Salah satu daripada tiga spesies kerang gergasi atau ‘giant clam’ yang masih boleh ditemui di Singapura, tidak direkodkan di sini selama lebih 20 tahun.
Seorang pakar mengatakan bahawa “kehilangannya” mungkin mencerminkan kemerosotan mutu habitat yang sesuai untuk spesies tersebut.
Seiring dengan kajian sejagat mengenai status pemuliharaan bagi kesemua 12 spesies kerang gergasi, felow penyelidik kanan di Institut Sains Marin Tropikal di Universiti Nasional Singapura (NUS), Dr Neo Mei Lin, menyuarakan kebimbangannya tentang keadaan kerang gergasi kecil, atau ‘small giant clam’ di Singapura.
Penilaian sejagat mengenai kerang gergasi itu diterbitkan pada 28 Oktober oleh Kesatuan Antarabangsa untuk Pemuliharaan Alam Semula Jadi (IUCN), salah satu kumpulan pemuliharaan terbesar di dunia.
IUCN menekankan keperluan mendesak untuk melaksanakan tindakan segera bagi menyelamatkan haiwan itu daripada ancaman pupus, lapor The Straits Times (ST).
Kerang gergasi memainkan peranan penting dalam ekosistem marin, termasuk membersihkan lautan dengan menapis nutrien dan partikel lebih besar. Ia juga merupakan sumber makanan bagi ikan dan ketam.
Menurut Dr Neo, mungkin masih terlalu awal untuk menyatakan sama ada kerang gergasi kecil itu sudah benar-benar pupus di Singapura.
Hingga kini, dua daripada lima spesies kerang gergasi yang ada di Singapura – Tridacna gigas dan Hippopus hippopus – telah diisytiharkan pupus di pulau ini.
Tiga spesies kerang gergasi yang masih boleh dijumpai di antara terumbu karang di pantai dan pulau-pulau selatan negara ini adalah kerang gergasi kecil (Tridacna maxima); kerang gergasi sisik, atau ‘fluted giant clam’ (Tridacna squamosa); dan kerang gergasi lubang, atau ‘boring giant clam’ (Tridacna crocea).
Dalam kajian saintifik yang diterbitkan pada 30 September, Dr Neo melaporkan bahawa tinjauan zon pasang surut yang dijalankan di Singapura dari 2011 hingga 2020 tidak dapat mengesan kehadiran kerang gergasi kecil, dengan rekod terakhirnya pada 2003.
Sepanjang tinjauan itu, para sukarelawan telah meronda di sekitar 28 terumbu zon pasang surut yang menjadi habitat kerang gergasi, tetapi mereka hanya menemui kerang gergasi sisik dan kerang gergasi lubang.
Antara faktor kehilangan kerang gergasi kecil di Singapura termasuk keadaan terumbu karang yang tidak sesuai untuk habitatnya, mutu air yang teruk, atau kesilapan penyelidik dalam mengenal pasti spesies.
Penemuan Dr Neo mengenai kehilangan kerang gergasi kecil di Singapura menyusuli semakan sejagat status pemuliharaan spesies kerang gergasi oleh IUCN.
Ia mendapati banyak spesies kerang gergasi secara amnya menghadapi ancaman pupus yang lebih besar daripada yang dianggarkan sebelum ini.
“Senarai Merah” IUCN, sumber rujukan utama mengenai risiko pupusnya spesies, kini menunjukkan pada peringkat sejagat, separuh daripada 12 spesies kerang gergasi terdedah pada ancaman pupus, terancam, atau terancam secara kritikal.
Salah seorang penyumbang dalam kajian IUCN, Profesor Julia Sigwart, menyuarakan kebimbangannya mengenai keadaan kerang gergasi yang biasanya berumur panjang, dengan menyatakan bahawa “eksploitasi berpanjangan” telah menyumbang kepada masalah itu.
Walaupun begitu, Dr Neo, menambah, penilaian sejagat IUCN tidak selalu mencerminkan keperluan pemuliharaan tempatan dan perbezaan itu mungkin disebabkan oleh skala geografi yang berbeza.
Sebagai contoh, kerang gergasi sisik disenaraikan sebagai spesies terancam secara kritikal, manakala kerang gergasi lubang adalah spesies terancam di Singapura.
Namun, kadar ancaman kepupusan kedua-duanya adalah “kurang membimbangkan” di peringkat sejagat.
Justeru, Dr Neo menekankan kepentingan pengumpulan data tempatan untuk usaha pemuliharaan yang lebih tepat, kerana kebergantungan sepenuhnya kepada penilaian sejagat mungkin akan menyebabkan spesies yang terdedah kepada ancaman di peringkat tempatan terabai.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg