Topik diikuti
Pergi ke BHkuRumah Makan Minang papar wajah baharu rai warisan Kg Gelam
Rumah Makan Minang papar wajah baharu rai warisan Kg Gelam
Rumah Makan Minang papar wajah baharu rai warisan Kg Gelam
Restoran Rumah Makan Minang, antara restoran Nasi Padang tertua di Singapura, telah melancarkan wajah baharu dengan pembukaan semula cawangan utamanya di 18 dan 18A Kandahar Street menerusi majlis Heritage Refresh & Community Evening pada 24 Julai.
Acara pembukaan semula restoran yang berusia 72 tahun itu turut menghimpunkan pengusaha perniagaan, pemimpin masyarakat dan pelbagai pihak berkepentingan bagi meraikan warisan di daerah Kampong Gelam.
Turut menyerikan majlis tersebut ialah Mayor CDC Central yang juga Anggota Parlimen (AP) GRC Jalan Besar, Cik Denise Phua; Setiausaha Parlimen Kanan (Pendidikan merangkap Pembangunan Negara), Dr Syed Harun Alhabsyi; dan AP GRC Jalan Besar, Dr Wan Rizal Wan Zakariah.
Dr Syed Harun menekankan bahawa pemeliharaan warisan bukan sekadar memastikan sesebuah perniagaan terus beroperasi, tetapi juga memelihara identiti dan jiwa negara.
“Apabila kita bercakap tentang warisan, ia bukan sekadar mengenai perniagaan atau memastikan ia terus bertahan. Ia sebenarnya menyentuh jiwa sesebuah negara.
“Warisan inilah yang membentuk identiti kita, dan Rumah Makan Minang merupakan sebahagian daripada warisan yang wajar terus dipelihara,” katanya.
Rumah Makan Minang, yang bermula sebagai sebuah gerai kecil menjual hidangan Minangkabau, kini telah berkembang menjadi antara restoran Nasi Padang paling dikenali di Singapura.
Perjalanan lebih tujuh dekad itu telah mewujudkan empat cawangan di seluruh Singapura dan restoran tersebut juga bakal membuka sebuah kilang di Malaysia pada masa akan datang.