Jika perkara tidak dijangka berlaku, adakah orang tersayang tahu apa yang harus dilakukan?

Bagi Encik Rahim Raus, 72 tahun, persoalan itu bukan sesuatu yang harus dibiarkan tanpa jawapan sehingga terlambat.

Sebaliknya, beliau memilih membuat persiapan awal, bak kata pepatah ‘sediakan payung sebelum hujan’, dengan memohon Surat Kuasa Berkekalan (LPA) pada awal tahun ini selepas mengadakan perbincangan terbuka bersama kedua-dua anak perempuannya.

Melalui perancangan awal, beliau berharap dapat memberikan keluarganya kejelasan dan ketenangan fikiran sekiranya beliau kehilangan keupayaan mental.

“Saya mahu membuat persiapan sebaik-baiknya,” kata Encik Rahim, yang juga mempunyai seorang anak lelaki yang sudah meninggal dunia. 

“Saya mahu anak-anak perempuan saya dapat membuat segala urusan yang diperlukan dengan mudah, sekiranya saya kehilangan keupayaan mental,” katanya.

Menurut Encik Rahim, yang menghidap penyakit kencing manis dan menjalani pemeriksaan kesihatan berkala, keputusan membuat LPA turut membuka ruang untuk berbincang secara bermakna dengan anak-anaknya tentang hasrat beliau dan cara urusan peribadinya ingin dikendalikan pada masa hadapan.

Dalam perbincangan pada Mac tahun ini, beliau berkongsi hasrat mengenai tempat tinggal, keperluan penjagaan harian serta bagaimana anak-anaknya boleh membantu membuat keputusan bagi pihaknya, termasuk berhubung rawatan perubatan, akaun bank dan hartanah miliknya.

Kedua-dua anak perempuannya, masing-masing berusia 40 tahun dan 35 tahun, memahami hasrat beliau dan bersetuju dilantik sebagai Penerima Kuasa (Donee). Anak perempuan keduanya yang bertugas sebagai jururawat turut memberikan keyakinan kepadanya bahawa beliau akan dibantu dalam membuat keputusan berkaitan penjagaannya pada masa hadapan.

Encik Rahim Raus berkhidmat selama 35 tahun di SMRT Corporation sebelum beliau bersara pada November 2021.
Encik Rahim Raus berkhidmat selama 35 tahun di SMRT Corporation sebelum beliau bersara pada November 2021. - Foto ihsan RAHIM RAUS

Pengalaman berkhidmat selama 35 tahun di SMRT Corporation membentuk kepercayaannya terhadap pentingnya membuat persiapan awal dan merancang dengan teliti.

Selepas bersara pada November 2021, beliau mempunyai lebih banyak masa memikirkan legasi yang ingin ditinggalkan serta mendalami tentang LPA menerusi laporan media dan perbualan dengan anak-anaknya, anggota keluarga besar dan rakan-rakannya.

Pengalaman keluarganya sendiri turut mempengaruhi keputusan itu.

“Arwah ibu saya memutuskan membuat wasiat selepas melihat masalah birokrasi yang dihadapi keluarga seorang rakannya. Jadi, apabila ibu saya meninggal dunia pada 2018, segala urusan berkaitan hartanya dapat diselesaikan mengikut lunas undang-undang.

“Pengalaman itu menyedarkan saya tentang pentingnya membuat perancangan awal dan memastikan orang tersayang tahu apa yang perlu dilakukan apabila tiba masanya,” katanya. 

Bagi Encik Rahim, perancangan legasi bukan sekadar berkaitan harta benda, tetapi juga nilai kehidupan, kenangan dan kisah yang ingin dikongsikan bersama anak-anak serta cucu-cucunya.

LPA ialah dokumen undang-undang yang membolehkan seseorang melantik individu berusia sekurang-kurangnya 21 tahun untuk membuat keputusan bagi pihaknya berkaitan kebajikan diri dan/atau harta benda serta urusan kewangan sekiranya beliau kehilangan keupayaan mental.

Walaupun ada yang beranggapan LPA hanya relevan bagi mereka yang memiliki banyak harta, ia turut membantu seseorang merancang penjagaan diri dan hal ehwal peribadi sekiranya tidak lagi mampu membuat keputusan sendiri.

Encik Rahim mendapatkan bantuan anak saudaranya yang merupakan penasihat kewangan untuk mengatur janji temu dengan seorang Pegawai Pengesah Sijil (Certificate Issuer, CI).

Selepas melengkapkan borang LPA dalam talian dan mendapatkan persetujuan Penerima Kuasa, beliau bertemu dengan seorang doktor swasta bertauliah yang memastikan bahawa beliau memahami tujuan LPA dan skop kuasa yang diberikan kepada Penerima Kuasa, memastikan Encik Rahim tidak diperdaya atau dipaksa untuk membuat LPA, dan tiada halangan lain yang menghalang LPA itu daripada diwujudkan.

CI bertanggungjawab memastikan Pemberi Kuasa memahami tujuan LPA dan skop kuasa yang diberikan, tidak diperdaya atau dipaksa untuk membuatnya, serta tiada halangan lain yang menjejaskan kesahihan permohonan tersebut.

Selepas proses pengesahan selesai, CI mengemukakan Borang LPA 1 secara dalam talian menerusi laman Pejabat Penjaga Awam Dalam Talian (OPGO).

“Doktor yang melakukan proses pengesahan menjelaskan butiran LPA dengan teliti. Pada akhir sesi itu, saya sudah bersedia menyerahkan Borang LPA 1 saya,” katanya.

Selain LPA, Encik Rahim turut membuat Perancangan Jagaan Awal (Advance Care Planning, ACP) untuk merekodkan nilai kehidupan serta keutamaan beliau berkaitan penjagaan kesihatan dan diri.

Pengarah Urusan Amanah Legal LLC, Cik Syafiqah Ahmad Fu’ad, menjelaskan bahawa LPA berkuat kuasa semasa seseorang masih hidup apabila beliau kehilangan keupayaan mental untuk membuat keputusan yang berkaitan.

Sebaliknya, wasiat hanya berkuat kuasa selepas kematian bagi mengurus dan mengagihkan harta pusaka, tertakluk pada undang-undang serta peraturan pewarisan Islam yang berkenaan.

Bagi menggalakkan lebih ramai warga Singapura merancang masa depan, termasuk penjagaan pada akhir hayat, acara Sambutan Negara bagi Warga Emas akan diadakan pada 30 dan 31 Oktober 2026 di Hab HDB, di mana warga emas dan anggota keluarga mereka boleh mengunjungi zon Plan Well Zone untuk mengetahui dengan lebih lanjut tentang pelbagai alat perancangan legasi yang tersedia, termasuk Surat Kuasa Berkekalan (LPA).

Permohonan LPA Borang 1 kini percuma bagi semua warga Singapura.

Bagi pemberi kuasa yang memerlukan aturan yang lebih khusus mengikut keperluan masing-masing, Borang LPA 2 perlu disediakan oleh peguam yang berkelayakan di Singapura.

Sehingga 20 Februari 2026, seramai 404,000 atau sekitar 1 dalam 7 warga Singapura telah membuat LPA. Di kalangan mereka berusia 65 tahun ke atas, seramai 197,000 atau sekitar 1 dalam empat orang sudah membuat LPA. 

Memahami Istilah Perundangan

Surat Kuasa Berkekalan (LPA): Dokumen undang-undang yang membolehkan anda (Pemberi Kuasa) melantik orang lain yang dipercayai untuk membuat keputusan bagi anda sekiranya anda hilang upaya mental. Anda mesti berusia sekurang-kurangnya 21 tahun untuk membuat LPA.

Pemberi Kuasa: Orang yang membuat LPA dan memilih Penerima Kuasa yang akan bertindak untuk mereka jika mereka tidak lagi berupaya.

Penerima Kuasa (Donee): Orang yang dipercayai yang dilantik untuk membuat keputusan tentang kebajikan peribadi, harta benda dan urusan kewangan. Penerima Kuasa mesti berusia sekurang-kurangnya 21 tahun.

Keupayaan Mental: Keupayaan untuk membuat keputusan sendiri, yang boleh hilang mental akibat keadaan seperti demensia, angin ahmar, kecederaan otak atau penyakit tiba-tiba.

Rencana ini dibawakan oleh MSF
Rencana ini dibawakan oleh MSF
Ikuti topik ini:
Log masuk untuk ikuti