Satu perbalahan timbul melibatkan penyewa sebuah gerai dalam kawasan menjual makanan Satay by the Bay, yang terletak di Gardens by the Bay,18 Marina Gardens Drive, dengan pihak pengurusan tempat makanan dan minuman (F&B) itu, sehingga pegerai mendakwa terpaksa gulung tikar.
Penyewa gerai Chickata The Halal Mookata SG, yang menjual makanan barbeku dan hotpot versi Thai sejak Disember 2023 di kawasan itu telah memuatnaik video ke media sosial pada 28 September mendakwa tidak mendapat kontrak baru untuk menyambung pajakan di kawasan tersebut selepas dikatakan tidak dapat menarik pelanggan yang mencukupi.
Pengarah Chickata, Cik Jackeline Goh, memberitahu Berita Harian (BH) bahawa pihaknya telah memuatnaik video mengenai hal tersebut – dan kini tular.
Menurutnya, video itu dimuat naik sebagai usaha untuk membuktikan pihak pengurusan bahawa kedai makanan itu mampu menarik pelanggan.
“Saya ingin jelaskan, kami bukan meminta bantuan untuk mendapatkan pembaharuan memajak ruang ini. Apa yang kami minta adalah sokongan pelanggan agar mereka datang dan membuktikan bahawa kami mampu menarik orang ramai hasil daripada usaha pemasaran kami sendiri,” ujar Cik Goh.
Apabila dihubungi BH, pihak pengurusan Satay by the Bay mengesahkan bahawa mereka telah menawarkan Chickata pembaharuan pajakan kepada gerai itu pada 25 September 2025, dengan terma dan syarat yang sama.
Namun, Chickata dikatakan telah menolak tawaran tersebut pada hari yang sama dan meminta untuk tamatkan kontrak pajakan mereka dengan lebih awal.
Pengurus Perkembangan Perniagaan Satay by the Bay, Cik Wendy Loh memberitahu BH:
“Kami telah berbincang dengan Chickata sebelum ini mengenai kebimbangan mereka tentang prestasi perniagaan di gerai itu, dan kemungkinan untuk meneroka idea baru bagi meningkatkan operasi atau konsep perniagaan.
“Mereka telah ditawarkan pembaharuan pajakan di bawah terma dan syarat yang sama pada 25 September 2025.
“Bagaimanapun, Chickata memaklumkan kepada kami tentang keputusan mereka untuk tidak memperbaharui kontrak pajakan pada hari yang sama dan memohon pajakan mereka ditamatkan lebih awal.
“Mereka juga meminta bayaran balik penuh bagi pendahuluan keselamatan mereka sebagai sebahagian daripada persetujuan ini, yang telah dipersetujui oleh pihak pengurusan. Kami telah meminta Chickata untuk mengesahkan tarikh akhir operasi mereka,” jelas Cik Loh dalam kenyataannya kepada BH pada 1 Oktober.
Dalam responsnya kepada BH pula, Cik Goh mengesahkan bahawa mereka telah menolak tawaran pembaharuan pajakan dan akan menamatkan operasi di tempat F&B itu lebih awal, pada 12 Oktober berbanding tarikh asal pada 30 November.
Cik Goh menjelaskan bahawa keputusan itu dibuat bukan kerana terma dan syarat pajakan, tetapi kerana mereka merasakan ada ketidakpuasan hati dari pihak pengurusan terhadap prestasi jualan gerai tersebut.
Dalam satu mesej WhatsApp yang dikirimkan kepada Berita Harian (BH), Cik Loh berkata penjualan di empat unit gerai tersebut hanya mencecah $47,000 semasa Ogos lalu, sedangkan ia mempunyai tempat duduk.
Selain Chickata The Halal Mookata SG, Cik Goh juga mempunyai gerai menjual minuman, Ice on You.
Kesemuanya Cik Goh memajak empat unit di bawah dua jenama itu.
Secara perbandingan, Cik Goh berkata beliau diberitahu pihak pengurusan bahawa sebuah unit gerai tanpa tempat duduk di situ mampu menjana sekitar $25,000 pada bulan yang sama.
“Kami tidak terus menolak tawaran itu. Tetapi, kami tidak gembira dengan respons pihak pengurusan kerana ia seolah-olah menggambarkan ketidakpuasan hati mereka terhadap pendapatan jualan kami yang rendah walaupun kami sudah meminta bantuan dan berikan penjelasan penuh,” tambah Cik Goh kemudian menambah bahawa suaminya telah bertanyakan rancangan lanjut pihak pengurusan sejak 5 Ogos.
Selain isu pemasaran yang dijanjikan dan sokongan pihak pengurusan kepada gerainya, satu lagi isu yang dibangkitkan oleh Chickata dalam videonya adalah isu ‘kehadiran’ tujuh mesin layan diri di hadapan gerai airnya itu.
Meskipun begitu, pihak pengurusan menjelaskan bahawa mesin tersebut telah diletakkan di situ sejak enam tahun lalu untuk kemudahan pengunjung, dan semua pegerai dimaklumkan tentangnya.
Namun, Chickata memberikan maklumat bahawa pihak pengurusan tidak pernah menyatakan bahawa mesin tersebut akan diletakkan di hadapan gerai mereka semasa lawatan awal meninjau tapak tersebut.
Mereka hanya diberitahu selepas bersetuju untuk menandatangani perjanjian dan permintaan untuk memindahkannya ditolak.
Keputusan untuk Chickata menamatkan pajakan awal di Satay by the Bay kini bermakna jenama itu akan membuka sebuah cawangan baru di kawasan berbeza.
Berkongsi dengan BH, Cik Goh berkata pihaknya akan memulakan operasi di lokasi baru mereka di City Sprouts (Bedok) di 200 Bedok North Avenue 1 pada 18 Oktober.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg