Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Sambutan jubli perak MLEP, Emas tanda ukur kemahiran dwibahasa

Pelajar dan alumni program juga raih manfaat daripada kefahaman budaya
Jul 19, 2025 | 9:21 PM
Cik Syafiqah ‘Adha Sallehin seorang lulusan muzik dan pemain akordian dan Encik Hairianto Diman, penyampai radio CNA 938 merupakan alumni MLEP semasa belajar di Maktab Rendah Tampines.
Cik Syafiqah ‘Adha Sallehin seorang lulusan muzik dan pemain akordian dan Encik Hairianto Diman, penyampai radio CNA 938 merupakan alumni MLEP semasa belajar di Maktab Rendah Tampines. - Foto BM oleh KHALID BABA

Sebagai penyampai dan penerbit radio saluran bahasa Inggeris, beliau tidak perlu gunakan bahasa Melayu dalam tugasnya setiap hari.

Namun, Encik Hairianto Diman, 37 tahun, yang merupakan salah seorang daripada penyampai bagi rancangan pagi di saluran radio CNA 938 bersyukur mempunyai asas yang kukuh dalam bahasa Melayu.

Ini antara lain diterapkan hasil Program Elektif Bahasa Melayu (MLEP) yang diikutinya semasa zaman persekolahannya.

Menurutnya, kemahiran itu dapat membantunya menjalankan tugas sebagai seorang wartawan, membolehkannya bertutur, menulis, membaca dan mendengar dalam bahasa Melayu dan Inggeris secara berkesan.

Tahun ini, Program Elektif Bahasa Melayu untuk Sekolah Menengah (Emas) dan Maktab Rendah (MLEP) meraikan ulang tahunnya yang ke-25.

Semasa acara yang menghimpunkan kira-kira 420 pelajar dan alumni pada 19 Julai, buku elektronik (e-buku) yang memaparkan pencapaian 25 tahun Emas dan MLEP berjudul ‘Menyusur Akar, Menyulam Budi’ turut dilancarkan.

Buku tersebut memaparkan 95 halaman hasil kerjasama antara alumni Emas-MLEP dan Kementerian Pendidikan (MOE).

Ia merakamkan perjalanan sepanjang 25 tahun, pencapaian serta kisah kejayaan pelajar program tersebut.

Encik Hairianto juga mengatakan bahawa pengalaman beliau dalam MLEP sewaktu di Maktab Rendah Tampines memberinya kemahiran dwibahasa dan kefahaman budaya – aspek yang sangat membantu beliau membina keyakinan misalnya semasa membuat liputan pilihan raya di Malaysia.

“Selepas melalui program MLEP, saya dapati melalui bahasa, saya mendapat akses kepada budaya dan sastera melayu,” kata Encik Hairianto.

Dalam ucapannya, tetamu terhormat, Pengarah Bahagian Perancangan dan Pembangunan Kurikulum MOE, Encik Ong Kong Hong, mengimbas kembali sejarah program ini.

“Emas bermula dengan 124 pelajar menengah di Sekolah Tinggi Pemerintah Bukit Panjang, manakala MLEP bermula dengan hanya 19 pelajar di Maktab Rendah Tampines pada tahun yang sama.

“Kini, Emas telah berkembang merangkumi kira-kira 370 pelajar dengan empat pusat, sementara MLEP di lima maktab prauniversiti kini menampung lebih 100 pelajar,” ujarnya.

Menurut Encik Ong, kedua-dua program ini adalah pintu gerbang kepada kefahaman budaya, kreativiti dan kepimpinan dan beliau menyeru ibu bapa serta pelajar untuk mengambil peluang mendalami bahasa dan warisan Melayu.

Elemen seni budaya turut mewarnakan majlis tersebut.

Cik Syafiqah ‘Adha Sallehin, 35 tahun, pemain akordion dan pengasas Gendang Akustika, menekankan bahawa program ini menyemai benih yang tumbuh dalam dirinya sebagai duta budaya melalui muzik.

“Sebagai bekas pelajar MLEP, saya telah banyak didedahkan kepada program penyerapan dan pengkaryaan yang membuat saya lebih peka terhadap bahasa dan budaya.

“Bengkel penulisan drama meningkatkan cinta saya terhadap bahasa dan budaya,” kata Cik Syafiqah yang turut mengadakan persembahan pada permulaan dan akhir acara.

Cik Syafiqah merupakan alumni MLEP dari Tampines Maktab Rendah dan telah menamatkan ijazah Sarjana di Konservatori Muzik Yong Siew Toh dan Universiti Nasional Singapura (NUS) dengan biasiswa penuh.

Seorang lagi alumni dan juga penggiat seni tari, Cik Suraya Suhaimi, 26 tahun, yang kini merupakan penolong penerbit, mengimbas semula perjalanan kreatifnya:

“Emas dan MLEP mendekatkan saya kepada pelbagai disiplin seni – persembahan, muzik, seni visual – yang membara minat saya terhadap bentuk seni tradisional Melayu dan evolusinya.”

Tesis sarjana mudanya mengenai fungsi tarian Melayu dalam wacana sosial tempatan kini mewarnai penggambaran acara dan festival seni yang diarahkannya dengan kepekaan budaya yang tinggi menurut Cik Suraya yang berkelulusan sarjana muda (Kepujian) dalam Pengajian Melayu daripada NUS.

“Program-program ini bukan sekadar penjana pencapaian akademik. Ia menyajikan aktiviti seperti kem bahasa dan kebudayaan, penulisan kreatif, perkongsian awam, bengkel dramatik dan syarahan sastera – langkah strategik untuk memperkasakan kecekapan bahasa Melayu serta literasi budaya.”

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg