Topik diikuti
Pergi ke BHkuSats: Aplikasi tempahan makanan Tappee diceroboh penggodam, 4 sekolah terjejas
Sats: Aplikasi tempahan makanan Tappee diceroboh penggodam, 4 sekolah terjejas
Satu aplikasi untuk menempah makanan sekolah mengalami kebocoran data dengan maklumat peribadi seperti nama pelajar, nombor kad konsesi dan status bantuan kewangan terjejas.
Dalam satu kenyataan pada 10 November, syarikat penyedia makanan Sats menyatakan ia mengesan insiden keselamatan siber yang melibatkan akses daripada pihak luar tanpa kebenaran ke aplikasi Tappee.
Aplikasi itu dibangunkan dan diselenggara oleh vendor teknologi pihak ketiga, Serial Multivision. Menurut Sats, platform Tappee kini digunakan di empat sekolah di Singapura. Sats tidak menyatakan sekolah yang terjejas.
Sats juga tidak menyebut berapa ramai yang terjejas dan bila kebocoran data itu dikesan.
Sats berkata: “Akses berniat jahat tanpa kebenaran ke aplikasi ini berlaku melalui kelemahan dalam platform Tappee, yang dikesan oleh keupayaan pemantauan keselamatan siber Sats.
“Sebaik sahaja insiden itu dikesan, kami segera mengarahkan Serial menggantung akses ke aplikasi Tappee.”
Berdasarkan siasatan setakat ini, maklumat yang terjejas termasuk nama dan alamat e-mel pelajar, status bantuan kewangan pelajar, nombor kad konsesi pelajar, serta alamat e-mel sebilangan ibu bapa dan penjaga, kata Sats.
“Sebilangan kecil rekod mengandungi maklumat profil ketinggian dan berat, profil alahan serta data pengambilan kalori,” tambah Sats.
Tiada maklumat perbankan atau kad kredit, mahupun butiran atau imej dokumen pengenalan pelajar yang terjejas, kerana maklumat itu tidak dikumpul melalui aplikasi Tappee, kata Sats.
Sats menambah bahawa infrastruktur IT miliknya sendiri tidak terjejas.
Syarikat itu berkata pakar keselamatan sibernya bekerjasama rapat dengan Serial untuk mengukuhkan perlindungan keselamatan, menangani kelemahan yang dikenal pasti dalam platform Tappee dan melaksanakan langkah pemulihan yang perlu.
Sats berkata pihaknya telah memaklumkan perkara itu kepada Suruhanjaya Perlindungan Data Peribadi (PDPC) dan akan bekerjasama sepenuhnya dengan pihak berkuasa sepanjang siasatan dijalankan.
Sebagai langkah berjaga-jaga, perkhidmatan Tappee akan digantung buat sementara waktu agar semakan keselamatan dan kerja pemulihan dapat dijalankan, kata Sats.
Laman web Tappee tidak dapat diakses apabila The Straits Times (ST) menyemaknya pada sekitar 6.15 petang pada 10 November.
Perkhidmatan tempahan dan penghantaran makanan akan diteruskan tanpa gangguan, tambah Sats.
Menurut Sats, tempahan makanan kini diurus terus melalui sekolah yang terlibat, dan penyediaan makanan kepada pelajar tidak terjejas.
Sats berkata ia memahami kebimbangan yang mungkin timbul dalam kalangan pelajar, ibu bapa dan sekolah yang terjejas, dan memohon maaf.
Syarikat itu menambah bahawa ia telah menghubungi sekolah yang terlibat dan sedang memaklumkan individu terjejas, sambil memberikan panduan dan sokongan yang sewajarnya.
Syarikat itu berkata: “Sats komited membantu sekolah, pelajar dan keluarga yang terjejas. Kami juga akan memperkukuh keselamatan siber bagi sistem yang dikendalikan oleh penyedia teknologi pihak ketiga kami.”