Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Semangat raikan SG60 walau di luar Padang

Ramai membawa keluarga untuk sama-sama meraikan Perbarisan Hari Kebangsaan (NDP) walaupun dalam keadaan cuaca panas, keadaan sesak
Aug 9, 2025 | 9:45 PM
Cik Safurah Ismail bersama suaminya, Encik Mohammed Ali gembira dapat membawa cucu-cucu mereka, Sheh Muhammad Shahrezza Muhammad Fuad (kiri) dan Wan Nur Shahzana Muhammad Fuad (kanan) keluar melihat terbang lalu jet pejuang di kawasan sekitar Marina Bay Sands (MBS).
Cik Safurah Ismail bersama suaminya, Encik Mohammed Ali gembira dapat membawa cucu-cucu mereka, Sheh Muhammad Shahrezza Muhammad Fuad (kiri) dan Wan Nur Shahzana Muhammad Fuad (kanan) keluar melihat terbang lalu jet pejuang di kawasan sekitar Marina Bay Sands (MBS). - Foto BM oleh HUMAIRA SAFIYA

Demi merealisasikan impian cucu untuk menyaksikan Perbarisan Hari Kebangsaan (NDP), cuaca panas dan keadaan sesak tidak mematahkan semangat pasangan Encik Mohammed Ali dan isterinya, Cik Safurah Ismail.

Mereka sanggup berasak dengan orang ramai di sekitar Marina Bay Sands (MBS) demi menunaikan janji untuk membawa dua cucu mereka, Sheh Muhammad Shahrezza Muhammad Fuad dan Wan Nur Shahzana Muhammad Fuad keluar pada 9 Ogos untuk menonton NDP.

Ketika ditemui Berita Minggu (BM) di MBS, Cik Safurah berkongsi kebimbangan membawa cucunya, Sheh Muhammad Shahrezza, yang telah didiagnosis dengan ADHD, untuk keluar.

“Pada mulanya agak sukar, malah kami merancang untuk tidak pergi menyambut pun, tetapi kerana sudah berjanji dengan cucu-cucu jadi akhirnya kami ke MBS juga. Mereka ingin sekali melihat terbang lalu jet pejuang.

“Saya paling risau tentang lokasi terutamanya kerana cuaca sangat panas dan takut cucu-cucu akan tidak selesa.

“Setakat ini mereka nampak okay dan teruja namun saya akan pantau keadaan dan mood mereka sepanjang hari,” kata suri rumah berusia 64 tahun itu ketika ditemui sekitar 3 petang.

Bagi suaminya, Encik Mohammed, 63 tahun, seorang penyelia keselamatan, sambutan kini amat bermakna terutama sekali kerana ia kali pertama beliau dapat meluangkan masa dek cuti yang diberi.

Encik Mohammed dan Cik Safura sekeluarga adalah antara 200,000 penonton yang membanjiri kawasan di MBS dan Taman Merlion dan ghairah menantikan paparan NDP secara langsung di tiga skrin LED raksasa.

Mengimbau kembali kenangan awal kemerdekaan Singapura ialah Encik Mohamed Gani Salleh, 67 tahun.

Encik Mohamed Gani masih mengingati pertemuannya dengan Perdana Menteri Pengasas Singapura, mendiang Encik Lee Kuan Yew, pada 1965 sewaktu berusia hanya tujuh tahun.

Beliau yang juga dilahirkan pada 9 Ogos melahirkan rasa gembira dapat menyambut kededua hari kebangsaan dan hari lahir bersama keluarga tercinta.

Berkongsi lebih lanjut, beliau berkata:

“Perdana Menteri Lee Kuan Yew melawat Tanjong Pagar ketika itu dan saya ingat lagi saya dibawa berjalan bersamanya,” kata Encik Mohamed dengan bangga.

Selain mereka, BM juga menemui Encik Abdul Salim Kunju Mohamed, 56 tahun, sekeluarga di MBS.

Berkongsi keghairahannya, Encik Salim berkata mereka tidak pernah terlepas peluang daripada menyambut Hari Kebangsaan di rumah.

Baginya, 9 Ogos adalah hari untuk meluangkan masa bersama isterinya, Cik Raizanah Mohd Ramzan, 40 tahun, seorang suri rumah, dan dua anak mereka, Sameer Khan Akhtar, 9 tahun dan Muskaan Safiyaah, 6 tahun.

Sambutan kali ini berbeza kerana mereka memilih untuk meraikannya bersama rakyat Singapura dan bukan sekadar menonton tayangan NDP di rumah.

“Setiap tahun kami akan berpakaian cantik, beli kek walaupun sambut di rumah. Kali terakhir kami keluar ialah semasa sambutan jubli emas SG50 pada 2015.

“Oleh kerana 2025 adalah sambutan Jubli Intan SG60, jadi saya dan isteri pilih ke sini untuk dapatkan tempat istimewa bagi menonton bunga api dan terbang lalu.

“Saya selalu berpesan kepada anak-anak bahawa walau apa pun yang berlaku, jangan lupa dari mana asal kita. Singapura adalah rumah kita,” ujar Encik Abdul Salim dengan bangga sambil memandang ke arah anak-anaknya.

Selain daripada MBS, terdapat juga penonton yang berpusu-pusu beratur untuk memasuki Padang.

Antara yang bertuah memenangi tiket untuk menonton secara langsung ialah Encik Mohd Rizal Abdul Halim, 47 tahun, yang bertugas sebagai kapten bas.

Memenangi tiket NDP adalah bak hadiah istimewa bagi diri isterinya, Cik Yuana Kamsari, yang akan menyambut hari lahirnya ke-46 pada 10 Ogos.

Beliau ditemani dua anak mereka, Iffa Nurqaisara, 20 tahun, pelajar tahun ketiga dalam jurusan pengurusan fasiliti bersepadu di Politeknik Temasek dan Riyan Satria, 15 tahun, pelajar Sekolah Menengah Evergreen.

“Kami tidak sabar nantikan pasukan terjun Red Lions dan jet pejuang.

“Setelah bertahun-tahun gagal mengundi tiket, tahun ini saya menyuruh anak-anak dan isteri untuk cuba, dan akhirnya percubaan kami membuahkan hasil,” kata Encik Rizal yang mula beratur sejak 3 petang.

“Pada mulanya agak sukar, malah kami merancang untuk tidak pergi menyambut pun, tetapi kerana sudah berjanji dengan cucu-cucu jadi akhirnya kami ke MBS juga. Mereka ingin sekali melihat terbang lalu jet pejuang. Saya paling risau tentang lokasi terutamanya kerana cuaca sangat panas dan takut cucu-cucu akan tidak selesa. Setakat ini mereka nampak okay dan teruja namun saya akan pantau keadaan dan mood mereka sepanjang hari.”
Cik Safurah Ismail. 

“Setiap tahun kami akan berpakaian cantik, beli kek walaupun sambut di rumah. Kali terakhir kami keluar ialah semasa sambutan jubli emas SG50 pada 2015. Oleh kerana 2025 adalah sambutan Jubli Intan SG60, jadi saya dan isteri pilih ke sini untuk dapatkan tempat istimewa bagi menonton bunga api dan terbang lalu. Saya selalu berpesan kepada anak-anak bahawa walau apa pun yang berlaku, jangan lupa dari mana asal kita. Singapura adalah rumah kita.”
 Encik Abdul Salim Kunju Mohamed.

“Kami tidak sabar nantikan pasukan terjun Red Lions dan jet pejuang. Setelah bertahun-tahun gagal mengundi tiket, tahun ini saya menyuruh anak-anak dan isteri untuk cuba, dan akhirnya percubaan kami membuahkan hasil.”
Encik Mohd Rizal Abdul Halim.
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg