Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Rumah kelab baru akan dibina di Tengah, dijangka siap 2031

Apr 4, 2025 | 2:59 PM
Menteri Ehwal Dalam Negeri merangkap Undang-Undang, Encik K Shanmugam, bercakap pada majlis Anugerah HomeTeamNS yang diadakan di rumah kelab HomeTeamNS Khatib pada 3 April.
Menteri Ehwal Dalam Negeri merangkap Undang-Undang, Encik K Shanmugam, bercakap pada majlis Anugerah HomeTeamNS yang diadakan di rumah kelab HomeTeamNS Khatib pada 3 April. - Foto ST

Dengan dua rumah kelab HomeTeamNS yang serba canggih sudah beroperasi di Khatib dan Bedok Reservoir, Menteri Ehwal Dalam Negeri, Encik K. Shanmugam berkata sebuah lagi kelab rumah, yang ketiga, dijangka siap pada 2031.

Rumah kelab ini akan terletak di Tengah.

Beliau berkongsi beberapa butiran mengenai kelab rumah baru tersebut semasa acara Anugerah HomeTeamNS 2025 yang diadakan di rumah kelab HomeTeamNS Khatib pada 3 April.

Encik Shanmugam memberitahu lebih 200 tetamu yang hadir di acara tersebut bahawa Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) menghargai sumbangan anggota HomeTeamNS, yang mempunyai lebih daripada 270,000 ahli, lapor The Straits Times (ST).

“HomeTeamNS menghargai sumbangan Anggota Perkhidmatan Negara (NSmen) melalui pembinaan rumah kelab serta kegiatan yang dijalankan dan ini memperkukuhkan lagi Pasukan Home Team, ” kata Encik Shanmugam yang juga Menteri Undang-Undang.

Rumah kelab di Tengah akan mempunyai tema ‘Great Outdoors’ (Kegiatan Luar yang Hebat) dengan kemudahan seperti pusat kegiatan luar, vila, taman permainan kanak-kanak dan padang futsal berbumbung.

Rumah kelab ini akan menggantikan rumah kelab HomeTeamNS di Bukit Batok.

Sebagai tanda penghargaan, pemerintah telah mengagihkan kredit LifeSG bernilai $200 kepada setiap NSmen pada November 2024 dan akan menaikkan elaun bulanan anggota NS sepenuh masa sebanyak $35 kepada $75 mulai 1 Julai.”

Mengiktiraf peranan penting NSmen dalam Pasukan Home Team, Encik Shanmugam berkata: “Sumbangan anda memastikan Pasukan Home Team berfungsi dengan baik dan Singapura kekal selamat.”

Untuk menghadapi cabaran moden, Pasukan Home Team akan menggunakan kepakaran NSmen, termasuk dalam bidang perubatan, kejuruteraan, media digital dan psikologi.

Kelab rumah di Khatib dan Bedok Reservoir telah diterima dengan baik, mencetuskan rasa bangga dalam masyarakat Pasukan Home Team, tambah Encik Shanmugam.

Bagi memudahkan kehidupan para NSmen, HomeTeamNS telah menggunakan teknologi untuk mempermudahkan akses kepada pelbagai perkhidmatan dan promosi yang dijalankan.

Hampir 90 peratus ahli telah memuat turun aplikasi HomeTeamNS dan pada 2024, HomeTeamNS mencapai penilaian kepuasan sebanyak 90 peratus daripada lebih 6,000 ahli yang menyertai tinjauan penglibatan tahunan.

Di majlis anugerah itu juga, 60 sukarelawan dan rakan korporat yang memberikan sumbangan cemerlang mendapat pengiktirafan.

Sebanyak 43 sukarelawan menerima Anugerah Perkhidmatan Lama, 15 sukarelawan menerima Anugerah Meritorius, dan dua rakan korporat menerima Anugerah ‘Friends of HomeTeamNS’.

Kolonel (COL) Jahan De Silva Din Abdullah, yang telah memberi sumbangan secara aktif kepada jawatankuasa pengurusan HomeTeamNS sejak 2017, menerima Anugerah Meritorius Platinum.

Sebagai pengerusi jawatankuasa teknologi, COL Jahan memainkan peranan penting dalam melaksanakan teknologi maklumat (IT) generasi baru untuk rumah kelab HomeTeamNS di Khatib dan Bedok Reservoir, kata Encik Shanmugam.

Pengarah IT berusia 45 tahun itu berkata: “HomeTeamNS adalah ‘untuk NSmen, oleh NSmen’; jadi, NSmen perlu tampil untuk memastikan kejayaan rumah kelab ini.”

HomeTeamNS akan meraikan ulang tahun ke-20 pada 2025 dengan pelbagai acara dan promosi untuk NSmen dan keluarga mereka, termasuk pameran sejarah dan rancangan masa depan, serta makan malam amal pada November.

Manfaat baru yang lain akan diperkenalkan melalui kerjasama dengan Golden Village, Kopitiam dan Shell.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) HomeTeamNS, Cik Agnes Eu, berkata HomeTeamNS satu komuniti yang dapat mengeratkan hubungan dan pengalaman antara NSmen.

“Ulang tahun kali ini, yang ke-20, meraikan hubungan erat anggota Pasukan Home Team, menawarkan ganjaran dan juga peluang eksklusif untuk kami berkembang lebih kuat bersama-sama,” tambahnya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg