Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

SAF kerah jumlah dron terbesar di medan latihan Australia

Latihan Wallaby di Australia diadakan buat kali ke-35, bantu SAF uji keupayaan angkatan tentera di darat, udara dan laut
Oct 26, 2025 | 4:00 PM
SAF, dron, latihan di Australia,  Latihan Wallaby
Secara keseluruhan, sekitar 200 sistem dan dron berteknologi tinggi akan digunakan dalam 17 ujian dan penilaian operasi medan sepanjang Latihan Wallaby yang berlangsung dari 7 September hingga 2 November. - Foto ST

Antara lebih 100 dron yang digunakan, satu daripadanya menonjol kerana keupayaannya melepaskan beberapa dron lain ketika beroperasi di udara.

Dinamakan D155, dron seberat kira-kira 20 kilogram itu mampu melepaskan lapan lagi dron bersaiz kecil untuk menjalankan operasi pemeriksaan bagi meninjau lokasi sasaran.

Ciri-ciri sebegitu adalah hasil usaha pakar Agensi Sains dan Teknologi Pertahanan (DSTA) dalam memperkukuh keupayaan tempur Angkatan Bersenjata Singapura (SAF), serta mengekalkan keberkesanan dan daya tahan operasinya.

Menurut Pengarah Pembangunan Keupayaan (Sistem Darat) DSTA, Cik Cai Jia Ling, kerjasama erat antara DSTA dengan SAF dalam membangunkan teknologi pertahanan baru memastikan sistem pertahanan Singapura kekal relevan, tangkas dan berkesan di medan peperangan.

“DSTA tidak lagi boleh bergantung kepada ujian tradisional kerana ia mengambil masa terlalu lama.

“Jurutera kami kini bekerja rapat dengan anggota SAF untuk membangunkan, menguji dan menambah baik teknologi dalam keadaan operasi sebenar,” kata Cik Cai.

Kerjasama itu dapat dilihat dengan jurutera DSTA yang bertugas bersama anggota SAF di Kawasan Latihan Shoalwater Bay, Australia, semasa Latihan Wallaby (XWB).

Ini merupakan kali pertama dron D155 digunakan dalam latihan sebegitu.

Secara keseluruhan, sekitar 200 sistem dan dron berteknologi tinggi akan digunakan bagi melaksanakan 17 ujian dan penilaian operasi medan sepanjang latihan XWB yang akan berlangsung hingga 2 November.

Menurut Mindef, ini adalah jumlah dron terbanyak yang pernah digunakan dalam sejarah latihan XWB.

“Apabila jurutera memahami cabaran yang dihadapi anggota SAF dan menyesuaikan teknologi secara langsung, hasilnya ialah sistem pertahanan yang lebih tangkas, relevan dan diyakini di medan peperangan,” tambahnya.

Selain dron D155, DSTA turut mengendalikan lebih 50 dron di bawah Teknologi Sistem Udara Berbilang Kawalan Kos Rendah (Locust).

Dron Teknologi Sistem Udara Berbilang Kawalan Kos Rendah (Locust) yang digunakan semasa Latihan Wallaby 2025.
Dron Teknologi Sistem Udara Berbilang Kawalan Kos Rendah (Locust) yang digunakan semasa Latihan Wallaby 2025. - Foto ST

Menurut DSTA, jumlah itu merupakan yang terbesar setakat ini dan mampu meninjau serta merakam imej kawasan kecil dengan lebih teliti.

Dengan gambar-gambar itu, sistem analisis pemetaan 3D taktikal, atau TACMAP, dapat menggambarkan kawasan 25 kali lebih besar berbanding tahun lalu (2024) dalam tempoh hanya sejam.

Peningkatan itu membantu komander SAF memahami keadaan medan peperangan dengan lebih jelas, tanpa perlu berada di lokasi sebenar.

Mengulas lanjut mengenai teknologi baru yang digunakan dalam latihan itu, Pegawai Staf bagi Penyelidikan dan Teknologi serta Kejuruteraan Eksperimen di Pejabat Tentera Ops Tech dan Pejabat Integrasi Sistem, Pakar Tentera 5 (ME5) Teo Liang Kai, berkata peningkatan penggunaan dron dalam latihan kali ini didorong daripada keperluan SAF menimba pengajaran daripada konflik dunia terkini.

“Daripada konflik terkini di Eropah dan Timur Tengah, kami (pihak SAF) menyaksikan bagaimana pasukan tentera menyesuaikan diri terhadap ancaman yang kian berkembang melalui pengenalan inovasi dan teknologi baru, meskipun dalam keadaan peperangan yang sedang berlaku.

“SAF mengambil iktibar daripada pengalaman itu dan bertekad untuk bekerjasama rapat dengan rakan-rakan dalam teknologi pertahanan bagi mempertingkat usaha menjalankan ujian operasi kami,” kata ME5 Teo.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg