Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

SAF lancar Bandar Safti, sediakan senario latihan tentera realistik

Direka bagi sokong pelbagai jenis latihan termasuk operasi keselamatan, pencegahan keganasan dan bantuan bencana
Mar 19, 2025 | 5:30 PM
Dengan keluasan 17 hektar, Bandar Safti memperlengkapkan askar SAF dalam menghadapi cabaran keselamatan yang semakin berkembang dan kompleks di Singapura.
Dengan keluasan 17 hektar, Bandar Safti memperlengkapkan askar SAF dalam menghadapi cabaran keselamatan yang semakin berkembang dan kompleks di Singapura. - Foto ST

Masa ketika anggota tentera Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) perlu meniru bunyi tembakan semasa latihan pertempuran mungkin sudah berakhir.

Namun, sejak Oktober 2024, seramai 3,000 askar telah menjalani latihan realistik dengan bantuan sekitar 11,000 penderia dan pembesar suara yang melepaskan bunyi tembakan.

Ini merupakan antara yang boleh dilakukan di kemudahan latihan baru yang dikenali sebagai Bandar Safti, yang terletak di tapak latihan Safti di 1000 Old Choa Chu Kang Road.

Bandar Safti Fasa 1 dilancarkan pada 19 Mac oleh Menteri Pertahanan, Dr Ng Eng Hen.

Bandar Safti menyediakan kemudahan latihan perbandaran yang realistik lagi mencabar bagi anggota SAF, memandangkan keperluan operasi telah bertukar bagi melibatkan pelbagai senario daripada aspek keamanan hingga menangani perang.

Kemudahan lanjutan ini akan membantu tentera Singapura menjalankan operasi di kawasan binaan, termasuk operasi keselamatan tanah air, menangani keganasan, dan bantuan bencana.

Dengan keluasan 17 hektar, Bandar Safti juga membolehkan anggota tentera memanfaatkan peralatan dan konsep sejajar dengan peralihan terkini di medan pertempuran moden, seperti penggunaan dron dan robotik dalam sekitaran bandar.

Ketika berucap pada majlis pelancaran Bandar Safti, Menteri Pertahanan, Dr Ng Eng Hen, menekankan kepentingan pusat latihan baru ini dalam melengkapi askar SAF bagi menghadapi cabaran keselamatan yang semakin berkembang dan kompleks di Singapura.

“Operasi di kawasan bandar dijangka merangkumi peranan bertambah dalam sebarang tentera. Bertempur dalam kawasan bandar di SAFTI City ialah manifestasi fizikal komitmen memberikan latihan realistik kepada askar-askar kita supaya mereka lebih bersedia... Saya yakin ia adalah aset penting bagi SAF. Ia adalah aset penting negara... dan ia adalah ciri realisme yang terbaik. Justeru, saya amat berbangga dengan perancang SAF, dan mereka telah mengambil masa lima tahun untuk melakukannya. Saya yakin pelaburan dalam kemudahan latihan ini akan berkekalan untuk satu generasi dan seterusnya,” kata Dr Ng.

Keluasan Bandar SAFTI yang setanding dengan 20 padang bola sepak itu mampu menampung sehingga 1,200 askar dalam satu sesi latihan.

Ciri reka bentuk seperti ‘stesen MRT’ (di atas dan bawah tanah), ‘pusat pertukaran bas’ dan ‘bangunan pejabat’ yang sering ditemui di persekitaran Singapura membolehkan latihan dijalankan secara realistik dalam menyokong latihan operasi keselamatan dalam negeri.

Antara dua ‘stesen MRT’ yang terletak di ‘hab pengangkutan bersepadu’ Bandar Safti disediakan bagi latihan askar SAF.
Antara dua ‘stesen MRT’ yang terletak di ‘hab pengangkutan bersepadu’ Bandar Safti disediakan bagi latihan askar SAF. - Foto ST
‘Pusat pertukaran bas’ di Bandar Safti adalah antara ciri yang direka untuk menyerupai keadaan sebenar di Singapura bagi memudahkan latihan askar SAF.
‘Pusat pertukaran bas’ di Bandar Safti adalah antara ciri yang direka untuk menyerupai keadaan sebenar di Singapura bagi memudahkan latihan askar SAF. - Foto ST

Setiap bangunan di Bandar Safti juga turut dipasang dengan teknologi pintar untuk meningkatkan mutu latihan.

Ini termasuk penggunaan 11,000 alat penderia di sekeliling kemudahan tersebut untuk menjejak pergerakan askar dan meniru ‘suasana’ pertempuran yang berlaku dengan ketepatan tinggi.

Alat-alat ini juga digunakan pada sasaran pintar yang dapat mengenal pasti dan melibatkan askar semasa latihan siang dan malam.

Salah satu penderia yang dipasang di serata Bandar Safti untuk menjejak pergerakan askar semasa waktu latihan.
Salah satu penderia yang dipasang di serata Bandar Safti untuk menjejak pergerakan askar semasa waktu latihan. - Foto ST
Sasaran Manekin 3D Mudah Alih di Bandar Safti yang dipasang dengan penderia dan roda untuk meniru rondaan dan bala musuh.
Sasaran Manekin 3D Mudah Alih di Bandar Safti yang dipasang dengan penderia dan roda untuk meniru rondaan dan bala musuh. - Foto ST

Simulator Kesan Medan Perang (BES) yang mengeluarkan bunyi letupan serta tembakan turut digunakan bagi mempertingkat tahap pengalaman latihan askar tanpa perlu menggunakan bahan letupan sebenar.

Dari sudut fleksibiliti, beberapa struktur dalam Bandar Safti boleh diubah suai dengan panel ayun bagi mengubah aliran lalu lintas dan susun atur bangunan, memastikan askar disediakan cabaran latihan yang berbeza.

Pembangunan Bandar Safti adalah sebahagian usaha SAF dalam memperkukuhkan kesiapsiagaan negara terhadap ancaman keselamatan yang semakin berkembang.

Pegawai Pemerintah di Pusat Latihan Batalion Infantri Bermotor, Leftenan Kolonel (LTC) Mohamed Firdaus Mohd Ghazali, 38 tahun, menyandang peranan sebagai ketua jurulatih yang bertanggungjawab dalam mereka metodologi latihan dan teknik peperangan di SAF.

Pegawai Pemerintah di Pusat Latihan Batalion Infantri Bermotor, Leftenan Kolonel (LTC) Mohamed Firdaus Mohd Ghazali, 38 tahun, memuji keberkesanan latihan dengan ciri-ciri Bandar Safti kerana ia memastikan anggota SAF lebih bersedia menghadapi tuntutan operasi di dunia sebenar.
Pegawai Pemerintah di Pusat Latihan Batalion Infantri Bermotor, Leftenan Kolonel (LTC) Mohamed Firdaus Mohd Ghazali, 38 tahun, memuji keberkesanan latihan dengan ciri-ciri Bandar Safti kerana ia memastikan anggota SAF lebih bersedia menghadapi tuntutan operasi di dunia sebenar. - Foto ST

Dengan ciri-ciri yang ada di Bandar Safti, beliau berkata ia memastikan anggota SAF lebih bersedia menghadapi tuntutan operasi di dunia sebenar.

“Melalui persekitaran yang realistik, simulasi kesan pertempuran dan mekanisme maklum balas berasaskan data, Bandar Safti dapat meningkatkan keupayaan kognitif serta keupayaan taktikal askar SAF.

“Secara tidak langsung, ini juga mempertingkatkan keberkesanan latihan, memastikan pasukan kami lebih bersedia menghadapi tuntutan operasi di dunia sebenar,” katanya.

Perkara ini turut dipersetujui oleh Pegawai Waran Operasi di Institut Latihan Infantri Bermotor, Pegawai Waran Ketiga (3WO) Noor Hasif Ahmad, 36 tahun.

Beliau berkata dengan kehadiran simulasi kesan medan perang yang realistik dan imersif, tentera SAF sepertinya dapat memperhalusi kemahiran dalam aspek taktik pertempuran, kecekapan pergerakan di kawasan bandar serba moden, serta meningkatkan tahap kesedaran situasi secara menyeluruh.

“Kemudahan Bandar Safti yang dilengkapi teknologi canggih direka untuk meniru persekitaran bandar moden dengan tahap ketepatan yang tinggi supaya dapat menyediakan latihan realistik.

“Melalui latihan ini, askar seperti saya dapat membiasakan diri dengan cabaran pertempuran di persekitaran dinamik, lantas membangunkan naluri ketenteraan yang lebih tajam, serta memperkukuhkan keupayaan dalam menangani situasi yang sentiasa berubah dengan pantas,” ujarnya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg