Satay by the Bay, sebuah pusat penjaja terbuka yang popular di Gardens by the Bay, akan tutup mulai 1 Oktober.

Pusat penjaja yang mempunyai 1,000 tempat duduk itu akan memberi laluan kepada satu “penyegaran yang menarik” sebagai sebahagian daripada pembangunan tanah lembap, Wetlands by the Bay yang akan datang, kata Gardens by the Bay dalam satu hantaran Facebook pada 1 September.

Dalam satu catatan Instagram pada 28 Ogos, pasukan Satay by the Bay merakamkan penghargaan kepada pelanggan atas sokongan mereka, sambil menggesa mereka untuk berkunjung ke situ untuk menikmati “jamuan terakhir” sebelum hari operasi terakhirnya pada 30 September.

“Terima kasih atas sokongan anda dan kerana berkongsi pelbagai hidangan serta detik-detik gembira bersama kami. Ia satu penghormatan buat kami untuk melayani anda.

“Mari sertai kami untuk satu jamuan terakhir sebelum kami mengucapkan selamat tinggal,” kata pasukan Satay by the Bay dalam catatan tersebut.

Menteri Negara (Pembangunan Negara), Encik Alvin Tan, sebelum ini telah mengumumkan di Parlimen pada 4 Mac bahawa Wetlands by the Bay akan dibuka secara berperingkat mulai penghujung 2028.

Selain Kingfisher Wetlands yang sedia ada, ia akan turut merangkumi kawasan Satay by the Bay, serta ruang yang kini digunakan sebagai tempat letak kereta dan tapak semaian, katanya.

Kawasan itu tiga kali ganda lebih besar daripada Kingfisher Wetlands, meliputi kira-kira 5 hektar, atau bersamaan tujuh padang bola sepak. Satay by the Bay, yang dibuka pada 2013, akan digantikan dengan sebuah blok makanan dua tingkat yang baharu.

Pengurus besar perancangan induk di Gardens by the Bay, Encik Jason Yeo, memberitahu The Straits Times (ST) pada Mac 2026 bahawa blok makanan baharu itu akan menjadi kemudahan pertama yang dibuka di Wetlands by the Bay pada 2028.

Kolektif seni antarabangsa teamLab, yang terkenal dengan paparan dan pameran imersifnya, akan turut membina sebuah muzium baharu di Wetlands by the Bay.

Sejarah Satay by the Bay boleh dikesan ke Satay Club, yang dikatakan bermula pada akhir 1940-an berhampiran Beach Road, menurut laman web Lembaga Perpustakaan Negara (NLB).

Ia berpindah ke sebuah kawasan terbuka di Esplanade pada tahun 1970-an dan berkembang menjadi tumpuan popular untuk menikmati sate dalam kalangan keluarga serta pelancong.

Pada 1994, peniaga gerai dimaklumkan bahawa mereka perlu berpindah untuk memberi laluan kepada pembangunan Esplanade – Theatres on the Bay dan sambungan Nicoll Highway.

Daripada 28 peniaga gerai, lapan berpindah ke Clarke Quay Satay Club sebelum ia ditutup pada 2005.