Topik diikuti
Pergi ke BHkuSukarelawan giat galak warga emas lain sertai program Santunan Emas
Usaha hasil inisiatif Masjid Al-Muttaqin bantu warga emas meniti usia senja dengan lebih bermakna
Bagi Cik Latipah Abdul Rahman, 61 tahun, Masjid Al-Muttaqin di Ang Mo Kio bukan sekadar tempat untuk beliau beribadah atau menghadiri ceramah.
Dalam perjalanan Cik Latipah ke masjid, beliau akan bertegur sapa dengan warga emas lain yang ditemuinya dan mengajak mereka mengikutinya ke sana untuk menyertai pelbagai kegiatan.
“Kadang-kadang bila saya berjalan ke masjid, saya akan terserempak dengan warga emas dan tanya sama ada mereka mahu ikut saya ke masjid untuk kegiatan atau ceramah.
“Kebanyakan masa, mereka akan kata ‘okey’ dan ikut,” katanya apabila ditemu bual Berita Harian (BH).
Kebiasaan kecil itu mencerminkan apa yang ditemuinya menerusi program, Santunan Emas, iaitu tujuan, teman dan sebab untuk terus kembali ke masjid.
Program hasil daya usaha Masjid Al-Muttaqin itu bertujuan membantu warga emas meniti usia senja dengan lebih bermakna dari segi rohani, fizikal dan psikologi.
Ini di samping menyediakan ruang untuk mereka kekal aktif, bergaul dan terus menyumbang kepada masyarakat.
Matlamat itu diterapkan menerusi pelbagai kegiatan, termasuk ceramah agama, kelas Al-Quran, kegiatan kesihatan dan senaman yang disesuaikan dengan keupayaan fizikal warga emas.
Dalam sesi kelapan program itu pada 26 Ogos bertema, ‘Active Ageing’ (Penuaan Aktif), sekitar 30 warga emas menyertai kegiatan sukan yang diubah suai mengikut keupayaan mereka, termasuk permainan bola lantai dari tempat duduk masing-masing serta senaman kerusi.
Sesi tersebut dijalankan dengan kerjasama Sunlove, sebuah pertubuhan perkhidmatan sosial.
Penglibatan Cik Latipah dalam program itu bermula sejak Santunan Emas diperkenalkan pada akhir 2024.
Beliau mulanya menjadi sukarelawan apabila kegiatan tersebut kebetulan diadakan pada hari cutinya, kata beliau, yang merupakan seorang tukang urut.
Cik Latipah, yang belum berumah tangga, pernah meluangkan sebahagian besar hidupnya menjaga ibu bapanya yang telah lanjut usia.
Kedua-duanya kini telah meninggal dunia.
Selepas pandemik Covid-19, beliau juga mendapati masa lapangnya bertambah apabila kegiatan sosial berkurangan.
Santunan Emas memberinya ruang untuk mengisi masa tersebut dengan sesuatu yang bermakna.
“Kebetulan ada peluang untuk menjadi sukarelawan, Cik ada masa. Santunan Emas selaras dengan hari cuti Cik. Pada usia ini, Cik mahu menjadi sukarelawan, bergaul dengan kawan-kawan dan mendapat lebih banyak pendedahan, daripada duduk di rumah,” katanya.
Lama-kelamaan, kegiatan sukarelawan itu menjadi lebih daripada sekadar cara untuk mengisi masa lapang.
Cik Latipah kini merupakan sukarelawan aktif dan sebahagian daripada jawatankuasa program itu, selain menggalakkan warga emas lain agar turut serta.
Beliau teringat akan seorang anggota jemaah wanita yang sering datang bersendirian dan pada awalnya kelihatan malu untuk bergaul dengan orang lain.
Cik Latipah meyakinkan wanita itu bahawa beliau boleh mencari teman melalui program tersebut dan menggalakkannya untuk terus datang.
Kini, wanita tersebut dilihat lebih ceria, menyapa orang lain dan menyertai kegiatan yang diadakan.
Bagi Cik Latipah, perubahan itu menggambarkan apa yang Santunan Emas boleh tawarkan kepada warga emas, iaitu peluang untuk keluar dari rumah, mempelajari sesuatu yang baharu dan, yang paling penting, mengetahui bahawa ada yang menyambut kedatangan mereka.
“Kebanyakan yang datang setiap Rabu, kita boleh lihat mereka datang seorang diri. Dah bersara, lama-lama jadi lebih ceria. Berkawan, tersenyum,” katanya.
Pengalaman Cik Latipah mencerminkan keperluan yang lebih luas untuk memastikan warga emas terus mempunyai hubungan dengan masyarakat sedang Singapura menghadapi penduduk yang semakin menua.
Dalam Rapat Hari Kebangsaan (NDR) 2026, Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, menekankan kepentingan memastikan penduduk Singapura yang semakin berusia dapat meniti usia emas dengan baik, termasuk kekal aktif dan terlibat dalam masyarakat.
Dalam ucapan NDR beliau dalam bahasa Melayu, Encik Wong berkata, program Santunan Emas menyasarkan untuk mendekati 3,000 warga emas setiap minggu apabila ia diperluas merangkumi Masjid Assyafaah di Sembawang; Masjid Darul Makmur di Yishun; Masjid An-Nur di Marsiling; dan Masjid Yusof Ishak di Woodlands, menjelang akhir 2026.
Pengerusi Masjid Al-Muttaqin, Encik Mohd Fairus Abd Manaf, ketika ditemui BH berkata program Santunan Emas diwujudkan sebagai sebahagian daripada usaha lebih luas masjid itu untuk menyediakan ruang bagi warga emas meniti usia dengan baik dari segi rohani, fizikal dan psikologi.
Menurut beliau, program itu akhirnya bertujuan membantu warga emas kekal sihat, menghubungkan mereka dengan sumber dan perkhidmatan nasional yang bersesuaian dengan keperluan mereka, serta menyediakan ruang untuk mereka kembali menyumbang kepada masyarakat.
“Pada akhirnya, apa yang kami harapkan untuk warga emas adalah mereka lebih sihat, dan boleh dihubungkan dengan sumber nasional dan perkhidmatan yang dapat membantu mereka dalam apa jua keperluan.
“Kami juga menyediakan satu wadah untuk warga emas menyumbang kembali kepada masyarakat,” katanya.
Keperluan bagi ruang sedemikian turut dirasai dalam kalangan penduduk, kata Anggota Parlimen (AP) GRC East Coast, Cik Hazlina Abdul Halim.
Dalam wawancara berasingan dengan BH, beliau berkata warga emas mungkin perlu memberi lebih perhatian kepada aspek kerohanian apabila memasuki usia emas.
“Dalam usia emas, aspek rohani itu sesuatu yang mungkin perlu diberi keutamaan oleh ramai penduduk kita,” katanya.
Program Santunan Emas dijalankan dalam sesi sekitar tiga bulan, dengan kegiatan yang dirancang berdasarkan keperluan dan minat warga emas.
Masjid itu turut bekerjasama dengan rakan masyarakat lain, termasuk Methodist Welfare Services, yang sebelum ini mengadakan kegiatan seni dan kraf tangan seperti mengait untuk warga emas.
Kerjasama sedemikian mencerminkan pendekatan masjid itu untuk bekerjasama dengan pelbagai organisasi, tanpa mengira latar belakang agama, bagi menyediakan sokongan dan kegiatan yang lebih menyeluruh untuk warga emas.
Tumpuan itu semakin penting apabila keperluan jemaah berusia di masjid turut menjadi lebih ketara.
Pada solat Jumaat sahaja, lebih 300 anggota jemaah memerlukan kerusi untuk menunaikan solat.
Namun, bagi Cik Latipah, nilai program itu mungkin paling jelas dilihat menerusi insan yang ditemuinya setiap minggu.
“Ia macam husnul khatimah, maksudnya pengakhiran yang baik dalam kehidupan seseorang dalam Islam. Melalui program ini, Cik dapat gunakan masa dengan bermakna. Pengakhiran yang baik dalam hidup Cik,” katanya.
Dan bagi warga emas yang mungkin menghabiskan hari-hari mereka bersendirian, kadangkala penggunaan masa yang bermakna itu bermula dengan sesuatu yang begitu mudah, sapaan daripada wajah yang sudah dikenali, diikuti pelawaan untuk ikut bersama.
