Menggunakan sastera Melayu tradisional, khususnya cerita rakyat, untuk menyampaikan nilai-nilai murni dengan cara lebih bermakna dan dekat dengan jiwa kanak-kanak.
Pada akhirnya, matlamat program Nitra, atau singkatan bagi ‘Nilai dalam Sastera’, adalah bagi memupuk keyakinan dan kreativiti pelajar daripada pelbagai peringkat, dari sekolah rendah hingga ke maktab rendah.
Ketua program Nitra, Dr Nor Hanisah Saphari, 55 tahun, seorang guru kanan Bahasa Melayu di Maktab Rendah Catholic (CJC), yang telah menerajui inisiatif ini sejak lima tahun lalu (2021), menjelaskan sastera Melayu tradisional telah dijadikan wadah menyampaikan nilai dalam cara lebih berkesan dan relevan kepada pelajar.
“Matlamat utama program ini adalah memupuk keyakinan dan kreativiti dalam kalangan pelajar dengan menyediakan ruang yang selamat dan selesa di mana mereka bebas mengekspresikan diri.
“Pelajar, malahan, diberikan masa persediaan selama dua bulan sebelum acara,” jelas Dr Nor Hanisah.
Sepanjang tahun-tahun pelaksanaannya, program ini telah berkembang untuk merangkumi kemahiran pembelajaran abad ke-21, di mana pelajar digalakkan menggunakan teknologi seperti kecerdasan buatan (AI), penyuntingan video, dan penceritaan digital untuk memberi takrifan semula pada kisah-kisah klasik seperti Hang Nadim dalam konteks masa kini.
Salah seorang pelajar yang menyertai program ini, Danielle Amal Puteri Faizal, 16 tahun, dari CJC, berkata:
“Ia membuka mata saya untuk melihat bagaimana kami boleh menghidupkan kembali kisah lama menggunakan alat moden.”
Sebanyak tujuh sekolah menyertai program Nitra tahun ini (2025), peningkatan besar daripada hanya empat sekolah semasa ia mula diperkenalkan secara dalam talian melalui Zoom.
Empat sekolah awal yang menyertai program ini termasuk CJC, Institusi Raffles (RI), Sekolah Menengah Woodgrove dan Sekolah Perempuan Haig, yang menyertai program Nitra secara maya. Kini, program ini telah berkembang untuk melibatkan sesi secara fizikal.
“Melihat peningkatan jumlah sekolah yang terlibat menunjukkan bahawa masih wujud minat mendalam bagi memelihara sastera Melayu.
“Ia sangat menggalakkan apabila semakin ramai pelajar mula mendekati kisah-kisah ini dengan cara yang bermakna dan relevan dengan dunia hari ini,” kata Dr Nor Hanisah lagi.
Tahun ini (2025) juga menandakan kali pertama program ini diadakan di Perpustakaan Negara. Kerjasama ini tercetus apabila Dr Nor Hanisah bertemu dengan seorang pustakawan dan berusaha menjadikannya projek bersama.
“Menganjurkan acara ini di Perpustakaan Negara terasa begitu simbolik. Ia merupakan ruang yang melambangkan ilmu dan warisan.
“Ia membolehkan kami mengangkat martabat sastera Melayu dan menunjukkan kepada pelajar bahawa bahasa dan budaya mereka wajar diraikan di tempat yang begitu dihormati,” ujarnya.
Danielle pula menambah: “Membentangkan hasil kerja kami di Perpustakaan Negara membuatkan ia terasa penting, seolah-olah apa yang kami lakukan benar-benar membawa makna.”
“Danielle merupakan salah seorang pelajar yang mempersembahkan hasil kerjanya dalam bentuk sketsa, manakala pelajar lain pula diberi peluang untuk meneroka penggunaan AI dan teknologi digital dengan dunia hari ini,” jelas Dr Nor Hanisah.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg