Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Rujukan pakar Projek Arif bantu ibu bapa kesan anak alami ekzema

Sep 23, 2024 | 5:30 AM
Ketua kaunselor Projek Arif, Ustaz Ahmad Khushairi Abidin (kiri), berkata  program Temasek Foundation Achieving Resilient and Inspiring Families (Arif) membolehkan beliau memberi bimbingan dan menyalurkan pasangan kepada pakar yang diperlukan. Bersamanya ialah pasangan yang beliau nikahkan dan bimbing, Encik Muhammad Amirul Shah Imran dan Cik Nur Amalina Anuar, bersama anak mereka, Noah Ariffin.
Ketua kaunselor Projek Arif, Ustaz Ahmad Khushairi Abidin (kiri), berkata program Temasek Foundation Achieving Resilient and Inspiring Families (Arif) membolehkan beliau memberi bimbingan dan menyalurkan pasangan kepada pakar yang diperlukan. Bersamanya ialah pasangan yang beliau nikahkan dan bimbing, Encik Muhammad Amirul Shah Imran dan Cik Nur Amalina Anuar, bersama anak mereka, Noah Ariffin. - Foto BH oleh NUR DIYANA TAHA

Apabila anak lelaki Cik Nur Amalina Anuar dan Encik Muhammad Amirul Shah Imran mengalami ruam sejak dilahirkan pada 2023, ia pada awalnya didiagnos sebagai alahan disebabkan susu yang diminumnya.

Apabila ruam tersebut berterusan, mereka berasa ada sesuatu tidak kena dan memanfaatkan kepakaran karyawan penjagaan kesihatan di bawah rangkaian program Temasek Foundation Achieving Resilient and Inspiring Families (Arif), atau Projek Arif, yang mereka sertai.

Di bawah rangkaian itu, mereka dihubungkan kepada Konsultan Perkhidmatan Umum Pediatrik, Jabatan Pediatrik Hospital Wanita dan Kanak-Kanak KK (KKH), Dr Nur Adila Ahmad Hatib, yang menjelaskan anak mereka sebenarnya menghidap ekzema – masalah kulit yang menyebabkan keradangan, kemerahan dan kerengsaan kulit.

Berkongsi bersama Berita Harian, Encik Amirul, 29 tahun, bapa seorang anak, berkata: “Projek ini ada sediakan peperiksaan kesihatan bulanan. Jadi pada salah satu peperiksaan yang kami hadir, kami memberitahu pakar pediatrik, Dr Adila, mengenai ruam Noah (anaknya).

“Dia alami ruam sejak lahir dan ia sebenarnya agak teruk. Pada mulanya ia dianggap sekadar ruam panas. Susulan peperiksaan kesihatan itu, Dr Adila menjelaskan Noah ada ekzema. Dari situ, kami buat peperiksaan susulan.”

Pasangan tersebut, yang mendirikan rumah tangga pada 2021, antara 2,000 pasangan yang meraih manfaat daripada Projek Arif sejak diperkenalkan pada 2020.

Dirintis pada 2021, projek itu menyediakan bimbingan keagamaan, perkahwinan, perubatan dan keibubapaan oleh kumpulan naib kadi, kakitangan masjid dan karyawan penjagaan kesihatan daripada KKH kepada pasangan Islam.

Projek tersebut telah diperluas dengan pelibatan lebih banyak pertubuhan, termasuk AMP Singapore pada 2023.

Menurut Cik Nur Amalina, 28 tahun, mereka mengetahui tentang projek ini melalui naib kadi yang menikahkan mereka, Ustaz Ahmad Khushairi Abidin, yang juga ketua kaunselor Projek Arif.

Beliau menyifatkan projek itu bak sebuah pusat khidmat sehenti kerana jika ada sebarang kemusykilan, mereka hanya perlu ajukannya kepada pekerja sosial di bawah projek itu, yang kemudian akan menyalurkannya kepada pihak relevan.

Tidak kira sama ada ia bersangkutan perkahwinan, agama, mahupun membesarkan anak, tidak ada kemusykilan yang tidak akan terjawab, tambahnya.

Berkongsi berkenaan saluran kepada pakar, Encik Amirul berkata: “Saya rasa ini satu keistimewaan kerana kalau anda ingin bertemu karyawan atau pakar khusus, anda pasti perlu membuat janji temu dan mengeluarkan bayaran.

“Bagi keluarga yang mungkin tidak berkemampuan untuk melalui semua itu, lebih-lebih lagi jika kedua-dua pasangan bekerja dan sukar mendapatkan masa untuk membawa si anak ke janji temu, misalnya, pendekatan ini pastinya merupakan sesuatu yang boleh dipertimbangkan.”

Bahkan, Encik Amirul menyifatkan hubungannya suami isteri dengan Ustaz Ahmad sebagai begitu akrab kerana bimbingan yang telah diberikan kepada mereka – mereka mengenali Ustaz Ahmad ketika menyumbang secara sukarela di Masjid Darul Ghufran.

Berkongsi tentang kerjasama silang pasukan pelbagai kepakaran itu, Ustaz Ahmad berkata: “Kami bukan sahaja memberikan pasangan ruang selamat dan profesional, keperluan bagi satu-satu kes akan dikenal pasti dan ditangani oleh pihak yang pakar dalam kes tersebut.

“Misalnya, apabila saya tahu yang pasangan ini (Cik Nur Amalina dan Encik Amirul) bakal timang cahaya mata, saya kongsikan apa proses atau sunah yang boleh dipraktikkan. Pada masa sama, saya dapat perkembangan terkini daripada doktor.”

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg