HANOI: Sebilangan sungai di utara Vietnam meningkat ke paras bahaya dan bersejarah di tengah-tengah kenaikan jumlah kematian sedang hujan lebat berterusan selama beberapa hari selepas Taufan Yagi membadai negara itu.
Sehingga petang 12 September, 179 kematian telah dilaporkan dengan 145 orang lagi hilang di seluruh wilayah utara negara itu, menurut televisyen pemerintah VTV.
Lebih 101,000 rumah telah rosak dan lebih 40,000 rumah lain ditenggelami air banjir, menurut kementerian pertanian.
Ribut terburuk Vietnam dalam tempoh beberapa dekad itu adalah satu lagi petanda bahawa pemanasan global kemungkinan telah menjadikan taufan tropika lebih kuat.
Air yang lebih panas dan udara lembap yang terhasil daripada pemanasan global, mendorong dan menyebabkan taufan tropika dan ribut lain.
Di Vietnam, hujan lebat yang berterusan sejak hujung minggu lalu telah menambahkan lagi kemusnahan akibat Taufan Yagi, yang bertiup kencang pada 7 September sebelum melemah beberapa hari kemudian.
Pusat Ramalan Hidro-Meteorologi Kebangsaan menyatakan hujan lebat di utara Vietnam dijangka berterusan sekurang-kurangnya sehingga 12 September.
Pemerintah telah mengeluarkan amaran tentang risiko banjir dan tanah runtuh yang berterusan.
Pengeluar elektronik seperti pembekal Apple dan Samsung Electronics yang terletak di wilayah yang dilanda banjir, bagaimanapun nampaknya terhindar daripada kerosakan besar.
Kilang-kilang di bandar pelabuhan Haiphong telah meneruskan operasi biasa walaupun banjir melanda beberapa gudang dan jalan raya, menurut Encik Le Trung Kien, ketua Pihak Berkuasa Zon Ekonomi Haiphong.
Taksiran kerugian awal di wilayah Yen Bai, Phu Tho, Thai Binh, Ha Giang dilaporkan mencecah sekitar AS$95 juta ($124 juta).
Sementara itu, sehingga 10 September, pemerintah Vietnam menyatakan kira-kira 149,000 hektar sawah padi di utara Vietnam telah ditenggelami air, dan 26,200 hektar tanaman lain rosak, demikian dilaporkan radio negara di laman webnya. – Reuters
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg