Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Saranan badan Melayu/Islam perkukuh sokongan keluarga banduan, bekas pesalah

Oct 25, 2025 | 7:26 PM
Forum Rangkaian Pemulihan Badan Melayu/Islam (MMORN), sokongan, banduan, bekas pesalah
(Dari kiri) Ketua Pegawai Eksekutif New Life Stories, Cik Saleemah Ismail; Naib Pesiden Persatuan Ulama dan Guru-Guru Agama Islam Singapura (Pergas), Ustazah Dr Siti Nur ‘Alaniah Abdul Wahid; dan Pengarah Eksekutif Persatuan Persuratan Pemuda Pemudi (4PM), Encik Didicazli Ismail, berkongsi pandangan semasa di Forum Rangkaian Pemulihan Badan Melayu/Islam (MMORN) pada 25 Oktober di ibu pejabat Perkhidmatan Penjara Singapura (SPS). - Foto BM oleh NUR DIYANA TAHA

Sokongan emosi wajar diberikan segera kepada keluarga individu yang ditangkap, manakala sebuah pusat yang menggembleng sumber pelbagai pihak boleh ditubuhkan untuk menyelaras sokongan bagi banduan dan bekas pesalah.

Demikian antara saranan beberapa badan Melayu/Islam yang terlibat dalam tiga kumpulan projek ‘Next Lap’, yang bertujuan mengenal pasti jurang dan memahami cabaran dalam ekosistem sokongan untuk banduan dan bekas pesalah.

Penubuhan tiga kumpulan itu sebelum ini diumumkan Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim, di Forum Rangkaian Pemulihan Badan Melayu/Islam (MMORN) yang diadakan pada 2024.

Dalam Forum MMORN 2025 yang diadakan di ibu pejabat Perkhidmatan Penjara Singapura (SPS) pada 25 Oktober, tiga kumpulan itu membentangkan cadangan mereka.

Kumpulan Projek 1, yang diterajui bersama Persatuan Pemudi Islam Singapura (PPIS), New Life Stories dan SPS, menumpukan kepada pengukuhan sokongan kepada keluarga pesalah selepas penahanan berlaku.

Salah satu cadangan utama kumpulan itu ialah program ‘first contact’ atau kontak pertama – termasuk talian bantuan khas dan lawatan segera oleh pekerja sosial dalam tempoh tidak lebih 48 jam, selepas penahanan ibu bapa – terutama bagi keluarga yang mempunyai anak kecil.

Program itu memastikan keselamatan kanak-kanak, memberi sokongan kepada penjaga dan menangani keperluan segera keluarga.

Ketua Pegawai Eksekutif New Life Stories, Cik Saleemah Ismail, berkata campur tangan awal penting bagi mencegah trauma dalam diri anak-anak pesalah.

“Apabila seseorang ibu atau bapa ditahan, seluruh keluarga, terutama anak-anak berada dalam keadaan panik dan keliru.

“Mereka kehilangan arah dan tidak tahu ke mana untuk cari bantuan.

“Kita mahu bantu pada saat mereka sangat perlukan bantuan dan sokongan, sebelum trauma itu menjadi luka yang sukar pulih,” katanya kepada Berita Minggu (BM).

Beliau menjelaskan pada masa ini, keluarga yang terkesan biasanya mendapat bantuan praktikal seperti tempat tinggal atau makanan, tetapi sokongan emosi dan psikologi bagi kanak-kanak masih lagi kurang.

Kumpulan Projek 1 telah menemu bual 25 keluarga yang terkesan oleh ahli keluarga yang dipenjara dan meninjau 49 kakitangan serta sukarelawan daripada badan Melayu/Islam (MMO).

Kumpulan Projek 2, yang diterajui Persatuan Ulama dan Guru-Guru Agama Islam Singapura (Pergas) dan SPS, mencadangkan penubuhan Recovery Hub, pusat sokongan menyeluruh kepada pesalah dan bekas pesalah yang kurang jaringan sosial atau sokongan keluarga.

Hab itu dicadangkan menghimpunkan pelbagai perkhidmatan termasuk program keagamaan, mentor, kumpulan sokongan dan kaunseling di bawah satu bumbung.

Inisiatif ini bertujuan mengurangkan stigma yang dirasai pesalah, sambil menyediakan ruang selamat untuk mendapatkan sokongan emosi, psikologi dan keluarga tanpa rasa dihakimi.

Naib Presiden Pergas, Ustazah Dr Siti Nur ‘Alaniah Abdul Wahid, menjelaskan stigma bukan sahaja datang daripada masyarakat, tetapi juga daripada pengalaman dan perasaan individu itu sendiri dan ia masih menjadi halangan utama bagi mereka untuk mendapatkan bantuan.

“Banyak pesalah berasa mereka tidak layak diterima masyarakat.

“Mereka menjauhkan diri kerana rasa malu atau ditolak, walaupun masyarakat sebenarnya tidak menolak mereka,” kata Ustazah ‘Alaniah.

“Dengan Recovery Hub, mereka mempunyai ruang selamat untuk menerima sokongan yang diperlukan, sama ada kaunseling psikologi, bimbingan agama atau program mentoring, tanpa rasa dihakimi,” tambah Ustazah ‘Alaniah.

Pergas dan SPS sama-sama telah meninjau 90 pesalah dan menemu bual 29 pesalah.

Pusat itu akan menggalakkan keterlibatan rakan pendamping yang telah berjaya melalui perjalanan pemulihan.

Menurut Ustazah ‘Alaniah, projek perintis Recovery Hub dijangka bermula dalam tempoh enam hingga 10 bulan akan datang.

Ia diharapkan dapat menilai keberkesanan integrasi perkhidmatan serta galakan keterlibatan masyarakat dan keluarga dalam menyokong pemulihan pesalah.

“Dengan membina ekosistem sokongan yang kukuh dan melibatkan bekas pesalah yang berjaya dalam program sebagai suri teladan, kita bukan sahaja memberi mereka harapan, tetapi juga memberi inspirasi kepada mereka yang baru memulakan perjalanan pemulihan,” kata Ustazah ‘Alaniah.

Untuk memastikan pendekatan pencegahan yang komprehensif, Kumpulan Projek 3 pula menumpukan pada pencegahan jenayah dalam kalangan remaja.

Ini dilakukan dengan memberi tumpuan kepada campur tangan awal berasaskan minat, yang dapat membina pengaruh positif, hubungan rakan sebaya yang baik, serta menyokong remaja dalam ekosistem masyarakat yang kukuh.

Pengarah Eksekutif Persatuan Persuratan Pemuda Pemudi (4PM), Encik Didicazli Ismail, menjelaskan bahawa pendekatan ini berbeza daripada sokongan kepada bekas pesalah kerana ia menekankan pencegahan sebelum remaja terjerumus ke dalam jenayah.

Kumpulan Projek 3 diterajui bersama 4PM, Persatuan Perkhidmatan Sosial India (IMSSA), Biro Narkotik Pusat (CNB) and Pasukan Polis Singapura (SPF).

Mereka telah meninjau 49 remaja peringkat menengah dan pascamenengah daripada rakan kongsi MMO dan sebahagian daripada mereka mempunyai sejarah keluarga terlibat dengan penyalahgunaan dadah atau pemenjaraan.

Sebagai sebahagian daripada kajian mereka, Kumpulan Projek 3 telah menjalankan projek perintis di Jalan Kukuh, yang menumpukan kepada remaja dari keluarga yang menghadapi cabaran kewangan dan sosial.

Aktiviti berasaskan minat seperti bola sepak jalanan dijalankan dengan kerjasama tujuh agensi termasuk 4PM, IMSSA, M Kuasa Tiga (M³) @Bandar, Persatuan Rakyat (PA), CNB, SPS dan Membina Community.

“Melalui aktiviti ini, remaja terlibat secara santai tanpa menyedari mereka menerima mesej antijenayah atau antipenyalahgunaan dadah,” jelas Encik Didicazli.

“Pekerja sosial dan pegawai program juga hadir dalam sesi tersebut untuk mengenal pasti sebarang cabaran yang dihadapi remaja dan memudahkan rujukan kepada sokongan yang diperlukan, sama ada kewangan, kaunseling atau program lebih mendalam,” tambah beliau.

Projek perintis ini akan diteruskan dengan siri aktiviti seterusnya, termasuk sesi bola sepak pada 31 Oktober, melibatkan 15 hingga 25 remaja.

Kejayaan projek perintis ini diharapkan dapat diperluas ke kawasan kejiranan lain, dengan menyesuaikan program mengikut minat dan keperluan remaja setempat.

“Setiap kawasan mempunyai demografi dan cabaran keluarga yang berbeza. Dengan mengenal pasti minat remaja dan menyepadukan kepakaran agensi serta MMO, kita dapat menyampaikan program yang relevan, sama ada formal atau tidak formal, untuk keberkesanan maksimum,” tambahnya.

Kesemua cadangan daripada tiga kumpulan projek ‘Next Lap’ dijangka dimuktamadkan menjelang 2026.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg