Pekerja migran dan pembantu rumah asing diraikan dalam satu acara penuh kemeriahan pada 19 Oktober, bersama sukarelawan tempatan sempena sambutan Deepavali.
Sekitar 600 pekerja migran dan pembantu rumah berkumpul di Flower Field Hall yang terletak di Gardens by the Bay, untuk menikmati pelbagai aktiviti seperti persembahan kebudayaan, permainan, dan upacara penyalaan pelita.
Mereka turut menulis ucapan dan harapan mereka di atas poskad untuk dihantar kepada keluarga masing-masing di tanah air mereka.
Acara tersebut dianjurkan oleh Kumpulan Keyakinan, Penjagaan dan Penglibatan (ACE) Kementerian Tenaga Manusia (MOM), bersama Alumni Institut Pengurusan India (IIM) Singapura.
Menteri Negara (Tenaga Manusia merangkap Kebudayaan, Masyarakat dan Belia), Encik Dinesh Vasu Dash, turut menyertai sambutan tersebut.
Encik Dinesh berkata bahawa 2025 membawa makna istimewa kerana Singapura menyambut ulang tahun kemerdekaannya yang ke-60.
Lantaran itu, menurut beliau, mengajak komuniti migran untuk bersama-sama menyambut Deepavali adalah satu cara untuk menunjukkan penghargaan dan pengiktirafan yang mendalam atas sumbangan mereka kepada kemajuan dan kejayaan berterusan negara ini.
“Kami faham bahawa berjauhan daripada keluarga bukanlah sesuatu yang mudah... Sebab itulah kami berada di sini, untuk meraikan bersama dan memberi jaminan bahawa walaupun anda jauh dari tanah air, anda tidak keseorangan di Singapura,” ujar Encik Dinesh.
ACE telah meraikan Deepavali bersama komuniti migran sejak 2020.
Tahun ini, ACE turut menghubungi beberapa majikan dan menjemput mereka untuk membawa pekerja masing-masing ke acara tersebut.
ACE juga mengundang pekerja domestik migran melalui rakan-rakan kongsinya termasuk Brahm Centre, sebuah pertubuhan amal kesihatan mental dan kesejahteraan, serta pertubuhan bukan pemerintah (NGO) Passion To Serve yang menjalankan kelas literasi digital dan pengayaan bahasa Inggeris secara berkala untuk para pekerja.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg