Meski mengekalkan tema yang sama dengan tahun sebelum ini (2024), Bulan Bahasa 2025 akan menggunakan pendekatan lebih terbuka dan terangkum, dengan penekanan terhadap bahasa tidak semestinya memerlukan tahap kefasihan.
Menegaskan perkara itu, Pengerusi Majlis Bahasa Melayu Singapura (MBMS) dan Jawatankuasa Bulan Bahasa 2025, Encik Zhulkarnain Abdul Rahim, berkata Bulan Bahasa kali ini bertujuan mengubah tanggapan masyarakat terhadap penggunaan bahasa serta membuka ruang agar semua warga Singapura dapat memiliki bahasa tersebut bersama, tanpa mengira tahap penguasaan atau latar kaum.
Ini lebih-lebih lagi bertepatan dengan sambutan ulang tahun kemerdekaan Singapura ke-60 (SG60) yang memberi fokus kepada bahasa Melayu sebagai wadah perpaduan dan aspirasi kebangsaan.
Encik Zhulkarnain, yang juga Anggota Parlimen (AP) GRC Chua Chu Kang, berkata demikian dalam satu sidang media di Bangunan Perpustakaan Negara, pada 18 Julai.
Tiga individu turut diperkenalkan sebagai Duta Bahasa 2025, menjadikan jumlah keseluruhan Duta Bahasa yang dilantik sejauh ini, seramai 53 individu.
Mereka ialah pelakon dan usahawan, Izyan Mellyna; aktivis seni dan teater, Hidayat Nordin; dan pelajar Institusi Raffles (RI), Fatih Hamdani Muhammad Effendy, yang juga bekas Rakan Bahasa.
Bertemakan Cita, Citra, Cinta, Bulan Bahasa 2025, anjuran MBMS yang akan berlangsung dari 16 Ogos hingga 12 Oktober ini, menekankan aspirasi masyarakat, penghargaan terhadap keindahan bahasa dan budaya, serta semangat mencintai bahasa Melayu dalam kehidupan seharian.
Menjawab pertanyaan Berita Harian (BH) selepas sidang tersebut, Encik Zhulkarnain berkata:
“Kami mahu semua lapisan masyarakat – tanpa mengira kaum atau tahap penguasaan bahasa Melayu – melihat bahasa Melayu sebagai bahasa yang mereka boleh miliki dan banggakan bersama.
“Bahasa Melayu, sebagai salah satu bahasa rasmi negara kita, mempunyai potensi besar untuk menjadi wadah penyatuan, terutamanya dalam sambutan SG60 yang menekankan perpaduan dan jati diri kebangsaan.”
Menurut Encik Zhulkarnain, pendekatan pada 2025 merangkumi seluruh lapisan masyarakat, dengan penekanan khusus kepada dua aspek utama – golongan belia serta penggunaan pendekatan yang lebih inovatif dan terangkum untuk memasyarakatkan bahasa Melayu.
“Tahun ini merupakan detik penting kerana kita meraikan SG60. Justeru, Bulan Bahasa 2025 mengangkat bahasa Melayu sebagai bahasa penyatu bangsa, pembina masyarakat, dan penghubung antara warga pelbagai latar.
“Pendekatannya lebih menyeluruh, dengan usaha mendampingi semua masyarakat Singapura tanpa mengira kaum, agar mereka dapat bersama-sama meraikan dan menghayati Bulan Bahasa,” kata beliau.
Semangat keterangkuman ini turut terserlah dalam pelantikan Duta Bahasa yang baru, termasuk Fatih Hamdani Muhammad Effendy – bekas Rakan Bahasa pertama yang diberikan pengiktirafan tersebut.
“Kalau kita lihat pelantikan Duta Bahasa sebelum ini, kita lebih cenderung kepada pencapaian disiplin dalam bidang disiplin tertentu yang diceburi seseorang.
“Tapi kini, kita bukan hanya menilai pencapaian atau disiplin itu, tetapi juga sejauh mana mereka memberi impak kepada masyarakat dan menghidupkan usaha pelestarian bahasa Melayu,” kata Encik Zhulkarnain sambil menegaskan pentingnya terus memupuk rasa cinta terhadap bahasa dalam kalangan masyarakat, khususnya generasi muda.
Pelancaran rasmi Bulan Bahasa 2025 akan disiarkan di saluran Mediacorp Suria pada 29 Ogos dan akan memaparkan persembahan istimewa daripada pelbagai penggiat seni tempatan serta Duta Bahasa terdahulu.
Terdapat juga pelbagai acara fizikal dan digital yang melibatkan sekolah, kumpulan seni, akar umbi dan institusi masyarakat.
Antara program menarik tahun ini termasuk Bedah Lirik oleh Hidayat Nordin yang akan mengupas maksud lagu-lagu Melayu ikonik merentasi generasi, serta Batik Bersama, anjuran Kamal Arts yang memperkenalkan istilah Melayu melalui seni visual.
“Bahasa Melayu bukanlah bahasa yang statik; ia akan terus berkembang dan berubah mengikut peredaran masa.”
“Untuk memeliharanya bagi generasi akan datang, kita harus memperkukuh usaha kita untuk mempromosikan bahasa Melayu setiap tahun. Saya menggalakkan belia dan semua rakyat Singapura untuk mengambil bahagian dan menghayati sepenuhnya kekayaan bahasa, budaya dan warisan Melayu kita,” ujar Encik Zhulkarnain.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg