Sebuah pesawat pengangkutan C-130 Angkatan Udara Republik Singapura (RSAF) dikerahkan ke Filipina untuk menghantar bekalan bantuan kemanusiaan kepada masyarakat yang terjejas susulan Ribut Tropika Trami.
Kementerian Pertahanan (Mindef) menyatakan pada 26 Oktober bahawa Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) mengerahkan pesawat tersebut atas permintaan pemerintah Filipina untuk membantu mereka dalam usaha bantuan kemanusiaan, lapor The Straits Times.
“Sumbangan SAF menonjolkan hubungan dua hala dan pertahanan mesra dan erat, serta kerjasama rapat bantuan kemanusiaan dan bencana antara Singapura dan Filipina,” kata Mindef.
Angka kematian di Filipina akibat Ribut Tropika Trami meningkat kepada 76 orang pada 25 Oktober, manakala puluhan ribu penduduk masih kehilangan tempat tinggal selepas melarikan diri daripada banjir yang berlaku akibat hujan lebat, lapor AFP.
Jumlah hujan yang turun dalam masa dua hari di beberapa kawasan itu dilaporkan bersamaan jumlah hujan selama dua bulan.
Satu perkiraan rasmi yang dikeluarkan pada 24 Oktober menunjukkan hampir 320,000 penduduk dipindahkan selepas banjir tersebut mengubah jalan raya menjadi sungai, manakala ribut itu menjadikan beberapa bandar separuh tertimbus dalam endapan gunung berapi yang seumpama lumpur.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg