Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Rumah kelab Safra bakal dibina di Bayshore

Mar 3, 2025 | 6:45 PM
Rumah kelab baru Safra yang akan dibina di kawasan Bayshore akan mempunyai akses langsung ke MRT, yang akan memberikan kemudahan lebih baik kepada pengguna, kata Menteri Negara Kanan (Pertahanan merangkap Tenaga Manusia), Encik Zaqy Mohamad.
Rumah kelab baru Safra yang akan dibina di kawasan Bayshore akan mempunyai akses langsung ke MRT, yang akan memberikan kemudahan lebih baik kepada pengguna, kata Menteri Negara Kanan (Pertahanan merangkap Tenaga Manusia), Encik Zaqy Mohamad. - Foto MDDI

Sebuah rumah kelab Safra baru akan dibina di kawasan Bayshore untuk memberi perkhidmatan lebih baik kepada anggota perkhidmatan negara dan keluarga mereka yang tinggal di daerah Timur, kata Menteri Negara Kanan (Pertahanan merangkap Tenaga Manusia), Encik Zaqy Mohamad.

Bercakap semasa perbahasan Jawatankuasa Perbekalan (COS) Kementerian Pertahanan (Mindef) pada 3 Mac, Encik Zaqy berkata rumah kelab baru itu akan mempunyai akses langsung ke MRT, yang akan memberikan kemudahan lebih baik kepada pengguna.

“Saya dengan suka citanya mengumumkan bahawa Mindef akan membina sebuah rumah kelab baru di kawasan Bayshore, untuk memberi perkhidmatan lebih baik kepada askar kami dan keluarga mereka di Timur.

“Kami merancang Safra Bayshore siap dalam masa beberapa tahun, dan untuk menggantikan rumah kelab tertua kami di Safra Tampines, yang dibina pada 1988,” kata Encik Zaqy.

Safra telah ditubuhkan pada 1972 untuk mengiktiraf anggota perkhidmatan negara dan membina ikatan dalam kalangan anggota dan keluarga mereka.

Setakat ini, terdapat tujuh rumah kelab Safra di seluruh Singapura yang menyediakan anggota perkhidmatan negara dan keluarga mereka dengan kemudahan rekreasi dan gaya hidup yang berpatutan.

Menurut Mindef, rumah kelab baru di Bayshore itu bakal menjadi yang terbesar dalam kalangan rumah kelab lain.

Dalam ucapannya, Encik Zaqy juga mengumumkan bahawa ladang solar akan dibina di Pangkalan Udara Sembawang pada 2025, untuk membantu mengimbangi permintaan tenaga Mindef dan sebagai sebahagian daripada usaha memenuhi sasaran negara di bawah Pelan Hijau Singapura 2030.

Pada 2021, Mindef melahirkan komitmen untuk menempatkan lebih banyak panel solar di kem dan pangkalan Angkatan Bersenjata Singapura (SAF), untuk mencapai sasaran kapasiti solar puncak 50 megawatt menjelang 2025, yang bersamaan dengan penggunaan elektrik tahunan 13,000 flat empat bilik Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB).

“Sejak tiga tahun lalu, kami telah memasang panel solar atas bumbung di kem SAF kami, sebagai sebahagian daripada program Solar Nova HDB.

“Menjelang akhir tahun ini (2025), kami akan mempunyai panel solar atas bumbung di kebanyakan kem kami.

“Ladang solar di Sembawang akan terdiri daripada sistem fotovoltaik solar puncak 18 megawatt dan akan menjana tenaga setara dengan penggunaan elektrik tahunan bagi 4,700 flat empat bilik HDB.

“Ini akan membawa kepada penjimatan kos kira-kira $1.9 juta setahun untuk SAF dan membawa kami lebih dekat untuk mencapai sasaran pengurangan pelepasan untuk 2030,” kata Encik Zaqy.

Beliau menambah, lokasi panel solar dipilih dengan teliti bagi memastikan keberkesanan operasi SAF tidak terjejas.

Ini termasuk kajian terperinci untuk memastikan silau daripada panel tidak membahayakan pesawat tentera.

“Saya dengan suka citanya mengumumkan bahawa Mindef akan membina sebuah rumah kelab baru di kawasan Bayshore, untuk memberi perkhidmatan lebih baik kepada askar kami dan keluarga mereka di Timur. Kami merancang Safra Bayshore siap dalam masa beberapa tahun, dan untuk menggantikan rumah kelab tertua kami di Safra Tampines, yang dibina pada 1988.” 
Menteri Negara Kanan (Pertahanan merangkap Tenaga Manusia), Encik Zaqy Mohamad.
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg