Topik diikuti
Pergi ke BHku“Saya mahu membuat persiapan sebaik-baiknya” : Mengapa bapa ini membuat LPA
Selepas bersara, Encik Rahim Raus mempunyai lebih banyak masa untuk mendalami tentang LPA dan mempunyai perbincangan bersama dua anak perempuannya.
“Saya mahu membuat persiapan sebaik-baiknya” : Mengapa bapa ini membuat LPA
Jika perkara tidak dijangka berlaku, adakah orang tersayang tahu apa yang harus dilakukan?
Bagi Encik Rahim Raus, 72 tahun, persoalan itu bukan sesuatu yang harus dibiarkan tanpa jawapan sehingga terlambat.
Sebaliknya, beliau memilih untuk membuat persiapan awal, bak pepatah sediakan payung sebelum hujan, dengan memohon Surat Kuasa Berkekalan (LPA) pada awal tahun ini selepas mengadakan perbincangan terbuka bersama kedua-dua anak perempuannya.
Melalui perancangan awal, beliau berharap dapat memberikan keluarganya kejelasan dan ketenangan fikiran sekiranya beliau kehilangan keupayaan mental.
“Saya mahu membuat persiapan sebaik-baiknya,” kata Encik Rahim, yang juga mempunyai seorang anak lelaki yang sudah meninggal dunia.
“Saya mahu anak-anak perempuan saya dapat membuat segala urusan yang diperlukan dengan mudah, sekiranya saya kehilangan keupayaan mental,” katanya.
Menurut Encik Rahim, yang menghidap penyakit kencing manis dan menjalani pemeriksaan kesihatan berkala, keputusan membuat LPA turut membuka ruang untuk berbincang secara bermakna dengan anak-anak perempuannya tentang hasrat beliau dan cara urusan peribadinya ingin dikendalikan pada masa hadapan.
Dalam perbincangan pada Mac tahun ini, beliau berkongsi hasrat mengenai tempat tinggal, keperluan penjagaan harian serta bagaimana anak-anaknya boleh membantu membuat keputusan bagi pihaknya, termasuk berhubung rawatan perubatan, akaun bank dan hartanah miliknya.
Kedua-dua anak perempuannya, masing-masing berusia 40 dan 35 tahun, memahami hasrat beliau dan bersetuju untuk dilantik sebagai Penerima Kuasa (Donee). Anak perempuan keduanya yang bertugas sebagai jururawat turut memberikan keyakinan kepadanya bahawa beliau akan dibantu dalam membuat keputusan berkaitan penjagaannya pada masa hadapan.
Pengalaman berkhidmat selama 35 tahun di SMRT Corporation membentuk kepercayaannya terhadap pentingnya membuat persiapan awal dan merancang dengan teliti.
Selepas bersara pada November 2021, beliau mempunyai lebih banyak masa untuk memikirkan legasi yang ingin ditinggalkan serta mendalami tentang LPA menerusi laporan media dan perbualan dengan anak-anaknya, anggota keluarga besar dan rakan-rakannya.
Pengalaman keluarganya sendiri turut mempengaruhi keputusan itu.
“Arwah ibu saya memutuskan untuk membuat wasiat selepas melihat masalah birokrasi yang dihadapi keluarga seorang rakannya. Jadi, apabila ibu saya meninggal dunia pada 2018, segala urusan berkaitan hartanya dapat diselesaikan mengikut lunas undang-undang.
“Pengalaman itu menyedarkan saya tentang pentingnya membuat perancangan awal dan memastikan orang tersayang tahu apa yang perlu dilakukan apabila tiba masanya,” katanya.
Bagi Encik Rahim, perancangan legasi bukan sekadar berkaitan harta benda, tetapi juga nilai kehidupan, kenangan dan kisah yang ingin dikongsikan bersama anak-anak serta cucu-cucunya.
LPA ialah dokumen undang-undang yang membolehkan seseorang melantik individu berusia sekurang-kurangnya 21 tahun untuk membuat keputusan bagi pihaknya berkaitan kebajikan diri dan/atau harta benda serta urusan kewangan sekiranya beliau kehilangan keupayaan mental.
Walaupun ada yang beranggapan LPA hanya relevan bagi mereka yang memiliki banyak harta, ia turut membantu seseorang merancang penjagaan diri dan hal ehwal peribadi sekiranya tidak lagi mampu membuat keputusan sendiri.
Encik Rahim mendapatkan bantuan anak saudaranya yang merupakan penasihat kewangan untuk mengatur janji temu dengan seorang Pegawai Pengesah Sijil (Certificate Issuer, CI).
Selepas melengkapkan borang LPA dalam talian dan mendapatkan persetujuan Penerima Kuasa, beliau bertemu dengan seorang doktor swasta bertauliah yang memastikan bahawa beliau memahami tujuan LPA dan skop kuasa yang diberikan kepada Penerima Kuasa, memastikan Encik Rahim tidak diperdaya atau dipaksa untuk membuat LPA, dan tiada halangan lain yang menghalang LPA itu daripada diwujudkan.
CI bertanggungjawab memastikan Pemberi Kuasa memahami tujuan LPA dan skop kuasa yang diberikan, tidak diperdaya atau dipaksa untuk membuatnya, serta tiada halangan lain yang menjejaskan kesahihan permohonan tersebut.
Selepas proses pengesahan selesai, CI mengemukakan Borang LPA 1 secara dalam talian menerusi laman Pejabat Penjaga Awam Dalam Talian (OPGO).
“Doktor yang melakukan proses pengesahan menjelaskan butiran LPA dengan teliti. Pada akhir sesi itu, saya sudah bersedia untuk menyerahkan Borang LPA 1 saya,” katanya.
Selain LPA, Encik Rahim turut membuat Perancangan Jagaan Awal (Advance Care Planning, ACP) untuk merekodkan nilai kehidupan serta keutamaan beliau berkaitan penjagaan kesihatan dan diri.
Pengarah Urusan Amanah Legal LLC, Cik Syafiqah Ahmad Fu’ad, menjelaskan bahawa LPA berkuat kuasa semasa seseorang masih hidup apabila beliau kehilangan keupayaan mental untuk membuat keputusan yang berkaitan.
Sebaliknya, wasiat hanya berkuat kuasa selepas kematian bagi mengurus dan mengagihkan harta pusaka, tertakluk pada undang-undang serta peraturan pewarisan Islam yang berkenaan.
Bagi menggalakkan lebih ramai warga Singapura merancang masa depan, termasuk penjagaan pada akhir hayat, acara Sambutan Negara bagi Warga Emas akan diadakan pada 30 dan 31 Oktober 2026 di Hab HDB, di mana warga emas dan anggota keluarga mereka boleh mengunjungi zon Plan Well Zone untuk mengetahui dengan lebih lanjut tentang pelbagai alat perancangan legasi yang tersedia, termasuk Surat Kuasa Berkekalan (LPA).
Permohonan LPA Borang 1 kini percuma bagi semua warga Singapura.
Bagi pemberi kuasa yang memerlukan aturan yang lebih khusus mengikut keperluan masing-masing, Borang LPA 2 perlu disediakan oleh peguam yang berkelayakan di Singapura.
Sehingga 20 Februari 2026, seramai 404,000 atau sekitar 1 dalam 7 warga Singapura telah membuat LPA. Di kalangan mereka berusia 65 tahun ke atas, seramai 197,000 atau sekitar 1 dalam empat orang sudah membuat LPA.
Memahami Istilah Perundangan
Surat Kuasa Berkekalan (LPA): Dokumen undang-undang yang membolehkan anda (Pemberi Kuasa) melantik orang lain yang dipercayai untuk membuat keputusan bagi anda sekiranya anda hilang upaya mental. Anda mesti berusia sekurang-kurangnya 21 tahun untuk membuat LPA.
Pemberi Kuasa: Orang yang membuat LPA dan memilih Penerima Kuasa yang akan bertindak untuk mereka jika mereka tidak lagi berupaya.
Penerima Kuasa (Donee): Orang yang dipercayai yang dilantik untuk membuat keputusan tentang kebajikan peribadi, harta benda dan urusan kewangan. Penerima Kuasa mesti berusia sekurang-kurangnya 21 tahun.
Keupayaan Mental: Keupayaan untuk membuat keputusan sendiri, yang boleh hilang mental akibat keadaan seperti demensia, angin ahmar, kecederaan otak atau penyakit tiba-tiba.
Mulakan perbincangan awal, selagi orang tersayang masih boleh sampaikan hasratnya
Membuat LPA lebih awal merupakan satu amanah — tanda tanggungjawab terhadap kesejahteraan diri sendiri dan mereka yang bergantung pada kita, kata Pengarah Urusan Amanah Legal LLC, Cik Syafiqah Ahmad Fu’ad.
Tanpa LPA, orang tersayang mungkin perlu memohon perintah pelantikan wakil melalui mahkamah untuk menguruskan hal ehwal seseorang yang kehilangan keupayaan mental.
Proses ini boleh memakan masa, melibatkan kos yang tinggi dan menambah tekanan ketika keluarga sedang berdepan dengan keadaan yang sukar.
Pelantikan wakil oleh mahkamah ialah aturan undang-undang yang membolehkan mahkamah melantik seorang wakil untuk membuat keputusan tertentu bagi pihak individu yang kehilangan keupayaan mental dan tidak mempunyai LPA.
Proses ini boleh mengambil masa sehingga satu setengah tahun, dengan kos prosiding undang-undang mencecah $9,000 atau lebih.
Menurut Cik Syafiqah, kehilangan keupayaan mental bukan sahaja menjadi kebimbangan pada usia lanjut, malah boleh berlaku pada bila-bila masa akibat kemalangan serius atau penyakit.
Memulakan keluarga, membeli rumah atau membina simpanan boleh menjadi pencetus untuk seseorang mula merancang masa depan. Namun, waktu terbaik untuk berbuat demikian ialah selagi seseorang masih berupaya membuat keputusan sendiri dan menyampaikan hasratnya dengan jelas.
Perancangan awal boleh melibatkan membuat LPA dan Perancangan Jagaan Lanjut (ACP), yang berkuat kuasa apabila seseorang kehilangan keupayaan mental semasa hidup. Pencalonan CPF akan berkuat kuasa hanya selepas kematian.
Cik Syafiqah berkongsi pengalaman seorang rakan kerjanya yang bapanya, seorang yang aktif, mengalami demensia dengan begitu pantas sehingga dalam tempoh beberapa bulan sahaja, beliau tidak lagi dapat mengingati namanya sendiri.
Tanpa LPA, keluarga rakannya mungkin menghadapi kesukaran mengakses akaun bank bapanya dan terpaksa memohon pelantikan wakil melalui mahkamah. Proses itu boleh mengambil masa berbulan-bulan dan melibatkan kos yang tinggi, sedangkan dana diperlukan untuk membiayai penjagaannya.
Tetapi, atas saranan rakan kerjanya yang menggalakkan bapanya untuk membuat LPA ketika masih sihat, bapanya telah melantik Penerima Kuasa (Donee) yang dapat menjalankan tanggungjawab tersebut selepas laporan perubatan mengesahkan bahawa beliau telah kehilangan keupayaan mental.
Dengan itu, rakan kerja Cik Syafiqah dapat segera mendapatkan bantuan kewangan bagi penjagaan kesihatan yang diperlukan, termasuk khidmat penjagaan khusus di rumah. Ini membolehkan bapanya terus tinggal dalam persekitaran yang selesa, sambil mengekalkan maruah dirinya.
“LPA bukan sahaja satu borang pentadbiran; ia merupakan satu bentuk perancangan awal yang dapat melindungi keluarga daripada birokrasi ketika setiap detik amat berharga,” kata Cik Syafiqah.
Di sebalik urusan perundangan, Cik Syafiqah berkata perbincangan sebegini juga boleh memberi peluang buat anggota keluarga merapatkan hubungan, memahami hasrat insan tersayang dan saling menyokong satu sama lain, baik pada saat-saat baik mahupun mencabar.
“Nasihat saya ialah mengadakan perbincangan awal tatkala orang tersayang anda masih boleh menurut serta dan memilih orang yang dipercayai,” kata Cik Syafiqah.
Menjelaskan kebimbangan mengenai kuasa Penerima Kuasa, Cik Syafiqah berkata bahawa seorang Penerima Kuasa tidak boleh membuat, meminda atau membatalkan wasiat Pemberi Kuasa di bawah LPA.
Penerima Kuasa juga tidak boleh membuat atau membatalkan pencalonan CPF, mahupun memeluk atau meninggalkan sesuatu agama bagi pihak Pemberi Kuasa.
Pencalonan CPF pula membolehkan seseorang menentukan siapa yang akan menerima simpanan Tabung Simpanan Pekerja (CPF) miliknya serta bahagian yang akan diterima oleh setiap penerima selepas kematiannya.
“Melantik Penerima Kuasa tidak bermakna seseorang menyerahkan kawalan terhadap kehidupannya. Penerima Kuasa hanya boleh bertindak apabila Pemberi Kuasa kehilangan keupayaan mental untuk membuat keputusan berkenaan, dan mesti bertindak demi kepentingan terbaik Pemberi Kuasa.
“Jika Pemberi Kuasa kembali berupaya membuat keputusan tersebut, hak untuk membuat keputusan itu kembali kepadanya,” kata Cik Syafiqah.
Bagaimana untuk membuat Surat Kuasa Berkekalan
Anda hanya memerlukan 10 minit untuk memulakan proses melantik orang yang dipercayai untuk membuat keputusan bagi hal ehwal berkenaan kebajikan peribadi, harta benda dan akaun bank anda.
Langkah 1: Hantar borang menerusi laman, go.gov.sg/planlegacytoday-lpa
Langkah 2: Dapatkan Penerima Kuasa dan Pengganti Penerima Kuasa (jika ada) untuk menerima janji temu mereka
Langkah 3: Kunjungi Pegawai Pengesah Sijil untuk mengesahkan LPA anda. Cari Pegawai Pengesah Sijil LPA di laman, go.gov.sg/lpa-ci
Berikan diri anda dan orang tersayang anda ketenangan fikiran hari ini. Klik di sini untuk mendapatkan maklumat lanjut.
Sambutan Negara bagi Warga Emas
30 - 31 Oktober 2026, Hab HDB
Sambutan Negara bagi Emas merupakan inisiatif negara tahunan yang menggalakkan penuaan aktif, sihat dan bermakna. Kunjungi zon Plan Well Zone, untuk mendapat tahu dengan lebih lanjut tentang pelbagai alat perancangan legasi sedia ada, termasuk LPA.
Zon Plan Well Zone bermatlamat membantu warga emas dan keluarga mereka bersiap sedia pada masa depan dengan lebih konfiden. Ini termasuk menggalakkan mereka memulakan perbincangan penting tentang perancangan penjagaan masa depan melalui sesi bimbingan yang mesra, bersifat peribadi dan terarah yang merangkumi Perancangan Jagaan Lanjut (ACP), Surat Kuasa Berkekalan (LPA), pencalonan CPF dan aspek lain dalam perancangan legasi.
Sudah bersedia untuk memulakan perjalanan LPA anda? Kunjungi zon Plan Well Zone di Sambutan Negara Warga emas pada 30–31 Oktober 2026, di Hab HDB, untuk mendapatkan maklumat lanjut.
Rencana ini dibawakan oleh