Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Saintis temui batu karang terbesar dunia tumbuh selama tiga abad

Batu karang itu hidup dengan baik walaupun terancam akibat pemanasan sejagat
Nov 26, 2024 | 1:57 PM
Sekumpulan saintis yang bekerja di atas kapal penyelidikan di barat daya Lautan Pasifik telah menemui batu karang terbesar di dunia di Kepulauan Solomon.
Sekumpulan saintis yang bekerja di atas kapal penyelidikan di barat daya Lautan Pasifik telah menemui batu karang terbesar di dunia di Kepulauan Solomon. - Foto NATIONAL GEOGRAPHIC PRISTINE SEAS

Para saintis berkata bahawa mereka telah menemui batu karang terbesar di dunia di kawasan terpencil Kepulauan Solomon.

Ia hidup dengan baik walaupun batu karang di kawasan tropika semakin terancam akibat pemanasan sejagat.

Berukuran 34 meter lebar, 32 meter panjang dan 5.5 meter tinggi, batu karang gergasi ini terdiri daripada rangkaian polip (binatang laut yang hidup di batu karang) kompleks yang telah hidup selama tiga abad, kata para saintis.

Batu karang itu ditemui semasa ekspedisi penyelidikan pada Oktober di Kepulauan Solomon, yang terletak di barat daya Lautan Pasifik. 

Batu karang itu lebih panjang daripada ikan paus biru dan hampir sepanjang pesawat Boeing 737-400.

Ia terdiri daripada satu spesies tunggal, Pavona clavus, dan saiznya yang besar dapat memberikan perlindungan serta menjadi kawasan pembiakan untuk hidupan laut lain seperti ikan, ketam dan udang. 

Ia berbeza daripada terumbu karang yang terdiri daripada rangkaian pelbagai koloni dan spesies batu karang.

Pasukan National Geographic Pristine Seas menemui batu karang itu di Kepulauan Three Sisters. 

Pulau yang terletak di utara San Cristobal itu merupakan salah satu pulau utama di Kepulauan Solomon dan terkenal dengan kepelbagaian spesies batu karang yang luar biasa.

Ketua Saintis dalam ekspedisi itu, Dr Molly Timmers, memberitahu The Straits Times (ST) bahawa batu karang tersebut terletak di perairan antara kedalaman 13 meter dengan 30 meter.

Pengasas Pristine Seas, Dr Enric Sala, memberitahu ST:

“Di saat kematian batu karang yang meluas akibat ancaman manusia, penemuan (batu karang) gergasi lama ini adalah sesuatu yang luar biasa dan merupakan kejutan besar.”

Pristine Seas ialah projek Dr Sala selaku peneroka dalaman di bawah naungan, National Geographic. Ia meneroka, mendokumentasi dan membantu melindungi tempat kawasan liar terakhir di lautan.

Spesies batu karang serata dunia semakin berkurangan disebabkan suhu laut yang kian meningkat akibat pelepasan gas rumah hijau yang tinggi, ribut yang lebih kuat dan peningkatan keasidan.

Ini kerana lautan berupaya menyerap pelepasan karbon yang memanaskan planet ini dengan jumlah yang besar dan telah menyerap sekitar 90 peratus haba berlebihan di atmosfera akibat pelepasan gas rumah hijau.

Menurut penilaian risiko daripada Kesatuan Antarabangsa untuk Pemuliharaan Alam Semula Jadi (IUCN) yang diterbitkan pada 13 November, hampir separuh daripada spesies batu karang air panas terancam pupus.

“Apabila kita fikir tiada lagi yang boleh ditemui di bumi ini, kita menemui batu karang gergasi yang terdiri daripada hampir satu bilion polip kecil, penuh dengan kehidupan dan warna,” kata Dr Sala, yang juga pengembara National Geographic.

“Ini adalah penemuan saintifik yang bermakna – sama seperti menemui pokok tertinggi di dunia. 

“Namun, ia juga mencetuskan kebimbangan.

“Walaupun berada di lokasi terpencil, batu karang ini tidak terlepas daripada ancaman pemanasan sejagat dan ancaman manusia lain,” tambah Dr Sala.

Dari udara, batu karang itu kelihatan seperti bongkah batu yang terletak di bawah permukaan laut.

Justeru, apabila pasukan penyelidik itu terlihat struktur tersebut, mereka menyangka ia merupakan sisa daripada kapal karam.

Batu karang itu juga jauh lebih besar daripada batu karang yang dikenali sebagai Big Momma di Samoa Amerika – salah satu batu karang terbesar yang direkodkan setakat ini, setinggi 6 meter dengan lilitan 41 meter.

Penemuan itu menekankan keperluan untuk perlindungan yang lebih besar terhadap hidupan laut dan batu karang.

Menurut Dr Lionel Ng, felow penyelidik di Institut Sains Marin Tropika di Universiti Nasional Singapura (TMSI-NUS), spesies yang membina batu karang gergasi di Kepulauan Solomon itu juga boleh ditemui di perairan Asia Tenggara.

Dr Ng berkata kali terakhir spesies Pavona clavus itu ditemui pasukan penyelidik di perairan Singapura ialah pada 1995.

“Kami belum menjumpai spesies ini sejak itu (1995) dan tidak mempunyai maklumat yang mencukupi untuk menentukan sejauh mana ia mungkin terancam (di Singapura),” katanya.

“Apabila kita fikir tiada lagi yang boleh ditemui di bumi ini, kita menemui batu karang gergasi yang terdiri daripada hampir satu bilion polip kecil, penuh dengan kehidupan dan warna. Ini adalah penemuan saintifik yang bermakna – sama seperti menemui pokok tertinggi di dunia. Namun, ia juga mencetuskan kebimbangan. Walaupun berada di lokasi terpencil, batu karang ini tidak terlepas daripada ancaman pemanasan sejagat dan ancaman manusia lain.”
Dr Enric Sala, pengasas Pristine Seas dan pengembara National Geographic.
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg