Hampir 250 anggota tentera Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) daripada perkhidmatan udara, laut, darat dan digital menyertai angkatan tentera beberapa negara lain dalam satu latihan tentera selama 11 hari di Thailand.
Semasa latihan ‘Exercise Cobra Gold’, SAF diketuai oleh Ketua Pegawai Guards, Kolonel Encik Wong Pui Chuan, yang juga merupakan Komander Divisyen ke-21 Singapura.
Mereka melalui latihan menangani ancaman tradisional dan bukan tradisional, serta perancangan dan penyelarasan bagi operasi bantuan kemanusiaan dan bantuan bencana.
Latihan itu berlangsung dari 25 Februari hingga 7 Mac di wilayah Korat, Thailand.
Angkatan tentera yang turut terlibat termasuk dari Thailand, Amerika Syarikat, Australia, Indonesia, Jepun, Malaysia dan Korea Selatan.
Ini merupakan kali pertama kapal pendarat tangki kelas ‘Endurance’ Angkatan Laut Republik Singapura (RSN), ‘RSS Endeavour’, bekerjasama dengan tentera laut dari Korea Selatan, Amerika dan Thailand dalam menjalankan gerakan dari kapal ke pantai.
Sementara itu, kakitangan daripada Perkhidmatan Digital dan Perisikan pula menyertai satu latihan pertahanan siber.
Ia melibatkan gerakan mempertahankan rangkaian daripada serangan siber yang disimulasi, menurut Kementerian Pertahanan (Mindef) dalam satu kenyataan pada 7 Mac.
Sepasukan jurutera tempur tentera turut mengambil bahagian dalam Program Bantuan Sivik Jurutera berbilang negara, untuk membina sebuah bangunan pelbagai guna bagi kegunaan sebuah sekolah yang terletak di wilayah lain, kira-kira 188 kilometer dari situ.
SAF telah menyertai Latihan ‘Cobra Gold’ – salah satu latihan berbilang negara yang terbesar di rantau Asia Pasifik – sejak 2000.
Dihoskan bersama oleh Angkatan Bersenjata Diraja Thai dan Komand Indo-Pasifik Amerika Syarikat, latihan kali ini menandakan kali ke-44 ia dijalankan.
Mindef menyifatkannya sebagai “menggalak persefahaman, persahabatan dan profesionalisme dalam kalangan angkatan tentera yang mengambil bahagian”.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg