Sekitar 19,500 pengunjung menghadiri rumah terbuka di Istana pada 12 Februari sempena Tahun Baru Cina.
Presiden Tharman Shanmugaratnam dan isterinya, Cik Jane Ittogi Shanmugaratnam, turut bertemu dan beramah mesra dengan pengunjung yang hadir.
Rumah terbuka di Istana itu, yang berlangsung dari 8.30 pagi hingga 6 petang, menampilkan siri persembahan dan reruai kegiatan, serta memberi peluang kepada pengunjung melawat bangunan utama Istana dan Galeri Warisan Istana di Taman Istana.
Di bangunan utama Istana, pengunjung berpeluang meninjau bilik majlis terpilih dan berpeluang melihat koleksi hadiah negara yang diberi kepada pemimpin Singapura sebelum ini, serta penyediaan bilik untuk acara negara.
Pengunjung rumah terbuka di Istana itu juga dihiburkan dengan persembahan muzikal dan tarian dari pelajar Maktab Seni Lasalle, Universiti Seni Singapura, Akademi Seni Halus Nanyang (Nafa), penggiat Institut Seni Sheng Hong, Teater Tarian Cina Singapura, Kumpulan Tarian Naga dan Singa dari Kelab Masyarakat Taman Jurong, Kumpulan Seni Tampines, TheDanceTribeSG dan pelajar Sekolah Menengah Yuan Ching.
Selain persembahan tersebut, mereka turut mengambil bahagian dalam kegiatan seperti kaligrafi Cina, membuat lilin dan lawatan ke taman Istana yang dikendalikan Lembaga Taman Negara (NParks).
Encik Tharman dan isteri juga mengambil bahagian dalam kegiatan melukis mata boneka naga yang digunakan dalam tarian naga. Beliau turut menandatangani boneka mutiara naga tersebut, sebelum Kumpulan Tarian Naga dan Singa dari Kelab Masyarakat Taman Jurong mempersembahkan tarian naga mereka.
Semua hasil sumbangan orang ramai yang memasuki pekarangan Istana, sesi jelajah ke bangunan utama Istana dan Galeri Warisan Istana, serta jualan cenderahati Cabaran Presiden di reruai akan disalurkan kepada badan amal yang disokong Cabaran Presiden. Hasil daripada jualan amal reruai agensi perkhidmatan sosial (SSA) pula disalurkan kepada SSA masing-masing.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg