, serta menyertai mereka membaca doa sebelum keberangkatan.

Dr Maliki turut diiringi Ketua Eksekutif Muis, Encik Kadir Maideen; dan Duta Besar Arab Saudi ke Singapura, Encik Abdullah Mohammed AlMadhi.

Beliau juga menggesa jemaah supaya memantau keadaan mereka dan menggunakan pelitup jika mereka kurang sihat agar tidak menyebar sebarang penyakit kepada jemaah lain.

“Kita tahu di sana akan terdapat lebih 2 juta jemaah daripada serata dunia. Jadi yang penting, mereka memantau kesihatan mereka sendiri dan jika perlu, menggunakan pelitup.

“Pelitup tidak bercanggah dengan cara mereka menunaikan ibadah haji. Jika mereka kurang sihat, mereka harus memakai pelitup. Dan seringkali memantau suhu badan mereka sendiri, dan berhubung dengan pegawai-pegawai mereka,” kata Dr Maliki.

Beliau menambah, Pejabat Ehwal Jemaah Haji Singapura (SPAO) akan bekerjasama rapat dengan ejen pelancongan (GSA) untuk memantau kebajikan jemaah.

Ketika ditanya apakah langkah-langkah yang SPAO telah ambil untuk memastikan keselamatan jemaah haji Singapura di sebalik pergolakan Timur Tengah yang sedang berterusan, Dr Maliki berkata SPAO dan GSA bekerjasama rapat untuk memastikan kemaslahatan jemaah dijaga dalam apa jua kecemasan.

“Memang kita tahu keadaan di Timur Tengah masih belum sampai ke tahap yang kita inginkan. Semua jemaah kita prihatin dengan keadaan yang berlaku di sana.

“Bagi SPAO, kami telah bekerjasama dengan GSA untuk menangani apa jua kecemasan yang mungkin berlaku apabila kita berada di sana. Yang penting adalah kita memastikan bahawa semua jemaah kita mengikut arahan-arahan yang diberikan.

“Dan jika ada keadaan kecemasan, kita akan bekerjasama untuk memastikan semua akan selamat, semua akan teratur apabila menangani apa jua kecemasan yang ada,” kata Dr Maliki.

Semasa di sana kelak, Dr Maliki berkata beliau akan mengunjungi setiap kumpulan haji Singapura untuk mendapatkan maklum balas dan memastikan kemaslahatan dan kebajikan mereka terjaga dengan baik.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg