Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

RRG lancar buku panduan perkasa kaunselor, mentor tangani ideologi pelampau

May 29, 2024 | 6:55 PM
Menteri Kanan, yang juga Menteri Penyelaras Bagi Keselamatan Negara, Encik Teo Chee Hean (kanan), telah melancarkan buku panduan keempat terbitan Kumpulan Pemulihan Keagamaan (RRG) yang bertajuk ‘Counselling and Mentoring Manual for Youth’ (Manual Kaunseling dan Pementoran Untuk Belia) bersama Pengerusi Bersama RRG, Ustaz Dr Mohamed Ali (duduk di sebelahnya), pada 29 Mei.
Menteri Kanan, yang juga Menteri Penyelaras Bagi Keselamatan Negara, Encik Teo Chee Hean (kanan), telah melancarkan buku panduan keempat terbitan Kumpulan Pemulihan Keagamaan (RRG) yang bertajuk ‘Counselling and Mentoring Manual for Youth’ (Manual Kaunseling dan Pementoran Untuk Belia) bersama Pengerusi Bersama RRG, Ustaz Dr Mohamed Ali (duduk di sebelahnya), pada 29 Mei. - Foto BH oleh NUR DIYANA TAHA

Belia membentuk kumpulan berisiko tinggi yang paling terdedah kepada ideologi pelampau dalam talian.

Oleh kerana mereka mudah dipengaruhi, ditambah pula dengan pencarian identiti dan cita-cita mereka, belia berisiko mungkin tertarik kepada kumpulan yang menyediakan penyelesaian mudah kepada rungutan atau perpaduan mereka dalam mengukuhkan sistem kepercayaan mereka.

Dalam pada itu, Kumpulan Pemulihan Keagamaan (RRG) menyedari keperluan untuk menghasilkan buku panduan keempatnya yang bertujuan memperkasa kaunselor dan mentor RRG dengan keupayaan mengenali, menyesuaikan diri dan bertindak balas terhadap pelbagai ancaman yang sering berubah, terutamanya trend dunia dalam talian.

Demikian jelas Pengerusi Bersama RRG, Ustaz Dr Mohamed Ali, semasa rahat tahunan RRG ke-19 pada 29 Mei di Shangri-La Rasa Sentosa.

Pada rahat tersebut, buku panduan keempat terbitan RRG yang bertajuk Counselling and Mentoring Manual for Youth atau Manual Kaunseling dan Pementoran Untuk Belia telah dilancarkan oleh Menteri Kanan yang juga Menteri Penyelaras Bagi Keselamatan Negara, Encik Teo Chee Hean.

Matlamat utama manual itu adalah bagi meningkatkan kesedaran terhadap evolusi berterusan yang penting dalam proses melibatkan belia berisiko dan mereka yang diradikalkan, kata Ustaz Mohamed.

Antara kaunselor RRG adalah Ustaz Ahmad Helmi Hasbi yang telah berurusan dengan belia berisiko sejak 2017.

Ustaz Helmi, yang telah membimbing dan memberi kaunseling kepada lebih 10 belia berisiko pada 2023, berkongsi kepada Berita Harian (BH) bahawa TikTok merupakan wadah di mana belia boleh mendapatkan maklumat dalam keratan ringkas yang mudah difahami dan diperolehi.

“Dari pemerhatian saya, kebanyakan belia ini mempunyai persoalan dan mereka ingin mencari jawapan.

“Mereka cuba mendapatkan jawapan daripada anggota keluarga yang rapat dengan mereka, tetapi jika mereka tidak dapat menemuinya, mereka bergantung kepada teknologi digital untuk mendapatkannya,” jelasnya.

Mengenai kepentingan pelancaran buku panduan keempat RRG buat masa ini, Ustaz Helmi berkata terdapat evolusi dalam trend dan landskap keganasan dan teknologi.

Beliau juga menekankan kepentingan RRG sebagai satu kumpulan untuk memantau trend ini dan meneruskan usaha pencegahan dan kawalan khususnya dalam bidang pemulihan.

Katanya:

“Pada akhirnya, kami mahukan yang terbaik untuk masyarakat. Kami juga mahukan yang terbaik untuk mereka yang telah disiasat atau ditangani agar mereka dapat mengintegrasikan diri dan menyumbang semula kepada masyarakat.”

Sejak ditubuhkan dan dirasmikan pada April 2003, RRG telah menerbitkan tiga buku panduan kaunseling pada lewat 2003, 2009 dan 2015 seperti berikut:

  1. Buku panduan pertama diterbitkan pada 2003 sebagai rujukan pemulihan dan juga menghasilkan bahan penyampaian yang berkaitan dengan fahaman Jemaah Islamiyah (JI);
  2. Buku panduan kedua diterbitkan pada 2009 untuk membantu kaunselor yang menghadapi cabaran semasa menjalankan tugas pemulihan bagi tahanan JI; dan
  3. Buku panduan ketiga diterbitkan pada 2015 untuk membantu kaunselor RRG mendidik semula klien RRG dan belia yang dipengaruhi ISIS, dan digunakan untuk pendidikan awam

Penerbitan kesemua buku panduan RRG (pertama hingga keempat) dalam tempoh 20 tahun adalah bukti bahawa ideologi ekstremis tidak statik.

Menurut Ustaz Mohamed, pelampau tidak wujud dalam vakum atau ruang kosong tetapi berkembang disebabkan oleh peristiwa dunia yang pesat berkembang, teknologi yang semakin maju dan penyokong serta rangkaian di serata dunia.

“Oleh itu, tugas kami di RRG akan sentiasa kekal sebagai tugas yang berterusan.

“Hanya dengan itu, kita boleh kekal relevan dan bertindak balas secara proaktif terhadap perubahan landskap ancaman pelampau,” ujar Ustaz Mohamed.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg