Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Sambutan gah tahun baru 2025 rai SG60

Pelbagai acara menarik diadakan di beberapa lokasi, termasuk kawasan kejiranan
Dec 30, 2024 | 2:11 PM
Pertunjukan bunga api dijadual menghiasi langit malam berdekatan Our Tampines Hub, dalam acara menghitung detik menjelang 2025 sama seperti cahaya yang mewarnai angkasa bagi menyambut 2024 dalam gambar ini.
Pertunjukan bunga api dijadual menghiasi langit malam berdekatan Our Tampines Hub, dalam acara menghitung detik menjelang 2025 sama seperti cahaya yang mewarnai angkasa bagi menyambut 2024 dalam gambar ini. - Foto OUR TAMPINES HUB

Terdapat pelbagai acara dirancang bagi menyambut tahun baru 2025.

Ini termasuk 2,025 origami dalam bentuk burung bangau di estet perumahan Aljunied dan Hougang untuk melambangkan keberkatan pada tahun baru.

Terdapat juga pelbagai persembahan menarik pada acara kira detik di kawasan perumahan yang lebih gah daripada acara pada tahun-tahun sebelumnya.

Pertubuhan akar umbi Persatuan Rakyat (PA) telah merancang kegiatan menghitung detik di 17 lokasi Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) pada 31 Disember. 

Ini juga menandakan permulaan tahun 2025 serta pelancaran acara sepanjang tahun untuk memperingati ulang tahun ke-60 kemerdekaan Singapura (SG60).

Acara di kawasan perumahan itu adalah sebahagian daripada inisiatif kebangsaan ONE Countdown 2025 yang melancarkan SG60 di pelbagai lokasi di seluruh Singapura, menurut kenyataan media daripada Kementerian Kebudayaan, Masyarakat dan Belia (MCCY).

Dengan tema, Membina Singapura Kita Bersama (Building Our Singapore Together), SG60 menandakan pembinaan negara dan memberi peluang kepada rakyat untuk merenung nilai bersama seperti kepelbagaian budaya, keberanian, ketabahan dan keterbukaan.

Sebanyak 17 pesta di kawasan perumahan dianjurkan oleh lebih 1,700 pemimpin akar umbi dan sukarelawan masyarakat yang terdiri daripada pelajar, karyawan dan warga emas, lapor The Straits Times (ST).

Mereka mengatur program meriah dan terangkum untuk penduduk daripada semua peringkat umur.

Pada 2024, selain pusat di kawasan perumahan, warga Singapura juga boleh menyertai pesta ONE Countdown 2025 pada Malam Tahun Baru di lokasi seperti Marina Bay, Sentosa, Hab Sukan Singapura, Clarke Quay, dan Orchard Road.

Untuk maklumat lanjut mengenai sambutan di kawasan perumahan, penduduk flat HDB dan kawasan perumahan privet boleh menghubungi kelab masyarakat, jawatankuasa penduduk, jawatankuasa kejiranan atau rangkaian penduduk mereka.

Orang ramai boleh mendapatkan maklumat terkini acara itu di laman web, go.gov.sg/PAcountdown2025

Di bawah merupakan acara utama di 17 lokasi pada 31 Disember.

5 Sorotan Pesta Malam Tahun Baru

1. ‘Tampines Boogie Night’

Penduduk Tampines akan menyambut 2025 dengan malam yang penuh keceriaan, bersama keluarga dan rakan-rakan.

Sambutan Malam Tahun Baru yang dianjurkan oleh organisasi akar umbi Tampines GRC menampilkan beberapa sesi tarian K-pop dari 10 malam hingga 12.30 pagi.

Acara itu diberi nama ‘Tampines Boogie’ dan diadakan di Festive Plaza di Our Tampines Hub (OTH).

Acara itu akan menampilkan penyanyi-penulis lagu dari Korea Selatan, Leejean, serta kumpulan tarian tempatan seperti O School dan Hello Melo.

Keluarga juga boleh bermain luncur di gelanggang sintetik atau menulis azam Tahun Baru mereka di SG60 Pledge Wall yang disediakan di hab tersebut. 

Malam itu akan berakhir dengan pertunjukan bunga api pada tengah malam di Tampines Central Park, bersebelahan dengan hab.

Tempat: Our Tampines Hub dan Tampines Central Park

Masa: 10 malam hingga 12.30 pagi

2. Karya Masyarakat bersama Artis Grafiti Zero

Salah satu sorotan di Stadium Bedok adalah penciptaan karya seni bermasyarakat bertajuk, Illuminate 2025, oleh penduduk East Coast bersama artis grafiti terkenal, Zul Othman, yang dikenali sebagai Zero.

Artis grafiti terkenal, Zul Othman, telah mencipta karya seni yang dipanggil ‘Illuminate 2025’ bersama penduduk East Coast.
Artis grafiti terkenal, Zul Othman, telah mencipta karya seni yang dipanggil ‘Illuminate 2025’ bersama penduduk East Coast. - Foto fail

Acara lain yang diatur oleh organisasi akar umbi East Coast GRC termasuk bunga api pada tengah malam dan sambutan penuh nostalgia di Stadium Bedok. 

Terdapat ruang khas yang membolehkan penduduk menulis impian masa depan mereka, sementara warga emas boleh menulis mesej ikhlas kepada generasi muda.

Tempat: Stadium Bedok, 1 Bedok North Street 2, Singapura 469642

Masa: 8 malam hingga 12.15 pagi

3. Acara muzik, budaya dan masyarakat

Acara menghitung detik di Marsiling-Yew Tee (MY) menjanjikan sambutan muzik, kebudayaan dan masyarakat untuk penduduk.

Encik Jonathan Luke, 29 tahun, pengerusi penganjur MY Countdown menyatakan artis hip-hop Shigga Shay; penyanyi dan penulis lagu, Joanna Dong; serta penyanyi dan penulis lagu, Ben Hum, akan memeriahkan suasana perayaan, dengan pertunjukan bunga api dan kegiatan mesra keluarga.

Penyanyi dan penulis lagu Singapura, Ben Hum, merupakan sebahagian daripada barisan penyanyi yang akan beraksi dalam sambutan menghitung detik menjelang 2025 di Marsiling-Yew Tee.
Penyanyi dan penulis lagu Singapura, Ben Hum, merupakan sebahagian daripada barisan penyanyi yang akan beraksi dalam sambutan menghitung detik menjelang 2025 di Marsiling-Yew Tee. - Foto WARNER BROS PICTURES

Salah satu acara menarik yang diadakan termasuk pameran yang memaparkan 15 alat muzik tradisional untuk memberi gambaran tentang pengalaman seni yang bakal dinikmati oleh penduduk apabila Hab Seni Persembahan Masyarakat Marsiling dibuka pada 2026.

Penduduk akan dapat mencuba alat muzik pelbagai budaya yang disumbangkan oleh sukarelawan – termasuk pipa, erhu, kompang, timbal, tabla dan sitar.

Tempat: Stadium Woodlands, 1 Woodlands Street 13, Singapura 738597

Masa: 8 malam hingga 12.30 pagi

4. Pengalaman kreatif di Nee Soon

Acara menghitung detik Nee Soon 2025 bertujuan untuk merai kreativiti, kebersamaan dan hubungan, yang menggalakkan penyertaan masyarakat.

Zon baru ‘Glow Up’ membolehkan penduduk dari semua peringkat umur melukis mural dan menyumbang idea pada kanvas masyarakat besar yang mempamerkan tempat-tempat ikonik sekitar Nee Soon.

Encik Kok Ping Soon, 54 tahun, pengerusi penganjur acara kira detik Nee Soon 2025, berkata acara itu membolehkan penduduk bekerjasama secara artistik dan mengeratkan semangat kemasyarakatan.

Tempat: Padang terbuka bersebelahan FutsalArena @ Yishun

Masa: 8 malam hingga 12.30 pagi

5. Karya seni ‘quilling’ oleh 2,025 penduduk dan sukarelawan Queenstown

Sambutan ini memberi penghormatan kepada Generasi Merdeka Singapura – iaitu mereka yang lahir antara 1 Januari 1950 dengan 31 Disember 1959, yang menjadi warganegara sebelum atau pada 31 Disember 1996.

Seramai 10 penduduk warga emas akan diundang khas untuk menaiki kereta vintaj ke acara tersebut.

Terdapat juga seni pemasangan yang menggunakan bahan ‘quilling’, iaitu jaluran kertas yang digulung, yang dihasilkan oleh penduduk.

Lebih 30 penduduk dan sukarelawan berumur dari lima hingga 79 tahun telah berkumpul pada 21 Disember di Rangkaian Penduduk Margaret Drive untuk memasang karya seni ‘quilling’ menjelang sambutan menghitung detik di Queenstown.
Lebih 30 penduduk dan sukarelawan berumur dari lima hingga 79 tahun telah berkumpul pada 21 Disember di Rangkaian Penduduk Margaret Drive untuk memasang karya seni ‘quilling’ menjelang sambutan menghitung detik di Queenstown. - Foto PEJABAT KAWASAN UNDI QUEENSTOWN

Encik Vincent Tham, 42 tahun, ahli jawatankuasa penganjur di Tanjong Pagar GRC dan Radin Mas SMC bagi acara Countdown New-tro Night, berkata karya seni itu mempamerkan hasil ‘quilling’ yang disusun oleh 2,025 penduduk dan sukarelawan.

Tempat: Kawasan Queenstown – Pusat Makanan Margaret Drive dan kolong Blok 33 hingga 37 Margaret Drive

Masa: 9.30 malam hingga 12.30 pagi

Sambutan Malam Tahun Baru di 12 Estet Perumahan

1. Hougang

Anjuran Aljunied GRC dan organisasi akar umbi Hougang, acara ini bertema, Igniting Sparks of Hope.

Penduduk Aljunied dan Hougang akan bersama-sama melipat 2,025 burung bangau origami dengan ucapan selamat untuk 2025.

Terdapat juga video yang memaparkan 2,025 harapan penduduk menjelang tengah malam.

Antara acara utama adalah persembahan pertama lagu baru yang ditulis oleh penulis lagu tempatan Lim Ziyi Zac, yang akan diiringi oleh bekas pelakon Mediacorp, Ya Hui.

Penulis lagu tempatan, Lim Ziyi Zac, akan membuat persembahan pada sambutan Tahun Baru di Hougang.
Penulis lagu tempatan, Lim Ziyi Zac, akan membuat persembahan pada sambutan Tahun Baru di Hougang. - Foto ihsan LIM ZIYI ZAC

Pada 12 tengah malam, pertunjukan bunga api akan diadakan untuk menyambut 2025.

Tempat: Padang terbuka sebelah Stesen MRT Hougang, Exit C

Masa: 10 malam hingga 12.30 pagi

2. Ang Mo Kio

Penduduk Ang Mo Kio akan menikmati ruang acara yang meriah dengan sudut santai, serta latar belakang untuk mengambil gambar yang menampilkan kereta Formula Satu (F1), Super Trees, dan dinding foto neon.

Anjuran GRC Ang Mo Kio dan organisasi akar umbi Kebun Baru, acara itu juga menampilkan permainan karnival dan persembahan, termasuk sesi genderang oleh Singapura Samba.

Pertunjukan bunga api akan diadakan pada tengah malam.

Tempat: Ruang terbuka di Pasar dan Pusat Makanan Mayflower

Masa: 9 malam hingga 12.30 pagi

3. Bishan

Sambutan menghitung detik Tahun Baru Bishan-Toa Payoh GRC dan kawasan Marymount SMC akan menampilkan bintang sukan dari Kelab Bola Sepak, Lion City Sailors.

Dalam segmen persembahan, Bishan-Toa Payoh & Marymount’s Got Talent, artis tempatan seperti rapper, Hiran Raj, akan menghiburkan penduduk.

Anjuran Bishan-Toa Payoh GRC dan organisasi akar umbi Marymount, malam itu akan berakhir dengan pertunjukan bunga api yang memukau.

Tempat: Taman Aktif Bishan, Bishan Street 23

Masa: 5 petang hingga 12.30 pagi

4. Boon Lay

Anjuran organisasi akar umbi Boon Lay, sambutan ini bertema, Be The Spark. A New Start.

Sorotan utama adalah percubaan Rekod Buku Singapura dengan 3,000 alat clapper LED yang dinyalakan semasa pertunjukan bunga api.

Kegiatan khas lain termasuk dinding foto untuk merenung 2024 dan harapan untuk 2025.

Sekitar 100 pelajar dari Sekolah Menengah River Valley akan menjadi perancang dan fasilitator acara, mengawasi 10 gerai penglibatan di dua daripada empat zon acara.

Sukarelawan pelajar akan membantu warga emas yang mempunyai masalah pergerakan agar mereka dapat turut serta dalam sambutan tersebut.

Tempat: Tanah lapang di hadapan Blok 215, Boon Lay Place

Masa: 6 petang hingga 12.15 pagi

5. Bukit Batok

Anjuran organisasi akar umbi Bukit Batok, acara itu akan menampilkan kiraan detik, Journey Through Time, yang meliputi lima dekad.

Tema nostalgia seperti fesyen, makanan, teknologi, mainan dan muzik akan dipaparkan melalui gerai snek retro, stesen permainan klasik dan persembahan pelbagai kaum

Penduduk digalak agar mengenakan pakaian yang menunjukkan era kegemaran mereka.

Acara itu juga akan menyajikan pertunjukan dron, trak makanan, permainan karnival, serta persembahan langsung oleh penghibur jalanan atau busker, Jeff Ng, The ETC, dan DJ Hojyn.

Tempat: Taman Tengah di SkyPeak

Masa: 6 petang hingga 12.15 pagi

6. Bukit Panjang

Anjuran Holland-Bukit Timah GRC dan organisasi akar umbi Bukit Panjang, acara menghitung detik di sini termasuk tayangan filem dan persembahan live band oleh The ETC and Friends, Yokez x The Nobodies, dan itsLawLeePop, bersama segmen tarian yang direka khas untuk warga emas.

Acara ini mesra keluarga, dengan pelbagai permainan karnival dan gerai makanan.

Sorotan utama adalah apabila 2,025 penduduk bersama-sama mengenakan gelang LED, diiringi dengan pertunjukan dron.

Tempat: Kelab Masyarakat Senja-Cashew

Masa: 9 malam hingga 12.30 pagi

7. Jalan Besar

Sambutan Tahun Baru Jalan Besar GRC dan Potong Pasir SMC akan merayakan perjalanan 60 tahun Singapura dan menampilkan pencapaian utama negara.

Sudut LED akan mempamerkan Dinding Mural Neon yang dicipta oleh sukarelawan dan pelajar Akademi Seni Halus Nanyang (Nafa).

Penduduk akan mengibarkan 2,025 lampu berbentuk bintang, melambangkan harapan dan perpaduan, dengan pertunjukan dron dan persembahan live oleh The ETC dan Didicazli untuk mengakhiri acara.

Tempat: Sekitar Ibu Pejabat Persatuan Rakyat

Masa: 8.30 malam hingga 12.15 pagi

8. Choa Chu Kang

Sambutan menghitung detik di Keat Hong menampilkan persembahan oleh Monty Crew, Angel Vaishilee, dan Ryan Sufiyan, dengan inisiatif SG60 Tapestry of Hope mengajak 2,025 penduduk untuk memberi ucapan sempena ulang tahun ke-60 Singapura.

Sorotan utama ialah New Year’s Eve Balloon Drop, diikuti dengan pertunjukan bunga api pada tengah malam.

Tempat: Padang keras di sebelah Sekolah Rendah Concord

Masa: 8 malam hingga 12.15 pagi

9. MacPherson

Acara dimulakan dengan Street-Up Up Ceremony, menerangi Circuit Road dengan lampu hingga 18 Februari dan menampilkan permainan karnival, dan persembahan oleh Bonnie Loo, Patricia Mok, Tallin Ang, serta Lennerd Lim, dan diakhiri dengan pertunjukan bunga api.

Tempat: Tanah Lapang bertentangan Kelab Masyarakat MacPherson

Masa: 8 malam hingga 12.30 pagi

10. Marine Parade

Sambutan ini menandakan kemuncak projek, My Marine Parade, yang mempamerkan kisah masyarakat melalui pameran dan bazar.

Selain itu, terdapat permainan karnival, persembahan pentas dan pertunjukan bunga api pada tengah malam.

Tempat: Tanah lapang di hadapan Blok 46, Marine Crescent

Masa: 10 malam hingga 12.15 pagi

11. Punggol West Community Square

Pesta menghitung detik di Pasir Ris-Punggol bermula dengan, Starlit Family Picnic, bagi membawa anggota keluarga berkumpul di bawah langit malam, serta menampilkan persembahan api oleh A. Firdaus, yang dikenali sebagai The Pyro Guy; muzik ‘live’ Substation Band SG; dan kumpulan muzik klasik, T’ang Quartet.

A. Firdaus, yang juga dikenali sebagai, ‘The Pyro Guy’, akan menghiburkan penonton dengan kemahirannya di atas pentas pada Malam Tahun Baru.
A. Firdaus, yang juga dikenali sebagai, ‘The Pyro Guy’, akan menghiburkan penonton dengan kemahirannya di atas pentas pada Malam Tahun Baru. - Foto ihsan THE PYRO GUY

Acara itu juga menampilkan persembahan silap mata, gerai permainan, istana ambul serta pertunjukan bunga api.

Tempat: Tanah lapang bersebelahan Blok 218, Sumang Walk

Masa: 8.30 malam hingga 12.10 pagi

12. Woodlands

Pesta di sini menawarkan muzik, penghibur jalanan dan gerai munculan untuk semua peringkat umur.

Dikhususkan untuk keluarga dengan anak kecil, terdapat zon permainan dan istana ambul.

Acara turut menampilkan persembahan muzik, tarian dan kebudayaan oleh penduduk dan pelajar, serta penekanan pada keusahawanan tempatan dengan barangan artisan.

Sambutan berakhir dengan pertunjukan bunga api.

Tempat: Sekolah Menengah Spectra dan Woodlands Drive 64

Masa: 9 malam hingga 12.15 pagi

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg