Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) dan kelompok penjagaan kesihatan awam, NHG Health memeterai memorandum persefahaman pada 31 Oktober bagi memperkukuh sokongan kesihatan dan kesejahteraan warga emas menerusi program Santunan Emas, yang sedang diperluas ke empat lagi masjid di utara Singapura.

Kerjasama itu bertujuan memperkukuh penjagaan kesihatan pencegahan, pendidikan kesihatan dan khidmat rujukan kepada warga emas, selain merangkumi latihan bagi pegawai masjid dan sukarelawan untuk membantu warga emas mendapatkan sokongan kesihatan bersesuaian.

Empat masjid tambahan tersebut ialah Masjid Darul Makmur, Masjid Assyafaah, Masjid Yusof Ishak, dan Masjid An-Nur.

MOU tersebut ditandatangani Timbalan Ketua Eksekutif MUIS, Cik Faizah Ahmad Barazy, dan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan (Kesihatan Penduduk), NHG Health, Profesor Eugene Fidelis Soh.

Pemeteraian itu disaksikan Menteri Negara (Kesihatan merangkap Penerangan dan Pembangunan Digital), Cik Rahayu Mahzam; Pengarah Kanan Sektor Satu Masjid (OMS), Encik Zalman Ali; dan Pengerusi Lembaga Perubatan (Kesihatan Penduduk), NHG Health, Profesor Madya Adjung Mark Chan Peng Chew.

Menurut Superintenden Daerah Masjid (Daerah Utara) MUIS, Encik Yacob Ahmad, Program Santunan Emas kini menjangkau lebih 2,400 peserta setiap minggu menerusi kegiatan secara fizikal dan dalam talian, sekali gus berada di landasan mencapai sasaran 3,000 peserta seminggu menjelang akhir 2026.

“Setiap masjid akan menyediakan kegiatan yang disesuaikan dengan keperluan warga emas setempat, merangkumi pembelajaran agama, penuaan aktif, dan sokongan masyarakat,” katanya.

Pengerusi Eksekutif Masjid Al-Muttaqin dan Masjid Darul Makmur, Encik Mohd Fairus Abd Manaf, berkata masalah kesihatan, kesunyian, dan kurangnya penggunaan khidmat sokongan sedia ada merupakan antara cabaran yang dikenal pasti dalam kalangan warga emas.

“Pengisian agama dan bimbingan kerohanian merupakan daya tarikan penting untuk menggalakkan warga emas hadir ke masjid setempat,” jelasnya.

Tambahnya, Santunan Emas, yang kali pertama diperkenalkan di Masjid Al-Muttaqin pada Oktober 2024, menggabungkan pembelajaran agama dengan kegiatan senaman, penuaan aktif dan sokongan masyarakat bagi memenuhi keperluan warga emas secara menyeluruh.

Pengarah Operasi Masyarakat (Kesihatan Penduduk), NHG Health, Cik Lim Sing Yong, berkata kerjasama itu membolehkan penjagaan kesihatan pencegahan dibawa lebih dekat kepada warga emas melalui Pos Kesihatan Masyarakat di masjid.

“Jika penduduk ada soalan, pasukan kesihatan kami di masjid dapat membantu menangani masalah dan menjawab soalan mereka pada peringkat awal,” terangnya.

Menurut NHG Health, seramai 225 penduduk telah mendapatkan khidmat di Pos Kesihatan Masyarakat yang ditempatkan di masjid setakat ini.

Pemeteraian MOU itu disusuli edisi keenam forum Sembang-Sembang Santunan Emas, anjuran bersama Masjid Al-Muttaqin dan Berita Harian (BH), yang membincangkan pengurusan kedukaan serta kesejahteraan emosi warga emas.

Forum itu menampilkan mantan Mufti, Ustaz Dr Mohamed Fatris Bakaram; Ketua Terapis Private Space Medical, Cik Siti Mariam Salim; dan Ketua Kejururawatan Rumah Jagaan NTUC Health Tampines, Cik Halijah Jantan, sebagai anggota panel.

Sementara itu, Ustaz Fatris, yang juga pembimbing Santunan Emas, berharap program tersebut akhirnya dapat diperluas ke semua masjid di Singapura.

“Harapan saya adalah agar program ini dapat diperluaskan ke semua masjid di Singapura dengan sokongan emosi, spiritual, sosial dan kewangan,” kongsinya.

Beliau turut berharap kerjasama itu dapat diperluas kepada rumah jagaan warga emas, pusat penuaan aktif, serta hospital dan hospis supaya keperluan warga emas Muslim terus terbela.