Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

RSAF manfaatkan AI dalam sistem simulasi nilai kemahiran pilot pelatih

Jun 9, 2023 | 2:59 PM
TEKNOLOGI SIMULASI: Seorang  juruterbang pelatih RSAF kelihatan sedang menyerang dan menembak kapal terbang musuh dalam skrin menerusi sistem simulasi Projek SOAR yang berbentuk persis kokpit jet pejuang.
TEKNOLOGI SIMULASI: Seorang juruterbang pelatih RSAF kelihatan sedang menyerang dan menembak kapal terbang musuh dalam skrin menerusi sistem simulasi Projek SOAR yang berbentuk persis kokpit jet pejuang. - Foto ZAOBAO

Pada masa akan datang, juruterbang pelatih Angkatan Udara Republik Singapura (RSAF) akan perlu menjalani simulasi yang berupaya merakam setiap perbuatan, penglihatan dan daya pemikiran mereka dengan teliti tatkala mengendali pesawat termasuk melakukan pergerakan penerbangan yang rumit selain menyerang kapal terbang musuh.

Sistem penilaian dan latihan juruterbang pelatih dipertingkat itu, yang dikenali sebagai Projek SOAR, memanfaatkan teknologi kecerdasan buatan (AI) dan analisis data agar dapat membantu juruterbang pelatih RSAF menajamkan kemahiran penerbangan mereka sebelum mengendali kenderaan udara sebenar.

Kini sedang berada dalam fasa percubaan, sistem itu adalah antara keupayaan digital serta kaedah teknologi canggih yang diterokai RSAF sebagai sebahagian sambutan ulang tahun ke-55 pasukan itu pada 2023.

Ia kali pertama diumumkan pada September 2021 dan RSAF berkata tiada tarikh tetap percubaan itu akan selesai memandangkan sistem tersebut masih berada dalam fasa penerokaan.

Projek SOAR menggunakan teknologi analisis data dan sains data serta alat yang boleh dipakai pengguna agar dapat merakam maklumat psikofisiologikal pelatih sekali gus membolehkan RSAF memantau dengan teliti perbuatan mereka – sesuatu yang tidak dapat dilakukan secara fizikal.

RSAF berharap menerusi kaedah itu, ia akan dapat mempertingkat latihan dan penilaian juruterbang pelatih.

Seramai 250 juruterbang pelatih telah menduduki sistem berkenaan, kata RSAF semasa satu pertunjukan media pada Khamis.

Projek yang mendapat tajaan dan lulus pada 2020 itu dibangunkan bersama rakan berkepentingan lain seperti Makmal Nasional Pertubuhan Sains Pertahanan (DSO), pembangun sofwe penerbangan AviationLearn dan Direktorat Teknologi dan Sistem Masa Depan (FSTD) dan projek percubaan dilancar sejak September 2021.

RSAF mendedahkan kepada umum sistem simulasi itu buat kali pertama kepada media pada Khamis di Pangkalan Udara Paya Lebar.

PANTAU PERBUATAN: Sistem simulasi Projek SOAR berupaya memantau segala perbuatan pelatih, termasuk apa yang sedang dilihat pelatih, butang yang dipicit dalam kokpit serta perubahan pada perkakas kapal terbang termasuk kelajuan dan ketinggian pesawat.
PANTAU PERBUATAN: Sistem simulasi Projek SOAR berupaya memantau segala perbuatan pelatih, termasuk apa yang sedang dilihat pelatih, butang yang dipicit dalam kokpit serta perubahan pada perkakas kapal terbang termasuk kelajuan dan ketinggian pesawat. - Foto ST

Sistem simulasi berbentuk persis kokpit jet pejuang itu, dengan tiga skrin lebar yang menunjukkan sekitaran penerbangan, dilengkapi speaker yang mengeluarkan bunyi enjin jet.

Seorang pelatih, lengkap dengan pakaian juruterbang dan topi keledar dengan beberapa wayar di atasnya yang sedang mengendali sistem simulasi itu kelihatan menyerang sebuah jet pejuang musuh dan menembaknya apabila tanda titik di skrinnya mengunci sasaran pada pesawat musuh itu

Di belakangnya adalah meja yang dilengkapi beberapa skrin yang mengumpul pelbagai maklumat seperti dentuman jantung, kekerapan gelombang otak, reaksi psikofisiologikal, serta boleh memantau arah penglihatan dan perbuatan pelatih juruterbang yang sedang menjalani simulasi itu termasuk perubahan wajahnya secara langsung.

Memperhatikan maklumat itu ialah seorang jurulatih serta seorang pakar psikologi. Setiap butang yang dipicit pelatih semasa simulasi itu juga dirakam sistem tersebut.

Jurulatih yang mengendali simulasi itu juga boleh menyediakan beberapa senario atau misi tertentu bagi pelatih yang sedang menjalani simulasi tersebut termasuk mengubah sekitaran tempat latihan, persis ruang udara luar negara, cuaca dan tempoh hari.

RAKAM DATA PSIKOFISIOLOGIKAL: Maklumat psikofisiologikal seperti dentuman jantung, kekerapan gelombang otak dan perbuatan pelatih dirakam dengan teliti menerusi sistem simulasi Projek SOAR.
RAKAM DATA PSIKOFISIOLOGIKAL: Maklumat psikofisiologikal seperti dentuman jantung, kekerapan gelombang otak dan perbuatan pelatih dirakam dengan teliti menerusi sistem simulasi Projek SOAR. - Foto ST

Menurut Ketua Projek SOAR dari Jabatan Latihan Udara (ATD) RSAF, Mejar Jeremy Lim, simulasi itu, antara lain dapat membolehkan pelatih mengendali senario tertentu yang tidak dapat dilakukan secara fizikal di sini.

Ini termasuk latihan pergerakan asas pesawat seperti berlepas dan mendarat, pergerakan pertempuran udara, pemulihan selepas mengalami perubahan ketinggian serta-merta dan penerbangan di paras ketinggian rendah.

Latihan rumit seperti itu yang sering mengambil masa empat hingga lima minggu untuk dilatih dengan kenderaan sebenar kini boleh diajar dalam tempoh empat hari menerusi simulasi itu.

Mejar Lim berkata jika percubaan sistem itu selesai, ia dijangka diterapkan di peringkat latihan awal selepas pelatih menghabiskan Latihan Asas Tentera (BMT) dan ujian penilaian dan sebelum berangkat luar negara bagi menjalani tempoh penilaian di Pusat Penilaian Penerbangan (AGC) di Jandakot, Perth, Australia Barat.

AGC merupakan fasa penilaian penerbangan yang mengambil masa sekitar empat hingga lima minggu.

Malah, peluang mengendali kapal terbang sebenar sendiri merupakan peluang yang jarang berlaku dan hanya boleh dilakukan bagi tujuan latihan rasmi.

“Simulasi ini sesuatu yang membawa banyak manfaat kepada kami sebab bayangkan sebelum ini, juruterbang pelatih kami tidak mempunyai sebarang pendedahan mengendali kapal terbang sebelum berangkat ke Australia, termasuk sistem simulasi,” kata Mejar Lim.

“Dengan kaedah sebegini, kami dapat membuat penilaian dan jangkaan awal terhadap keupayaan dan kebolehan pelatih kami dan lihat bagaimana kami dapat membantu mereka mengenal pasti kelemahan mereka.”

Namun, Mejar Lim menjelaskan, maklumat dikumpul itu tidak akan dihantar kepada pihak AGC agar ia tidak “mempengaruh penilaian sebenar yang dilakukan para jurulatih di pusat itu”.

“Jadi secara holistik, selain maklumat psikofisiologikal itu, kesemua maklumat lain yang ditangkap dalam sistem simulasi ini, dari paras ketinggian dan kelajuan pesawat akan dinilai dan diproses oleh sebuah mesin untuk memberitahu kami mengenai potensi pelatih tersebut dan sama ada beliau akan dapat lulus pada setiap peringkat penilaian selanjutnya.”

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg