“Haiyaa…. Hidup pun susah, mati pun susah…”

Dialog ikonik watak Apek dalam filem Madu Tiga ini pastinya tidak asing lagi bagi penggemar karya seniman agung P. Ramlee.

Walaupun sering disambut dengan ketawa, ungkapan ini sebenarnya membawa sindiran tajam terhadap realiti kehidupan.

Si Apek yang merana sehingga ke liang lahad seolah-olah memberi amaran kepada ‘Abang Jamil’ bahawa hidup tidak akan pernah ‘selamat’ jika penuh dengan muslihat.

Namun, bukan tujuan saya mahu membincangkan tentang kehidupan selepas mati atau persiapan ukhrawi.

Sebaliknya, saya ingin menyentuh tentang satu lagi aspek yang kurang diberi perhatian: persiapan untuk memastikan kebajikan keluarga terjaga sebelum ajal sendiri menjemput atau sebelum keupayaan mental kita terjejas.

Pengurusan harta pusaka

Bagi sebahagian besar masyarakat Singapura, wang Tabung Simpanan Pekerja (CPF) merupakan harta warisan utama yang ditinggalkan.

Antara usaha awal yang telah saya lakukan ialah membuat pencalonan bagi benefisiari wang CPF dan juga insurans saya.

Mengikut Jawatankuasa Fatwa, pencalonan CPF dan insurans dianggap sebagai bentuk hibah (hadiah) dan tidak semestinya diagihkan mengikut faraid.

Walau bagaimanapun, bagi mereka yang ingin tetap berpegang kepada sistem faraid, anda masih sangat digalakkan membuat pencalonan dengan menamakan waris faraid sebagai penama.

Menurut Lembaga CPF, langkah ini dapat mempermudahkan proses tuntutan tanpa perlu melalui Mahkamah Syariah atau Pemegang Amanah Awam, sekali gus menjimatkan masa dan bayaran pentadbiran yang mahal.

Instrumen ini juga penting terutamanya dalam situasi keluarga yang mempunyai keperluan khusus.

Bayangkan pasangan yang mempunyai anak angkat yang tidak layak menerima harta di bawah faraid, atau pasangan yang hanya mempunyai seorang anak perempuan kurang upaya yang memerlukan belanja besar.

Di sinilah Islam menyediakan jalan keluar untuk memastikan kebajikan orang tersayang lebih terjamin.

Perlindungan Ketika Hilang Upaya

Selain pengurusan harta, satu lagi instrumen yang perlu disiapkan semasa kita sihat ialah Surat Kuasa Berkekalan (LPA).

LPA membolehkan kita melantik individu dipercayai untuk membuat keputusan tentang kebajikan peribadi dan harta sekiranya kita hilang keupayaan mental pada masa hadapan seperti koma atau nyanyuk.

Berita baiknya, pengecualian bayaran sebanyak $75 bagi permohonan Borang 1 (kuasa umum) kini kekal dan justeru, percuma.

Manakala bagi Borang 2 (kuasa khusus yang digubal peguam), bayarannya akan dikurangkan daripada $185 kepada hanya $30 bermula 1 Mei ini.

Walaupun prosesnya kini lebih mudah secara digital melalui portal ‘Office of the Public Guardian Online’ (OPGO), cabaran utama bagi sesetengah orang adalah membuat janji temu bagi mendapatkan pengesahan daripada peguam atau doktor.

Di sinilah badan Melayu/Islam setempat boleh memainkan peranan dengan mengadakan bengkel atau khidmat sehenti.

Usaha Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) menerusi Perkampungan Perancangan Legasi Islam (ILPV) pada September 2025 adalah langkah tepat dan diharap dapat dijadikan acara tahunan bagi menggalakkan lebih ramai masyarakat Melayu/Islam membuat LPA masing-masing.

Sering kali dilupakan juga ialah Perancangan Penjagaan Awal (ACP).

Jika LPA berkaitan dengan kuasa membuat keputusan, ACP pula berkaitan dengan komunikasi keinginan kita tentang rawatan perubatan dan penjagaan akhir hayat kepada pasukan kesihatan dan keluarga.

Saya sendiri telah menyiapkan ACP saya melalui laman web My Legacy @ LifeSG.

Prosesnya tidak sampai 20 minit.

Kita antara lain perlu menyatakan pilihan tentang penjagaan akhir hayat (sama ada kita mahu doktor mengutamakan keselesaan atau meneruskan rawatan agresif), keutamaan berkaitan kos rawatan, serta keperluan agama.

Walaupun topik ini mungkin kurang selesa dibincangkan semasa hayat, berbincang semasa kita sihat jauh lebih baik daripada membiarkan keluarga dalam dilema apabila kita sudah tidak mampu bersuara.

Perancangan Sebagai Ibadah

Persiapan LPA dan ACP sebenarnya bukan sekadar urusan duniawi.

Menurut Jawatankuasa Fatwa 2019, langkah ini selaras dengan prinsip Islam yang menuntut setiap Muslim memastikan kebajikan dirinya terpelihara sepanjang hayat, selain merancang dan mempersiapkan masa depan mereka.

Ia melambangkan nilai budi, penghormatan, dan belas kasihan agar anggota keluarga kita tidak terbeban dengan kekeliruan atau pertikaian di kemudian hari.

Berbalik kepada dialog Apek dalam Madu Tiga, saya mungkin boleh memodenkan sedikit mesej yang ingin disampaikan.

Janganlah kita menyusahkan orang lain di penghujung hayat.

Usah nanti keluarga yang kita sayangi terpaksa “pegang bendera” putih kerana menyerah kalah dek birokrasi dan tuntutan harta yang tidak terurus.

Perancangan yang kita buat hari ini adalah hadiah terakhir buat mereka.

Biarlah pemergian kita nanti meninggalkan ketenangan, bukannya bebanan.