Mewujudkan persekitaran kerja yang lebih prihatin dan menyokong pekerja yang menjalani rawatan kesuburan menjadi antara fokus utama cadangan Sayap Wanita Parti Tindakan Rakyat (PAP) bagi membantu rakyat Singapura dalam perjalanan membina rumah tangga dan membesarkan keluarga. 

Kumpulan itu menyasarkan untuk menyerahkan cadangannya kepada kumpulan kerja perkahwinan dan keibubapaan pada Januari 2027.

Pengerusi Sayap Wanita PAP, Cik Sim Ann, berkata pada 12 November bahawa kumpulan itu berharap dapat memuktamadkan dan mengemukakan beberapa cadangan berkaitan sokongan kesuburan.

Ini termasuk langkah yang boleh diambil majikan untuk menyediakan persekitaran kerja lebih prihatin dan mesra kepada pekerja yang menjalani rawatan kesuburan.

Sementara itu, Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC) melaksanakan beberapa inisiatif untuk membantu pekerja mengimbangi tugas pekerjaan dan tanggungjawab keluarga. Antaranya portal pekerjaan yang dikemas kini, dengan bahagian khas untuk jawatan kerja fleksibel.

Jawatan itu termasuk yang menawarkan kerja dari jauh, waktu kerja fleksibel serta beban kerja yang dikurangkan atau fleksibel. Kira-kira 37 majikan akan menguji platform itu pada 13 November.

Bercakap pada sesi libat urus kesembilan Sayap Wanita pada 2026, Cik Sim berkata lebih banyak sokongan daripada tempat kerja boleh membuat perbezaan kepada pasangan yang cuba mendapatkan anak.

“Rakyat Singapura yang menjalani rawatan kesuburan sudah pun bertekad untuk membina keluarga.

“Sekiranya kita dapat menyediakan lebih banyak sokongan kepada mereka, termasuk menggalakkan majikan memainkan peranan dalam mewujudkan budaya kerja yang lebih prihatin terhadap keperluan kesuburan, saya percaya usaha ini mampu membawa perubahan yang besar.” 

Sesi anjuran bersama Wanita NTUC dan Keluarga serta Sokongan Kesuburan SG itu menghimpunkan majikan dan pekerja bagi membincangkan usaha menjadikan tempat kerja lebih menyokong pekerja yang menjalani rawatan kesuburan. 

Cik Sim berkata lebih 800 orang telah menyertai sembilan sesi setakat ini. Sesi itu menumpukan pada perkara berkaitan bercinta, perkahwinan dan keibubapaan.

Antara kebimbangan yang dibangkitkan ialah kos kewangan untuk membina keluarga, mencari masa untuk kehidupan berkeluarga, mengimbangi komitmen kerja dan keluarga, serta isu kesihatan seperti kehamilan dan kesuburan.

Sayap Wanita akan menggabungkan maklum balas itu menjadi cadangan untuk Kumpulan Kerja Penetapan Semula Perkahwinan dan Keibubapaan yang diketuai Menteri di Pejabat Perdana Menteri, Cik Indranee Rajah.

Kumpulan kerja antara agensi itu sedang mengkaji beberapa bidang, termasuk keseimbangan hidup-kerja, kesuburan dan kesihatan ibu, kos penjagaan kanak-kanak, serta tekanan perumahan dan pendidikan. Laporan penuhnya dijangka dikeluarkan pada awal 2027.

Cik Sim berkata tiada satu penyelesaian tunggal untuk menjadikan Singapura lebih mesra keluarga. Usaha itu perlu menangani budaya tempat kerja, tekanan kewangan dan sikap masyarakat yang lebih luas terhadap perkahwinan dan keibubapaan.

Penolong setiausaha agung NTUC, Cik Yeo Wan Ling, berkata portal pekerjaan yang dikemas kini itu dibangunkan sebahagiannya sebagai respons kepada maklum balas pekerja yang berkata mereka tidak tahu di mana hendak mencari jawatan fleksibel.

Majikan mereka bentuk semula sebahagian jawatan yang disenaraikan supaya sesuai dengan pengaturan kerja fleksibel, dan bukan sekadar melabel semula jawatan sedia ada sebagai fleksibel, kata Cik Yeo. Beliau juga pengarah Wanita NTUC dan Keluarga dan ketua penyelidikan Sayap Wanita PAP.