Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Rumah Oxley Rd: Pemerintah ‘pertimbang secara hati-hati’ apabila Hsien Yang mohon ia diroboh

Oct 15, 2024 | 11:13 AM
Encik Lee Hsien Yang bercadang membina sebuah kediaman privet kecil selepas rumah di 38 Oxley Road dirobohkan.
Encik Lee Hsien Yang bercadang membina sebuah kediaman privet kecil selepas rumah di 38 Oxley Road dirobohkan. - Foto fail

Pemerintah akan mempertimbangkan secara berhati-hati isu berkaitan hartanah di 38 Oxley Road “apabila tiba masanya, dengan mengambil kira hasrat mendiang Lee Kuan Yew dan kepentingan awam, termasuk mempertimbangkan sebarang permohonan berkenaan hartanah itu”.

Ini dinyatakan Kementerian Pembangunan Negara (MND) apabila menjawab pertanyaan akhbar The Straits Times menyusuli kenyataan Encik Lee Hsien Yang, anak bongsu Perdana Menteri Pengasas Singapura, mendiang Lee Kuan Yew.

Dalam satu catatan Facebook pada 15 Oktober, Encik Lee Hsien Yang berkata beliau akan memohon untuk merobohkan rumah di 38 Oxley Road bagi membina sebuah kediaman privet kecil.

Encik Lee Hsien Yang, yang merupakan adik Menteri Kanan, Encik Lee Hsien Loong, berkata rumah itu akan “berada dalam pegangan keluarga selama-lamanya”.

Beliau tidak menjelaskan dengan siapa beliau akan memfailkan permohonan itu.

Pengumuman tersebut menyusuli kematian kakak beliau, Dr Lee Wei Ling, pada 9 Oktober.

Dr Lee dan Encik Lee Hsien Yang adalah pentadbir dan pelaksana bersama wasiat mendiang Lee Kuan Yew.

Pada 2017, mereka mendedahkan pertikaian mereka dengan SM Lee, anak sulung mendiang Encik Lee Kuan Yew, berhubung wasiat mengenai rumah tersebut.

Dua beradik itu mendakwa SM Lee, yang merupakan Perdana Menteri pada ketika itu, ingin rumah tersebut dikekalkan untuk kepentingan politiknya, bertentangan dengan kehendak bapa mereka.

SM Lee, bagaimanapun, menyangkal tuduhan mereka dalam satu kenyataan menteri di Parlimen, selepas membangkitkan “kebimbangan besar” mengenai “keadaan mengganggu” berhubung penyediaan wasiat akhir mendiang bapa mereka.

SM Lee menjual rumah itu kepada Encik Lee Hsien Yang pada 2015 pada nilai pasaran, dengan syarat mereka berdua menderma separuh daripada jumlah itu kepada badan amal.

SM Lee kemudian menderma 100 peratus daripada hasil penjualan yang beliau dapat.

Pada 2018, sebuah jawatankuasa menteri yang meneliti apa yang boleh dilakukan berhubung hartanah Oxley Road itu mengesyorkan tiga pilihan yang boleh diputuskan oleh pemerintah masa depan. 

Tiga pilihan itu adalah mengekalkan hartanah tersebut dan mewartakannya sebagai monumen negara; mengekalkan ruang makan bawah tanah yang mempunyai kepentingan paling bersejarah, dan merobohkan bahagian lain hartanah itu; atau membenarkan rumah itu dirobohkan sepenuhnya untuk pembangunan semula.

Rumah di 38 Oxley Road yang didiami Dr Lee Wei Ling sebelum beliau meninggal dunia pada 9 Oktober.
Rumah di 38 Oxley Road yang didiami Dr Lee Wei Ling sebelum beliau meninggal dunia pada 9 Oktober. - Foto fail

SM Lee berkata beliau menerima keputusan jawatankuasa menteri itu, namun tiada keperluan membuat keputusan segera kerana adiknya masih tinggal di situ pada masa itu.

Namun, kematian Dr Lee pada 9 Oktober bermakna rumah tersebut kini tidak berpenghuni.

Encik Lee Hsien Yang menegaskan semula tuntutannya ke atas harta itu pada 15 Oktober.

“Saya adalah satu-satunya pemilik sah 38 Oxley Road. Selepas kematian kakak saya, saya adalah satu-satunya wasi yang masih hidup bagi harta pusaka ayah saya.

“Dalam wasiatnya, beliau berhasrat rumah itu dirobohkan ‘segera selepas’ Wei Ling berpindah dari rumah itu.

“Adalah kewajipan saya untuk melaksanakan kehendaknya dengan sepenuhnya mengikut undang-undang,” ujar Encik Lee Hsien Yang dalam catatannya.

“Lee Hsien Loong berkata di Parlimen pada 2015 bahawa apabila Wei Ling meninggal dunia, terpulang pada ‘Pemerintah hari itu’ untuk memutuskan sama ada hendak membenarkan perobohan. Sembilan tahun telah berlalu. Hari itu adalah sekarang,” tambahnya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg