USTAZAH MASNIA NASSIM
Kali terakhir Madrasah Wak Tanjong Al-Islamiah mengadakan acara Musabaqah Tahfiz antara madrasah di sini ialah pada 2019. Apabila Covid-19 melanda, semua acara musabaqah terpaksa ditiadakan.
Kini setelah empat tahun berlal,u musabaqah tersebut dianjurkan semula, dan kali ini dengan jenama baru dikenali sebagai, Muqnan Musabaqah Al-Quran Nur Ala Nur, juga bersempena dengan menggunakan logo kami iaitu Nur Ala Nur.
Acara itu akan diadakan sempena majlis Zikra Rasul Madrasah Wak Tanjong Al-Islamiah kali ke-58, yang akan berlangsung pada 21 September 2024.
Acara Musabaqah Tahfiz ini dibuka kepada pelajar madrasah sepenuh masa dan institusi tahfiz yang ada di Singapura.
Ia terdiri daripada tiga kategori iaitu Kategori A yang terbuka untuk murid sekolah rendah. Kategori B untuk pelajar menengah dan Kategori C pula disasarkan bagi pelajar Menengah 5 dan prauniversiti.
Selain mempelajari cara tilawah yang baik dari segi tajwid dan fashahah (bacaan yang terang dan jelas), peserta perlu memahami kandungan dan tafsir Al-Quran.
Bagi pelajar madrasah peringkat lebih tinggi, menghafaz surah atau juz tertentu sudah menjadi sebahagian amalan semua pelajar sejak kecil atau Darjah 1.
Apatah lagi dengan institusi tahfiz yang memang menyediakan program menghafal Al-Quran, dan sehingga berjaya melahirkan hafiz atau hafizah Singapura yang cemerlang.
Oleh itu, Musabaqah Tahfiz ini diadakan untuk lebih menggalakkan pelajar madrasah menghafal surah atau juz tertentu dan mendorong mereka agar terus menghafal Al-Quran sepenuhnya pada masa hadapan.
Semoga majlis ini akan mendapat keberkatan Allah swt.
Oleh itu, madrasah kami dengan hormatnya mempersilakan orang ramai dan kaum Muslimin yang berkelapangan agar mengikuti acara musabaqah yang akan bermula pada 8.30 pagi sehingga sekitar 12 tengah hari.
Setelah itu, majlis akan diserikan dengan bacaan selawat oleh pelajar kami. Dan seterusnya sekitar 1 petang, yang berbahagia pendakwah Singapura yang disegani, Ustaz Muhd Nuzhan Abdul Halim, akan menyampaikan ceramah agama sempena acara Maulidur Rasul ini.
Jamuan nasi beriani pula akan dimulakan pada 10 pagi hingga 3.30 petang di kantin madrasah bagi jemaah wanita. Bagi jemaah lelaki, hidangan disediakan di kawasan sukan futsal.
Penulis merupakan mudirah Madrasah Wak Tanjong Al-Islamiah.
Cara menyokong Madrasah Wak Tanjong Al-Islamiah:
1. Anda boleh menderma dengan menggunakan PayNow: UEN S55MM0002D; atau kirimkan cek atas nama ‘Madrasah Wak Tanjong Al-Islamiah’.
2. Hubungi talian 6741-0131 atau e-mel ke mwti@mwti.edu.sg untuk mendapatkan maklumat lanjut.
3. Kunjungi Facebook@MWTI Madrasah Wak Tanjong Al-Islamiah untuk mengikuti perkembangan terbaru madrasah.
4. Langsung ke pejabat Madrasah Wak Tanjong Al-Islamiah di alamat 589 Sims Avenue, Singapura 387600.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg