Sarapan penuh kasih demi kesejahteraan pelajar Aljunied

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Sarapan penuh kasih demi kesejahteraan pelajar Aljunied

Feb 27, 2026 | 8:14 AM

Sarapan penuh kasih demi kesejahteraan pelajar Aljunied

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
Di Madrasah AlJunied Al-Islamiah, dua troli “Breakfast Corner’ tersedia dengan snek berkhasiat bagi memastikan pelajar terutama yang datang dari jauh, memulakan hari dengan tenaga yang mencukupi.
Di Madrasah AlJunied Al-Islamiah, dua troli “Breakfast Corner’ tersedia dengan snek berkhasiat bagi memastikan pelajar terutama yang datang dari jauh, memulakan hari dengan tenaga yang mencukupi. - Foto MADRASAH ALJUNIED AL-ISLAMIAH

Setiap pagi sebelum loceng perhimpunan, dua troli menanti pelajar di Madrasah Aljunied Al-Islamiah.

Dikenali sebagai ‘Breakfast Corner’ atau ‘Sudut Sarapan’, daya usaha itu menyediakan roti, biskut, susu, bar tenaga dan snek berkhasiat.

Ia bagi memastikan pelajar memulakan hari dengan tenaga yang mencukupi, memberi tumpuan yang baik, khususnya yang datang dari jauh.

Daya usaha itu digerakkan sepenuhnya oleh Jabatan Ibu Bapa Waris Madrasah Aljunied (Jiwa), sebuah kumpulan sokongan ibu bapa yang prihatin terhadap kebajikan dan kesejahteraan anak-anak madrasah.

Namun, usaha itu tidak bermula tanpa pertimbangan mendalam.

Menurut Pengerusi Jiwa, Cik Sapidah Abdul Rahman, cadangan untuk memulakan ‘Breakfast Corner’ pada asalnya dikemukakan oleh pemimpin-pemimpin di Madrasah Aljunied.

Ketika itu, pihak Jiwa tidak terus memberi persetujuan kerana menyedari daya usaha sedemikian memerlukan komitmen yang tinggi, khususnya dari segi perbelanjaan, penambahan bekalan serta pengurusan logistik yang berterusan.

“Kami belum beri jawapan pasti pada ketika itu kerana perlu memikirkan keupayaan kami. Daya usaha ini memerlukan komitmen tinggi daripada pasukan,” jelasnya.

Namun, satu pengalaman peribadi telah menguatkan keyakinan mereka.

Pada suatu pagi, Cik Sapidah tiba awal di madrasah dan menyaksikan sendiri seorang pelajar perempuan kelihatan lemah.

Setelah diberikan air dan ditanya keadaannya, pelajar tersebut memaklumkan beliau belum sempat bersarapan.

“Peristiwa itu benar-benar menyentuh hati saya. Ia menguatkan keyakinan kami bahawa daya usaha seperti ini memang perlu,” kata Cik Sapidah.

Pengalaman itu mendedahkan sebahagian pelajar Madrasah Aljunied datang seawal pagi tanpa sarapan.

Ia sekali gus menjejas tenaga, tumpuan dan kesiapsiagaan mereka menuntut ilmu.

Maklum balas menunjukkan isu itu perlu ditangani segera demi kesejahteraan pelajar.

Menurut Cik Sapidah, menjaga kebajikan pelajar bukan hanya tanggungjawab madrasah; peranan ibu bapa dan masyarakat juga penting demi memastikan pemakanan yang sihat serta kesihatan emosi pelajar terjaga.

“Ibu bapa lebih memahami latar belakang dan keperluan anak masing-masing, manakala masyarakat pula melengkapkan usaha ini sebagai sistem sokongan.

“Apabila kita berganding bahu, kita dapat memastikan tiada pelajar yang terabai,” ujarnya.

Usaha bersama itu bukan sahaja memastikan keperluan asas pelajar dipenuhi, malah turut memupuk nilai prihatin, tanggungjawab sosial dan ihsan, asas penting bagi membentuk generasi yang seimbang dari segi jasmani dan rohani.

Pada Ramadan yang penuh berkat ini, daya usaha sebegitu mengingatkan kita tentang makna sebenar sedekah iaitu memberi dengan ikhlas, menyokong dengan kasih, dan memelihara penuntut ilmu dengan penuh ihsan.

Sedikit sumbangan, besar maknanya. Ia turut membuktikan apabila masyarakat bersatu, generasi penuntut ilmu terus diperkasa dan dilindungi.

“Setiap sumbangan yang diterima adalah satu amanah. Ia perlu diurus dengan penuh tanggungjawab, keikhlasan dan ketelusan.

“Kami berharap usaha ini menjadi amal jariah dan mendapat keberkatan daripada Allah swt,” tambah Cik Sapidah.

Selain ‘Breakfast Corner’, Jiwa turut menganjurkan pelbagai program kebajikan dan pembangunan masyarakat bagi menyokong kesejahteraan pelajar serta warga madrasah secara menyeluruh.

Antaranya kempen, ‘Fruity Friday’, yang diadakan setiap dua bulan, apabila pelajar berpeluang menikmati sekurang-kurangnya sebiji buah seperti epal, oren, anggur dan sekeping tembikai semasa waktu rehat.

Daya usaha itu menggalakkan pemakanan sihat, membantu pelajar kekal aktif, serta meningkatkan tahap tumpuan dan kecergasan dalam pembelajaran.

Jiwa turut menyokong pelaksanaan program Sukma dengan menganjurkan kegiatan, ‘Nature Walk’, serta bengkel keibubapaan melalui jalinan kerjasama bersama pertubuhan seperti Bapa Sepanjang Hayat (BSH), Ibu Sepanjang Hayat (ISH) dan Cinta Abadi SG.

Kesemua daya usaha itu dirancang bagi mengukuhkan hubungan kekeluargaan, memperkasa kepimpinan ibu bapa serta menyemai nilai kerohanian yang utuh dalam kalangan warga madrasah.

Usaha bersepadu itu mencerminkan peranan signifikan ibu bapa sebagai rakan strategik madrasah dalam membentuk generasi pelajar yang sihat, seimbang dan berdaya saing.

Melalui penglibatan aktif dalam pelbagai program pembangunan, ibu bapa bukan sahaja menyokong kecemerlangan akademik, malah turut menyumbang kepada pembinaan sahsiah dan kesejahteraan menyeluruh para pelajar.

Untuk menyokong, sila imbas kod QR ini.
Untuk menyokong, sila imbas kod QR ini. -

SEKILAS:

Untuk menderma, sila imbas kod QR yang tersedia atau PayNow ke UEN T08GB0028LALJ.

Lungsuri laman web, https://www.aljunied.edu.sg/ untuk perincian lanjut.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg