Pengunjung ke pusat membeli-belah Causeway Point bakal berpeluang meneroka salah satu koleksi sastera Singapura (SingLit) dan karya penulis tempatan yang paling menyeluruh, apabila ruang sosial dan bacaan baharu dibuka pada 2028.

Dinamakan The HomePage @ Causeway Point, ruang tersebut turut menempatkan salah satu koleksi buku perpustakaan terpakai terbesar di Singapura yang boleh diakses oleh orang ramai dalam pelbagai bahasa.

Ini adalah sebahagian daripada usaha untuk mempromosikan kemampanan dan menggalakkan amalan membaca, ujar Frasers Centrepoint Trust (FCT), pemilik pusat beli-belah tersebut, dan Lembaga Perpustakaan Negara (NLB), pada 22 Oktober.

Pengunjung boleh membelek dan membawa pulang buku-buku perpustakaan terpakai itu tanpa perlu meminjamnya.

Pameran SingLit juga akan merangkumi pameran bertema dan program-program menarik.

NLB akan bekerjasama dengan Majlis Seni Kebangsaan (NAC) untuk mengagihkan dan menguruskan ruang SingLit itu bagi menampilkan karya sastera, serta memupuk penghargaan yang lebih mendalam terhadap warisan sastera Singapura.

FCT dan NLB telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MOU) pada 20 Oktober untuk bekerjasama dalam perancangan, reka bentuk, dan pelaksanaan ruang awam tersebut, termasuk koleksi sastera, program kemasyarakatan, serta pengalaman pengunjung.

The HomePage @ Causeway Point akan merangkumi kawasan seluas 32,000 kaki persegi di sebahagian tingkat enam dan tujuh pusat beli-belah berkenaan, dan merupakan sebahagian daripada rancangan keseluruhan FCT untuk menaik taraf pusat beli-belah tersebut antara 2027 dengan 2029.

Pengunjung boleh menikmati makanan dan minuman di dalam ruang bacaan komuniti ini, di samping pengalaman interaktif dan kemudahan mesra keluarga seperti zon permainan kanak-kanak.

Ia juga akan mempunyai teater dalam bangunan dan ruang tayangan khas bagi tayangan filem, sesi perkongsian penulis, sesi bercerita, serta program kebudayaan.

Bagi mewujudkan suasana yang unik kepada Singapura, reka bentuknya akan mengambil inspirasi daripada blok HDB di Teck Whye yang ikonik dengan warna-warna unik, bekas bangunan Perpustakaan Negara di Stamford Road, dan bentuk geometri seni bina ‘brutalisme’ Singapura pada tahun 1970-an, kata FCT dan NLB.

Ketua Pegawai Eksekutif NLB, Cik Melissa Tam, berkata ruang itu menandakan satu pencapaian penting dalam usaha mereka memupuk budaya membaca yang lebih kuat di Singapura.

“Dengan menjadikan amalan membaca lebih mudah diakses dan mewujudkan peluang baharu untuk pembaca meneroka SingLit serta penulis tempatan, kami berharap dapat menggalakkan lebih ramai rakyat Singapura menjadikan pembacaan sebagai amalan seumur hidup dan mengeratkan hubungan dengan warisan serta identiti bersama kita,” kata Cik Tam.