Kesusasteraan dan kebudayaan bergerak seiringan dan perlu dibangunkan bersama dalam usaha menjamin kelangsungan identiti serta nilai yang diwarisi.

Mengulas tentang tema Hari Mastera 2026, Kesusasteraan Memimpin, Kebudayaan Terjamin, Menteri Negara (Ehwal Luar merangkap Ehwal Dalam Negeri), Encik Zhulkarnain Abdul Rahim, berkata ia bukan sekadar meraikan kata-kata, malah merupakan satu pengakuan bahawa “kata-kata itu sendiri ialah tiang seri sesebuah tamadun”.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya di acara Hari Mastera 2026 yang diadakan di auditorium Taman Warisan Melayu pada 15 Ogos.

“Tanpa kesusasteraan, kebudayaan akan tempang. Tanpa kebudayaan, pastilah kesusasteraan menjadi pincang.

“Maka membangun kesusasteraan adalah kerja membangun kebudayaan. Kedua-duanya harus memimpin dan menjamin: memimpin arah tuju masyarakat, dan menjamin kelangsungan identiti serta nilai-nilai yang kita warisi bersama,” kata Encik Zhulkarnain, yang juga Pengerusi Majlis Bahasa Melayu Singapura (MBMS).

“Inilah yang menjadi pegangan MBMS dalam setiap usaha yang kami laksanakan.

“Kami percaya bahawa sastera Melayu di Singapura bukan sekadar warisan yang perlu dipelihara, bahkan kekuatan yang perlu terus dipupuk dan digerakkan ke hadapan,” tambahnya.

Hari Mastera ialah inisiatif oleh MBMS untuk menandakan penglibatannya dalam mewakili Singapura di Majlis Sastera Asia Tenggara (Mastera).

Setiap tahun, negara anggota Mastera, iaitu Singapura, Malaysia, Indonesia dan Brunei Darussalam, menyambut Hari Mastera masing-masing sebagai pembuka tirai kepada kegiatan Mastera.

Pada 2026, Mastera akan berlangsung di Sarawak, Malaysia, pada September.

Dalam ucapannya, Timbalan Pengerusi MBMS dan Ketua Perwakilan Mastera, Singapura, Dr Azhar Ibrahim Alwee, berkata dunia kesusasteraan bukan setakat “taman puisi dan narasi, drama dan esei”, bahkan merupakan “gerbang dan bangsal pemikiran dan harapan sebuah bangsa”.

“Dari dunia penulisan sastera lahir tokoh-tokoh yang memberi warna segar kepada kebudayaan sehingga rentas sejarah dapat dibayangkan, gelora manusia dapat dilafazkan, cita dan budi alam dapat dirakamkan, dan harapan masyarakat dapat dipahatkan,” katanya, yang juga Pensyarah Kanan di Jabatan Pengajian Melayu, Universiti Nasional Singapura (NUS).

Sewaktu acara itu, Encik Zhulkarnain turut mengumumkan pelantikan 10 Sahabat Sastera 2026, yang Dr Azhar sifatkan sebagai “pemimpin dan penjamin” dalam usaha memastikan kesusasteraan memimpin dan kebudayaan terjamin.

“Sahabat Sastera merupakan belia yang telah memberikan sokongan dan sumbangan ikhlas terhadap perkembangan kesusasteraan Melayu, sama ada melalui penulisan, pendidikan, penerbitan, serta pelbagai usaha lain yang memperkaya ekosistem sastera kita,” kata Encik Zhulkarnain.

Pada Hari Mastera 2026, tokoh sastera Melayu Singapura, ahli akademik dan Sahabat Sastera berkumpul untuk membentangkan idea serta mendeklamasikan puisi terpilih karya penulis terkemuka dari Alam Melayu.

Mohammad Rashikin Rajah

Siti Fatimah Jamalludin

Muhammad Hasif Salehin

Purinita Danielle Justine Jay Kaur Gurmit Singh

Habeebullah Basha Jafar Sathik Basha

Ahmad Syatibi Aziz

Fadhli Rusydi Fadzil

Naufal Aiman Jasni

Muhammad Hasyir Mazharul Yusoff

Muhammad Nabil Naqiuddin Mohammad Iskandar Naim