Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

SAF, TNI jalani latihan dua hala lawan pengganasan

Jun 5, 2025 | 5:23 PM
SAF, TNI, Griffin Cakti
Anggota unit operasi khas Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) dan Tentera Nasional Indonesia (TNI) menangani ancaman simulasi semasa satu latihan dua hala bagi membanteras pengganasan yang diadakan dari 2 hingga 4 Jun di perairan Batam, Indonesia. - Foto MINDEF

Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) dan Tentera Nasional Indonesia (TNI) telah selesai menjalankan satu latihan dua hala untuk membanteras pengganasan, yang diadakan dari 2 hingga 4 Jun di perairan Batam, Indonesia.

Dipanggil, Latihan Griffin Cakti, ia menampilkan perancangan bersepadu dan pelaksanaan senario memerangi pengganasan, dengan tumpuan pada operasi keselamatan maritim, kata Kementerian Pertahanan (Mindef) dalam kenyataannya pada 4 Jun.

Ia melibatkan sekitar 160 kakitangan daripada angkatan bersenjata kedua-dua negara itu, merangkumi aset daripada unit laut, udara, siber dan operasi khas.

Mindef berkata melalui sesi perancangan operasi yang terperinci dan operasi latihan intensif, kedua-dua SAF dan TNI telah mempertingkat pemahaman bersama tentang prosedur operasi, sekali gus memperkukuh keupayaan penyelasaran keseluruhan.

Sebagai sebahagian daripada latihan itu, unit operasi khas SAF dan TNI dikerah melalui laut dan udara untuk menyerbu sebuah kapal bagi menghapuskan ancaman.

Satu majlis penutup telah dirasmikan bersama oleh Panglima Pasukan Pertahanan Singapura, Laksamana Madya (VADM) Aaron Beng, dan Panglima Angkatan TNI, Jeneral Agus Subiyanto, di Batam pada 4 Jun.

Dalam majlis itu, VADM Beng berkata pengganasan kekal sebagai ancaman yang dihadapi kedua-dua Indonesia dan Singapura, dan kerjasama rapat antara dua negara jiran itu akan membolehkan mereka memberi tindak balas yang lebih baik dalam menangani ancaman tersebut.

“Latihan hari ini adalah sebahagian daripada komitmen bersama kami untuk terus membina saling kebolehoperasian antara angkatan bersenjata kami.

“Kami sangat berpuas hati dengan pelaksanaan Latihan Lapangan Melawan Pengganasan dan kami sedang membincangkan peluang lanjut untuk memperdalam dan memperkukuh hubungan pertahanan kami,” kata beliau.

Timbalan Panglima Pasukan Petugas Operasi Khas dan Pengarah Latihan bersama, Kolonel Francis Goh, pula berkata latihan itu menunjukkan kerjasama pertahanan yang kukuh antara Singapura dengan Indonesia.

“Ia telah mempertingkat saling kebolehkendalian antara dua angkatan bersenjata kami, dan membolehkan kami bekerjasama menangani cabaran keselamatan maritim di rantau kita.

“Kerjasama rapat antara unit operasi khas kedua-dua SAF dan TNI menunjukkan profesionalisme, kesediaan, dan keupayaan kedua-dua angkatan bersenjata kita, dan lebih penting sekali, untuk bertindak dengan tegas terhadap ancaman maritim yang kompleks di rantau kita,” kata beliau.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg