Angkatan Udara Republik Singapura (RSAF) dan Angkatan Udara Indonesia (TNI AU) telah menjalankan rondaan udara bersama menggunakan pesawat pejuang buat julung-julung kalinya, sekali gus memperkukuh kerjasama pertahanan antara kedua-dua negara.

Menurut kenyataan media Kementerian Pertahanan (Mindef) pada 4 November, rondaan udara yang berlangsung dari 3 hingga 4 November 2026 itu merupakan sebahagian daripada operasi sulung Patkor Indopura, dengan penyertaan dua pesawat pejuang F-16 daripada setiap tentera udara.

Operasi tersebut mencerminkan komitmen bersama kedua-dua angkatan udara dalam melindungi ruang udara dan sempadan masing-masing daripada ancaman keganasan rentas negara.

Sepanjang operasi itu, kedua-dua pihak mengadakan taklimat bersama, melaksanakan prosedur operasi standard serta menjalankan rondaan secara bersama di ruang udara sepanjang sempadan Singapura dan Indonesia.

Rondaan itu juga bertujuan memperkukuh kerjasama serta mendalami kepercayaan dan persefahaman antara RSAF dengan TNI AU.

Panglima Tentera Udara, Mejar-Jeneral (MG) Kelvin Fan, dan Panglima Tentera TNI AU, Marsyal Madya Udara Mohamad Tonny Harjono, turut mengambil bahagian dalam rondaan tersebut dengan menaiki pesawat pejuang negara masing-masing.

Mengulas kepentingan operasi sulung itu, Mejar Jeneral Fan berkata Patkor Indopura merupakan satu pencapaian istimewa bagi kedua-dua angkatan udara.

“Keupayaan untuk menjalankan rondaan bersama ini menunjukkan kepercayaan, persahabatan dan profesionalisme antara kedua-dua angkatan udara,” katanya.

Patkor Indopura mencerminkan hubungan pertahanan dua hala yang rapat dan telah lama terjalin antara Singapura dengan Indonesia.

Selain operasi tersebut, kedua-dua angkatan udara turut kerap terlibat dalam latihan ketenteraan bersama seperti Exercise Elang Indopura, Exercise Camar Indopura dan Exercise Manyar Indopura.

Kerjasama itu turut diperkukuh menerusi lawatan peringkat tinggi, pertukaran profesional serta penyertaan silang dalam kursus latihan.

Interaksi sedemikian memainkan peranan penting dalam memperkukuh persefahaman, mengeratkan hubungan persahabatan dan meningkatkan keupayaan kedua-dua angkatan udara untuk beroperasi bersama secara berkesan, tambah kenyataan itu lagi.

Ikuti topik ini:
Log masuk untuk ikuti