Hidayah
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Forum ‘Bersamamu’ bincang persiapan, cabaran urus anak

Ahli panel turut kongsi kepentingan komunikasi, sokongan antara suami isteri 
Sep 1, 2024 | 5:30 AM
Perbincangan oleh ahli panel terdiri daripada (dari kiri) mantan guru dan pengarang buku masak, Cik Nurashikin Rahmat; Pekerja Sosial Utama bagi Pusat Sokongan Keluarga Persatuan Pemudi Islam Singapura (PPIS) As-Salam, Cik Zahara Mahmood; Naib Kadi dan Ketua Kaunselor TF-Project Arif @AMP, Ustaz Ahmad Kushairi Abidin; dan penulis, Ustaz Muhammad Zuhaili Md Yusof, yang bertindak selaku moderator.
Perbincangan oleh ahli panel terdiri daripada (dari kiri) mantan guru dan pengarang buku masak, Cik Nurashikin Rahmat; Pekerja Sosial Utama bagi Pusat Sokongan Keluarga Persatuan Pemudi Islam Singapura (PPIS) As-Salam, Cik Zahara Mahmood; Naib Kadi dan Ketua Kaunselor TF-Project Arif @AMP, Ustaz Ahmad Kushairi Abidin; dan penulis, Ustaz Muhammad Zuhaili Md Yusof, yang bertindak selaku moderator. - Foto ROMM

Cahaya mata adalah anugerah dan amanah daripada Allah swt.

Antara tujuan dalam pernikahan adalah untuk melahirkan zuriat bagi mengembangkan lagi umat Nabi Muhammad saw yang bakal mewarisi ajaran Islam dari satu generasi ke generasi yang lain.

Menguruskan anak bukanlah perkara mudah, apatah lagi bagi pasangan yang memiliki ramai anak.

Tidak dinafikan, sebahagian pasangan mengharapkan zuriat setelah bernikah, tetapi dalam masa yang sama, memiliki perasaan yang bercampur aduk di antara gembira dengan risau, sama ada mereka sudah bersedia ataupun belum.

Berdasarkan situasi itu, ‘Bersamamu Forum @ the Heartlands’ bertajuk, Dulu Lain, Sekarang Lain: Dulu Berdua, Sekarang Bertiga, dianjurkan oleh Pejabat Pendaftaran Pernikahan Orang Islam (ROMM), Masjid An-Nur, M Kuasa Tiga (M3), Majlis Ugama Islam Singapura (Muis), Mendaki, Majlis Jawatankuasa Eksekutif Kegiatan Melayu Persatuan Rakyat (PA Mesra) dan Keluarga Sepanjang Hayat (FFL) Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF).

Forum pada 24 Ogos itu berlangsung di Masjid An-Nur dalam bahasa Melayu.

Ia dihadiri sekitar 100 peserta terdiri dalam kalangan kaum ibu dan ayah berserta pasangan muda, ia turut meraih hampir 5,000 tontonan di Facebook Masjid An-Nur.

Acara tersebut dihadiri tetamu terhormat, Menteri Negara (Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Negara), Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim; Pendaftar ROMM, Ustaz Nor Razak Bakar; Timbalan Pengarah Kanan, Kementerian Kebudayaan, Masyarakat dan Belia (MCCY), Encik Imran Mohamed; dan Pengarah Kanan, Pengurusan Masjid Muis, Encik Zalman Ali.

Ahli panel yang diundang pada acara tersebut ialah Naib Kadi dan Ketua Kaunselor TF-Project Arif @AMP, Ustaz Ahmad Kushairi Abidin; Pekerja Sosial Utama bagi Pusat Sokongan Keluarga Persatuan Pemudi Islam Singapura (PPIS) As-Salam, Cik Zahara Mahmood; dan juga mantan guru dan pengarang buku masak, Cik Nurashikin Rahmat.

Secara umum, forum itu bertujuan memberi bimbingan kepada pasangan mengenai persiapan, cabaran dan cara menangani isu berkaitan pengurusan anak.

Memulakan perbincangan, Cik Nurashikin berkongsi pengalaman peribadinya.

Ibu empat anak itu berkata selain isu perancangan kewangan yang perlu diurus dengan baik, saat yang paling mencabar dalam menguruskan anak bukan ketika usia bayi yang baru dilahirkan, tetapi ketika anak mencecah usia setahun ke atas – ketika anak sudah mula menunjukkan ragam dan kerenah yang mencabar untuk ditangani.

Pastinya ia memerlukan kesabaran yang tinggi dan sokongan kuat daripada pasangan untuk menguruskan anak pada usia tersebut.

Cik Nurashikin tidak menafikan bahawa ketika menguruskan anak, beliau pernah berasa ‘burnout’ – terlalu penat, kehabisan tenaga dan hadapi tekanan luar biasa – hingga ke tahap hampir berputus asa.

Mujur, beliau dapat kembali tenang dan tabah disebabkan sokongan yang diberi oleh pasangannya untuk kekal positif dalam mengharungi cabaran bersama sebagai pasangan suami isteri dan memainkan peranan selaku ibu bapa.

Menurutnya, adalah sangat penting untuk sedia menerima teguran dan berbincang secara terbuka dengan pasangan untuk meningkatkan persefahaman dalam menguruskan hal ehwal keluarga.

Cik Zahara pula berkongsi bahawa sebelum mendapatkan zuriat, pasangan perlu membuat persiapan dari segi mental, fizikal dan sokongan emosi.

Apabila pasangan mendirikan rumah tangga, pasti ada banyak perbezaan daripada cara mereka berfikir dan menguruskan anak, ekoran latar belakang yang berbeza.

Maka, pasangan perlu belajar menyesuaikan diri antara satu sama lain dan tekal dalam mendisiplin anak.

Ustaz Ahmad Kushairi menambah bahawa di samping usaha untuk bekerja, pasangan perlu yakin bahawa rezeki akan datang dari sudut yang tidak disangka apabila mereka dianugerahkan cahaya mata.

Adanya perasaan risau adalah perkara biasa, tetapi jangan sampai ia berlebihan sehingga menjadi kerisauan yang tidak bertempat.

Keyakinan terhadap rezeki yang akan datang dikaitkan dengan firman Allah swt dalam Surah An-Nahl ayat 72 yang bermaksud:

“Allah menjadikan bagi kamu isteri-isteri daripada jenis kamu sendiri dan menjadikan bagimu daripada isteri-isteri kamu itu, anak-anak dan cucu-cucu, dan memberimu rezeki daripada yang baik-baik.’’

Sehubungan dengan itu, keharmonian dan kestabilan rumah tangga penting di dalam pembangunan anak dan ini tidak boleh dicapai melainkan dengan berkomunikasi dan persefahaman yang baik antara suami isteri.

Teladan Nabi Muhammad saw sebagai ketua keluarga mengajar kita banyak perkara seperti berbincang, membantu pasangan dalam menguruskan rumah dan anak, sentiasa tenang dalam menghadapi masalah dan lain-lain lagi.

Cik Zahara menasihatkan bahawa pasangan harus bijak mengurus masa dan mengambil berat kesihatan mental dan fizikal diri sendiri.

Malah, ada pasangan yang mengadakan ‘babymoon’ iaitu percutian santai atau romantis oleh pasangan suami isteri sebelum kelahiran bayi mereka.

Antara pertanyaan yang diajukan kepada ahli panel termasuk isu perselisihan antara mentua dengan menantu dalam mendidik anak; cara melindungi anak daripada anggota keluarga yang mempunyai pengaruh kurang baik; dan panduan menasihatkan pasangan supaya lebih komited dalam mengurus anak.

Cik Zahara menjelaskan bahawa komunikasi itu penting dalam mengatasi isu-isu tersebut supaya ada tolak ansur dan titik persetujuan antara kedua-dua pihak.

Bagaimanapun, ibu dan ayah harus memikirkan jalan penyelesaian terbaik demi kemaslahatan anak-anak mereka dalam apa jua situasi yang dihadapi.

Ustaz Ahmad Kushairi pula berkata usaha membina rumah tangga harmoni memerlukan kesungguhan kedua-dua suami dan isteri dalam menjaga perasaan antara satu sama lain.

Belaian dengan penuh penghargaan dan sikap saling menghormati merupakan kunci rumah tangga kekal bahagia.

Cabaran dan masalah pasti akan dihadapi oleh setiap pasangan dalam membesarkan anak.

Sekiranya pasangan dapat menerapkan nilai mulia serta sikap positif dalam diri mereka dan memahami konsep, berat sama dipikul, ringan sama dijinjing, tentunya apa jua cabaran akan dapat diatasi secara bersama dengan lebih berkesan.

Mujur pada masa kini, pelbagai daya usaha telah diperkenal untuk memberi sokongan kepada pasangan.

Ini bertujuan memperkukuh institusi keluarga dengan adanya wadah profesional untuk dijadikan rujukan bagi pasangan yang memerlukan sokongan sebelum dan sesudah bernikah.

Antaranya ialah program, ‘Bersamamu’, yang diperkenalkan sejak 2019.

Ia menjadi wadah kepada pasangan bertemu Kadi atau Naib Kadi bagi sesi bersemuka sebelum bernikah dan para Kadi atau Naib Kadi akan mendampingi pasangan pada dua tahun pertama perkahwinan.

Di samping itu, Projek Arif Yayasan Temasek yang merupakan usahasama antara Yayasan Temasek, Hospital Wanita dan Kanak-Kanak KK (KKH) dengan Muis, telah diperkenalkan sebagai satu daya usaha bagi memberi sokongan
lebih baik kepada pasangan.

Ini termasuk dalam persediaan perkahwinan dan kehidupan berkeluarga, di samping mengoptimumkan kesejahteraan ibu hamil serta perkembangan anak.

Melalui forum keluarga seperti itu, pelbagai tajuk menarik boleh dibincang bagi membolehkan pasangan muda mendapatkan bimbingan dan manfaat dari masa ke masa dengan harapan rumah tangga mereka dipenuhi dengan sakinah (ketenangan), mawaddah (kasih sayang) dan rahmah (rahmat).

Ustaz Muhammad Zuhaili Md Yusof ialah Ketua Jabatan & Pegawai Kanan Agama bagi Jabatan Pendidikan Islam dan Dakwah Masjid An-Nur. Beliau yang juga Naib Kadi di ROMM, memiliki ijazah sarjana dalam Syariah Islamiah daripada Universiti Al-Azhar, Mesir.

Melalui forum keluarga seperti ini, pelbagai tajuk menarik boleh dibincang bagi membolehkan pasangan muda mendapatkan bimbingan dan manfaat dari masa ke masa dengan harapan rumah tangga mereka dipenuhi dengan sakinah (ketenangan), mawaddah (kasih sayang) dan rahmah (rahmat).
Penulis.
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg