
PENGGUNA kerusi roda kini boleh membiasakan diri dengan laluan perjalanan mesra kerusi roda di bawah program baru oleh pengendali pengangkutan SBS Transit.
Di bawah program Travel Buddy yang dilancarkan semalam, pengguna kerusi roda boleh mendaftar bagi sehingga tiga sesi percuma tentang cara mengemudi laluan perjalanan dengan bantuan rakan perjalanan.
Rakan perjalanan itu, yang merupakan pekerja SBS Transit, akan membimbing penumpang sepanjang perjalanan dan berkongsi tip perjalanan dengan mereka seperti mencari lif di stesen kereta api atau mencari kabin yang sesuai untuk pengguna kerusi roda.
Rakan perjalanan akan bertemu penumpang di perhentian bas, pertukaran bas atau stesen kereta api permulaan pilihan mereka, dan membimbingnya melalui laluan itu.
Bergantung pada laluan, penumpang mungkin dibimbing oleh lebih daripada seorang rakan perjalanan sepanjang perjalanan.
Sebahagian perjalanan mesti termasuk perjalanan dengan mana-mana perkhidmatan bas atau kereta api SBS Transit, termasuk Laluan Timur Laut (NEL), Laluan Downtown dan perkhidmatan LRT Sengkang-Punggol.
Pada masa ini, program ini hanya tersedia untuk penumpang berkerusi roda, tetapi ia akan diperluaskan pada masa hadapan kepada penumpang kurang upaya lain, seperti mereka yang cacat penglihatan.
Untuk menyediakan aksesibiliti yang lebih besar kepada pengguna kerusi roda, SBS Transit turut melancarkan Stair Climber mudah alih di platform NEL di stesen Outram Park semalam.
Peralatan tersebut membolehkan kakitangan stesen menggerakkan kerusi roda manual ke atas atau ke bawah tangga sekiranya berlaku kerosakan lif.
Lebih banyak Stair Climber akan ditempatkan di stesen kereta api lain jika usaha perintisnya berjaya.
Untuk maklumat lanjut tentang program Travel Buddy, orang ramai boleh melungsuri laman www.sbstransit.com.sg/travelbuddy.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg