BRUSSELS: Puluhan pasar raya di sekurang-kurangnya sembilan negara Eropah menjadi sasaran serangan siber yang menyebabkan sistem peti sejuk dan peti beku gagal berfungsi.

Ia memaksa peniaga membuang makanan bernilai ratusan ribu euro selepas suhu peralatan itu meningkat secara mendadak.

Serangan pada 2 November itu menjejas pasar raya di Belgium, Luxembourg, Sweden, Ireland, Belanda, Estonia, Finland, Italy dan Portugal sekali gus mencetuskan kebimbangan mengenai keselamatan sistem digital yang mengawal penyimpanan makanan.

Penggodam dipercayai mengambil alih kawalan sistem penyejukan dari jauh sebelum mengubah tetapan suhu, menyebabkan peti sejuk dan peti beku di beberapa premis mencapai suhu sehingga 50 darjah Celsius.

Kejadian itu menyusuli serangan serupa di Perancis pada Oktober yang menjejas ratusan pasar raya, menyebabkan kebakaran pada beberapa peralatan serta kerugian makanan bernilai jutaan euro.

Di Belgium dan Luxembourg, kira-kira 40 pasar raya Delhaize terjejas, manakala rangkaian Carrefour melaporkan gangguan di 15 daripada 700 cawangannya di Belgium.

Lima kedai Spar yang dikendalikan Colruyt Group turut menjadi sasaran.

Di Sweden, beberapa pasar raya ICA dan tujuh daripada 800 cawangan Coop mengalami gangguan serupa.

Rangkaian perabot Ikea turut mengesahkan sistem penyejukan di sebuah cawangannya di Mons, Belgium, terjejas.

Ketua Pegawai Eksekutif syarikat Belgium, Sabcobel, Encik Stephan Moelans, berkata penggodam dipercayai mengaktifkan mod penyahbekuan pada sistem penyejukan, menyebabkan suhu meningkat sehingga makanan tidak lagi selamat dijual.

Syarikatnya, yang mengendalikan sistem penyejukan Delhaize, bekerja sepanjang malam untuk memutuskan sambungan peralatan terjejas daripada rangkaian Internet.

Menurutnya, usaha memperkukuh keselamatan sudah dimulakan selepas serangan di Perancis, tetapi sesetengah peralatan memerlukan pengubahsuaian fizikal dan bukan sekadar kemas kini perisian.

Di sebuah pasar raya ICA di Stockholm, pengurus jualan, Cik Engla Ingwall, berkata hampir semua makanan sejuk beku rosak selepas serangan berlaku sekitar 2 pagi.

“Semuanya musnah. Berlaku serangan siber dan semua peti beku kami mencapai suhu 50 darjah Celsius,” katanya kepada agensi berita, Reuters.

Di Hoeilaart, Belgium, sebuah pasar raya Delhaize menganggarkan kerugian makanan sekitar €100,000 ($150,000), tidak termasuk kehilangan pendapatan akibat penutupan premis.

Pemilik rangkaian kedai daging De Laet & Van Haver, Encik Luc De Laet, pula berkata beliau dikejutkan pekerjanya pada 3.30 pagi selepas suhu peti sejuk meningkat sehingga 18 darjah Celsius.

Kejadian itu menyebabkan daging bernilai kira-kira €15,000 terpaksa dibuang.

“Ini amat menakutkan. Mereka menggodam sistem yang merekodkan suhu dan boleh mengubah tetapannya dari jauh,” katanya.

Di Ireland, 13 pasar raya SuperValu terpaksa mengeluarkan sebahagian makanan sejuk dan beku daripada jualan.

Di Belanda, sekurang-kurangnya 17 syarikat, termasuk kedai daging dan kedai runcit kecil, dilaporkan menjadi sasaran.

Gangguan turut dikesan di beberapa pasar raya Finland dan Estonia.

Setakat ini, pihak berkuasa belum mengenal pasti dalang serangan atau memastikan sama ada kejadian terbaharu mempunyai kaitan langsung dengan serangan di Perancis.

Jurucakap Pusat Keselamatan Siber Belgium, Cik Katrien Eggers, berkata peningkatan serangan terhadap sistem digital membimbangkan, terutama dengan perkembangan kecerdasan buatan (AI).

“Semua sistem teknologi maklumat berpotensi mempunyai kelemahan dan AI kini boleh digunakan untuk mengeksploitasi kelemahan tersebut, terutama oleh pihak yang mempunyai kepakaran tinggi,” katanya.

Pakar keselamatan siber firma SentinelOne, Encik Tom Hegel, berkata sektor peruncitan mudah menjadi sasaran kerana menggunakan pelbagai peralatan yang disambungkan kepada Internet.

Antaranya termasuk sistem penyejukan, kawalan bangunan, pintu keselamatan dan mesin pembayaran.

Menurutnya, serangan sedemikian biasanya mempunyai motif kewangan, politik atau sabotaj.

Namun, ketiadaan tuntutan wang dalam kejadian terkini menimbulkan kemungkinan serangan bertujuan mengganggu operasi perniagaan.

Menurutnya, penggodam juga sukar dikesan kerana akses kepada sistem kawalan yang terdedah mungkin meninggalkan sedikit bukti digital.

Pesuruhjaya Pertanian Kesatuan Eropah (EU), Encik Christophe Hansen, menyifatkan serangan tersebut sebagai ancaman serius terhadap rantaian bekalan makanan.

Beliau berkata kejadian berulang itu menunjukkan ancaman digital semakin mampu menjejas kegiatan ekonomi dan kehidupan seharian.

“Ia merupakan percubaan sengaja untuk mengganggu rantaian bekalan makanan kita dan melemahkan keyakinan pengguna terhadapnya.

“Kejadian serangan siber yang berulang ini amat membimbangkan,” katanya.

Agensi keselamatan siber Belgium dan Sweden sedang memantau keadaan, manakala Pusat Keselamatan Siber Kebangsaan Britain bekerjasama dengan rakan antarabangsa untuk memahami serangan tersebut.

Italy dijadual mengadakan mesyuarat keselamatan siber bersama agensi perisikan.

Ketua Kumpulan Radenza yang menguruskan pasar raya Coop, Encik Giuseppe Spadaro, berkata serangan itu berlaku kira-kira 4 pagi.

Pihak berkuasa Amerika Syarikat turut menyiasat gangguan sistem penyejukan di beberapa pangkalan tenteranya pada Ogos, termasuk kemungkinan kaitan dengan kejadian di Eropah.

Walaupun siasatan masih berlangsung, serangan terbaharu itu menunjukkan bagaimana peralatan harian yang dikawal melalui Internet boleh menjadi sasaran penggodam, dengan kesannya bukan sahaja menjejas perniagaan, malah mengancam keselamatan bekalan makanan.

Encik De Laet menggesa pihak berkuasa agar memandang ancaman tersebut dengan lebih serius.

“Saya hanya ada dua perkataan untuk mereka: bangunlah, kerana sesuatu sedang berlaku,” katanya. – Reuters.

Ikuti topik ini:
Log masuk untuk ikuti