Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Sambutan meriah buat pemimpin, busana indah warnai suasana NDP

Aug 9, 2024 | 10:14 PM
Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, menonton Perbarisan Hari Kebangsaan (NDP) yang ke-59 selaku Perdana Menteri buat kali pertama sejak mengangkat sumpah pada Mei lalu.
Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, menonton Perbarisan Hari Kebangsaan (NDP) yang ke-59 selaku Perdana Menteri buat kali pertama sejak mengangkat sumpah pada Mei lalu. - Foto BH oleh SHAFIQ APANDI

Kehadiran Menteri Kanan, Encik Lee Hsien Loong, di ruang VIP bagi Perbarisan Hari Kebangsaan (NDP) ke-59 disambut baik sebilangan besar penonton di Padang pada 9 Ogos.

Mantan Perdana Menteri Singapura itu menerima tepukan gemuruh dan penghormatan khas atas sumbangannya yang tidak berbelah bahagi kepada Singapura dalam bentuk montaj video yang menjejak pencapaiannya selama 20 tahun. 

Dalam penonton meraikan pencapaian beliau, ketibaan mantan Presiden Puan Halimah Yacob dan Dr Tony Tan, serta mantan Perdana Menteri, Encik Goh Chok Tong, turut menarik perhatian ramai.

Meskipun hujan lebat membasahi seluruh pulau seketika, langit mula cerah dan kemeriahan tetap terasa di kala perbarisan diteruskan dengan ketibaan Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong dan Presiden Tharman Shanmugaratnam, yang muncul sekitar 7 malam.

Ia merupakan sambutan NDP pertama Encik Tharman selaku Presiden dan Encik Wong selaku Perdana Menteri.

Dalam Amanat Hari Kebangsaan sulung beliau dari Sri Temasek di Istana pada 8 Ogos, Encik Wong telah berkongsi strategi pemerintah dalam meningkatkan dinamisme Singapura, dengan mewujudkan peluang baru bagi membolehkan rakyat menikmati kehidupan lebih baik menerusi pertumbuhan dan peningkatan ekonomi yang dipacu inovasi dan daya penghasilan.

Encik Wong menambah bahawa kunci utama dalam menangani kenaikan kos sara hidup dalam jangka panjang ialah inovasi dan daya penghasilan dalam setiap aspek ekonomi.

Ini akan dilakukan dengan menambah pelaburan dalam prasarana sosial untuk menyokong golongan yang memerlukan bantuan, seperti pekerja bergaji rendah, keluarga susah, dan golongan pesara.

Pemerintah akan terus ringankan beban inflasi melalui bantuan seperti baucar CDC, bayaran tunai dan rebat api air, tambah Encik Wong dalam Amanat beliau.

Cik Rahayu Mahzam yang baru dinaikkan pangkat selaku Menteri Negara (Perhubungan dan Penerangan merangkap Kesihatan) pada Mei lalu turut hadir bersama pemimpin Melayu lain.

Beliau tiba bersama Menteri Negara (Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Negara), Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim; Menteri Negara Kanan (Pertahanan merangkap Tenaga Manusia), Encik Zaqy Mohamad; Mayor Majlis Pembangunan Masyarakat (CDC) South East, Encik Mohd Fahmi Aliman.

Anggota Parlimen (AP) Encik Saktiandi Supaat (GRC Bishan-Toa Payoh), Cik Mariam Jaafar (GRC Sembawang), Dr Wan Rizal Wan Zakariah (GRC Jalan Besar) Encik Zhulkarnain Abdul Rahim (GRC Chua Chu Kang) Encik Sharael Taha (GRC Pasir Ris-Punggol) juga ‘turun padang’.

Mereka ditemani oleh AP parti pembangkang, dipimpin oleh Ketua Pembangkang, Encik Pritam Singh (GRC Aljunied).

Kelihatan teruja adalah AP Dilantik (NMP), Profesor Madya Razwana Begum dan Dr Syed Harun Alhabsyi, sambil menyaksikan pertunjukan pasukan payung terjun Red Lions yang telah selamat mendarat.

Sebelum ini, kekhuatiran muncul dengan kejadian seorang anggota Red Lions yang cedera selepas mendarat dengan cara yang tidak dijangka pada 2022.

Busana merah putih para menteri dan AP menarik perhatian. Ramai yang memilih corak bunga pada baju dan gaun yang dipakai.

Menteri di Pejabat Perdana Menteri, Dr Maliki Osman, yang juga Menteri Kedua (Pendidikan dan Ehwal Luar), memakai seluar putih dan kemeja berkolar dengan corak anggerik ‘Cymbidium’ atau ‘boat orchid’.

Warna dedaunan hijau dan kelopak bunga merah jambu juga kelihatan pada kemeja beliau.

Cik Rahayu pula kelihatan menawan dengan blaus merah yang dipasangkan dengan kain putih.

Menurutnya di Instagram, fabrik busananya itu direka Cik Nazurah Rohayat daripada Tapestree Project yang menggunakan kecerdasan buatan (AI) untuk menjana motif daripada unsur tradisional pelbagai budaya di Singapura.

Pereka kebaya berbakat, Cik Ratianah Tahir, pula memadankan busana yang digayakan Cik Rahayu secara sempurna.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg