Lebih 1,200 pekerja migran, rakyat Singapura dan rakan masyarakat sama-sama meraikan Deepavali dalam satu karnival silang budaya yang diadakan pada 20 Oktober.
Dianjurkan Alliance of Guest Workers Outreach (AGWO) – sebuah gerakan Hope Initiative Alliance (HIA) – di Pusat Rekreasi Sembawang, mereka berpeluang mengunjungi reruai bertemakan Deepavali dan menyertai dialog silang budaya.
Selain itu, mereka juga dapat menyaksikan acara Piala Kejohanan Kabaddi, sebuah sukan berasal dari India, yang disampaikan oleh Kabaddi Alliance of Singapore (KAS).
Acara itu turut menampilkan demonstrasi sukan, permainan tradisional seperti patintero dan la vibora de la mar, dan kegiatan kraf seperti melukis lampu – yang menyerlahkan nilai kekuatan dan kebersamaan yang menjadi teras sambutan Deepavali.
AGWO dan HIA dalam satu kenyataan bersama pada 20 Oktober berkata sambutan Deepavali itu membina kerjasama berterusan AGWO dengan pemerintah dan rakan masyarakat untuk memupuk keterangkuman dan persahabatan antara rakyat Singapura dengan pekerja migran.
“Ia mencerminkan kepercayaan bersama kita bahawa keharmonian berkembang apabila kita bersatu – merentas budaya, kepercayaan dan latar belakang – untuk belajar, meraikan dan mengambil berat antara satu sama lain,” kata mereka.
Sempena sambutan Deepavali yang mengingatkan semua “bahawa cahaya mengatasi kegelapan”, Ketua Pengarah AGWO, Reverend Samuel Gift Stephen, berharap acara itu akan memancarkan cahaya persahabatan dan penghargaan yang sama kepada pekerja migran yang telah banyak menyumbang bagi membina Singapura.
“Ia juga peluang bagi rakyat Singapura belajar, mendekati dan meraikan bersama mereka.
“Sukan melangkaui bahasa dan budaya.
“Dengan memperkenalkan kabaddi kepada sukarelawan belia dan rakyat Singapura, kami ingin mewujudkan ikatan saling menghormati, kerja berpasukan dan persefahaman,” kata beliau.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg