Topic followed successfully
Go to BHkuSaham diskaun khas Singtel akan dipindah ke CDP
Saham diskaun khas Singtel akan dipindah ke CDP
Pelabur yang pilih jual saham ini akan terima hasil jualan secara tunai disalur terus ke akaun bank
Saham diskaun khas Singtel akan dipindah ke CDP
Singtel dan Lembaga Tabung Simpanan Pekerja (CPF) telah memulakan langkah memindahkan semua Saham Diskaun Khas (SDS) Singtel yang kini dipegang sebagai amanah oleh lembaga tersebut, akan dialih terus ke dalam akaun Depositori Pusat (CDP) individu pelabur.
Ini bermakna hampir 615,000 rakyat Singapura yang memegang SDS hari ini akan memiliki kawalan langsung ke atas saham mereka dan akses kepada wang tunai jika mereka memilih untuk menjualnya.
Menteri Negara (Tenaga Manusia merangkap Kebudayaan, Masyarakat dan Belia), Encik Dinesh Vasu Dash, membentangkan Rang Undang-Undang CPF (Pindaan) di Parlimen pada 7 April, yang mengumumkan pengecualian khas bagi syarat piawaian pengeluaran CPF.
Mulai 8 April, pelabur yang menjual pegangan SDS mereka boleh mendapatkan hasil jualan dalam bentuk tunai terus ke akaun bank yang berdaftar dalam tempoh 14 hari bekerja, berbanding amalan sebelum ini di mana hasil jualan dikekalkan dalam Akaun Biasa (OA) CPF mereka.
Konsesi akan diberikan kepada pelabur yang telah menjual SDS mereka antara 1 Januari 2025 dengan 7 April 2026.
Bagi golongan itu, mereka boleh menulis surat permohonan untuk mengeluarkan hasil jualan tersebut dalam bentuk tunai.
Pemindahan saham secara besar-besaran ke akaun CDP individu dijadualkan pada 21 November 2026.
Tertakluk kepada kelulusan rang undang-undang tersebut, Lembaga CPF akan bekerjasama dengan Singtel, CDP dan pihak berkepentingan lain untuk memudahkan urusan pemindahan.
Selepas itu, Lembaga CPF tidak lagi akan menjadi pemegang amanah bagi SDS Singtel.
Pelabur yang ingin terus menyimpan saham mereka tidak perlu melakukan sebarang tindakan.
Untuk mereka yang sudah ada akaun CDP, saham mereka akan secara automatik dipindahkan ke akaun CDP mereka mulai 21 November 2026.
Bagi yang tiada akaun CDP, akaun CDP yang ditetapkan akan dibuka atas nama mereka dan saham akan dipindahkan ke akaun tersebut.
Satu skim legasi yang diperkenalkan pada 1993, skim SDS adalah sebahagian daripada usaha pemerintah untuk memberi rakyat Singapura peluang memiliki kepentingan dalam kejayaan ekonomi negara melalui pemilikan saham.
Lembaga CPF dilantik sebagai pemegang amanah ketika itu untuk mempermudahkan pembelian saham bagi rakyat Singapura kerana ramai tidak terbiasa dengan memiliki saham pada waktu itu, kata CPF dan Singtel dalam satu kenyataan bersama.
Pencarum CPF diberi pilihan membeli SDS menggunakan simpanan CPF mereka semasa dua fasa yang diadakan pada 1993 dan 1996.
Namun, oleh sebab skim tersebut telah memenuhi hasratnya dan aturan bagi Lembaga CPF selaku pemegang amanah untuk menyokong pemilikan saham tidak lagi diperlukan, pemerintah akan menyokong pemindahan yang disarankan itu, kata CPF dan Singtel.
“Pemindahan itu akan membolehkan pemegang SDS yang memiliki saham dalam akaun CDP individu untuk menyatukan semua pegangan mereka, sekali gus memudahkan ia dipantau dan didagangkan.
“Sebagai pemegang saham Singtel, pemegang SDS juga akan meraih manfaat kerana Singtel akan mempunyai fleksibiliti yang lebih besar untuk melaksanakan tindakan korporat dengan lebih tepat pada masanya dan kos yang cekap.
“Ini akan memberikan Singtel lebih banyak pilihan untuk memberi ganjaran kepada pemegang saham dan membiayai inisiatif pertumbuhan,” kata mereka.
Daripada hampir 615,000 pemegang SDS yang ada hari ini, hampir tiga daripada lima mempunyai akaun CDP, dan sekitar satu daripada empat juga memiliki saham biasa Singtel yang lain.
Menurut data Singtel, median pemegang SDS Singtel memiliki 1,360 saham dengan kos pembelian purata sebanyak $2,000.
Pada harga pasaran semasa sehingga 1 April, iaitu sekitar $5 bagi setiap saham Singtel, saham tersebut kini bernilai $6,800.
Di samping itu, pelabur tersebut telah menerima sekitar $5,000 dalam bentuk dividen terkumpul selama ini, yang telah disalurkan ke dalam akaun CPF mereka.
Pelabur boleh menjual saham mereka melalui cawangan SingPost, atau di laman web broker tempatan, Phillip Securities, atau melalui SGX Retail Brokers terpilih.
Mereka boleh memilih untuk mengekalkan hasil jualan tersebut di dalam OA CPF mereka, atau menerimanya secara tunai di akaun bank yang berdaftar dengan Lembaga CPF.
Lembaga CPF dan Singtel akan menghantar surat makluman rasmi kepada semua pemegang saham menjelang akhir April 2026.
Mereka juga sedang bekerjasama dengan Agensi Penjagaan Bersepadu (AIC) untuk mendekati warga emas yang mungkin memerlukan bantuan tambahan bagi memahami pilihan mereka.
Pelabur boleh mengunjungi laman web rasmi di sds.singtel.com atau hubungi talian 1713 untuk maklumat lanjut.

