Sedang masyarakat berdepan dengan cabaran geopolitik dan ekonomi, penguasaan bahasa dan pemeliharaan sastera Melayu dapat menjadi aset strategik.
Ia dapat memudahkan kerjasama perdagangan, memperkaya diplomasi budaya, dan seterusnya menyumbang kepada kemajuan ekonomi serta daya tahan rantau ini, kata Pengerusi Majlis Bahasa Melayu Singapura (MBMS), Encik Zhulkarnain Abdul Rahim, pada 16 Ogos.
Dalam ucapannya di majlis Hari Mastera yang diadakan di The Arts House, Encik Zhulkarnain, yang juga Anggota Parlimen (AP) GRC Chua Chu Kang dan bakal menggalas tanggungjawab sebagai Menteri Negara (Ehwal Luar merangkap Pembangunan Sosial dan Keluarga) mulai 1 Februari 2026, berkata:
“Bahasa dan sastera Melayu mempunyai peranan penting dalam Asean sebagai wahana penyatuan, identiti dan jati diri serantau.
“Kedudukannya yang meluas difahami merentasi negara-negara anggota menjadikan bahasa Melayu jambatan komunikasi yang meneguhkan kesepakatan dan mengekalkan prinsip pemusatan Asean.
“Sastera pula mencerminkan warisan, nilai dan pengalaman bersama yang memperkukuh persefahaman.”
Acara Hari Mastera dijalankan untuk menghargai dan mengangkat perkembangan kesusasteraan Melayu, serta mengiktiraf usaha Mastera yang telah dijalankan sejak tahun 1995.
Mastera atau Majlis Sastera Asia Tenggara, dibentuk dengan negara anggota Malaysia, Indonesia dan Brunei yang bertujuan mempromosikan sastera Melayu di tahap serantau menerusi pelbagai program seperti seminar dan bengkel.
Bertemakan ‘Bangun Mastera Bersama Sastera Global Selatan’, acara Hari Mastera menampilkan sasterawan mapan seperti Encik Jamal Ismail, yang memberi ucapan, selain pengarah veteran, Encik Rafaat Hamzah yang melantunkan puisi.
Sahabat sastera yang dilantik MBMS mempersembahkan lagu.
Selain itu, beberapa belia yang aktif dalam bidang sastera juga mendendangkan puisi dari Malaysia, Indonesia dan Brunei.
Acara selama dua jam itu turut menampilkan ucaptama oleh ahli akademik, Dr Farizan Mohd Amin, yang bertajuk ‘Belenggu Orientalisme dalam Kajian Kesusasteraan Melayu’.
Antaranya, beliau membincangkan tentang isu Barat menjadi penentu nilai sejarah dan menjadikan sejarah Melayu sebagai latar belakang kepada ‘kejayaan kolonial’.
Dr Farizan yang ditemui Berita Harian (BH) turut melahirkan harapan agar golongan penulis dan pemikir boleh menggali lebih mendalam dan mengkaji aspek yang luar daripada kebiasaan.
“Kalau kita asyik fikir tentang stigma sosial, stereotaip sosial, kita tak akan keluar daripada kepompong lama. Sebenarnya orang Melayu kaya dengan ilmu kewangan, orang Melayu kaya dengan ilmu khazanah peribumi... herba dan sebagainya. Jadi kita perlu keluarkan hasil karya-karya berbeza,” ujarnya, yang menambah bahawa usaha ini boleh ditonjolkan menerusi media sosial.
Salah satu Sahabat Sastera, Encik Ilyia Kamsani, 32 tahun, yang hadir bagi membuat pembentangan, berkata acara seperti ini memberi belia seperti beliau banyak harapan untuk terus memelihara kesusasteraan dan warisan Melayu.
Hari Mastera yang berlangsung merupakan tanda permulaan peranan Singapura selaku tuan rumah kepada Mastera 2025 yang bakal berlangsung dari 9 hingga 12 September ini.
Acara pada September itu bertujuan menyediakan wadah bagi penulis muda mengetengahkan karya mereka, berinteraksi dengan penulis mapan serantau, serta menyertai pertukaran sastera yang dapat memperluas pandangan dan memperkukuh kemahiran mereka.
Selain itu, ia merangkumi forum antara generasi, bengkel penulisan dan bacaan puisi, semuanya bertujuan menggalakkan penglibatan belia dan memperkukuh kehadiran mereka dalam landskap kesusasteraan serantau.
“
“Bahasa dan sastera Melayu mempunyai peranan penting dalam Asean sebagai wahana penyatuan, identiti dan jati diri serantau. Kedudukannya yang meluas difahami merentasi negara-negara anggota menjadikan bahasa Melayu jambatan komunikasi yang meneguhkan kesepakatan dan mengekalkan prinsip pemusatan Asean.”Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg